collections khutbah Menghargai Masa Sebagai Anugerah Ilahi
Menghargai Masa Sebagai Anugerah Ilahi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

19 Mei 2023 / 28 Syawal 1444H

Menghargai Masa Sebagai Anugerah Ilahi

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi insan-insan yang mensyukuri nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah (s.w.t) berfirman di dalam Al-Quran:


  
  

Yang bermaksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [Surah Al- ‘Asr: 1-3].

Allah (s.w.t) bersumpah dengan masa kerana ingin menekankan kepada kita akan kepentingan masa itu. Masa yang sering kita abaikan akan sentiasa berputar dan berjalan. Ia tidak akan sesekali menunggu ataupun memutar kembali untuk sesiapapun.

Sebagai orang yang beriman hendaklah kita manfaatkan masa yang diberikan. Janganlah kita sia-siakan masa itu dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kerana kita tiada daya dan kuasa untuk memastikan sama ada kita akan diberikan nikmat ini pada keesokan hari ataupun tidak.

Saudaraku,

Masa merupakan antara nikmat yang paling berharga daripada Allah (s.w.t). Dan sebagai hamba, sememangnya kita perlu bersyukur kepada-Nya di atas pemberian nikmat ini. Tanda kesyukuran kita terhadap nikmat ini adalah dengan menggunakan masa dan waktu lapang kita dengan sebaiknya.

Renungkanlah pesanan Baginda (s.a.w) dan hayati isi kandungnya.

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Yang bermaksud, “Dua nikmat yang banyak dilalaikan manusia; kesihatan dan waktu lapang [Hadis riwayat Ibn Majah].

Jadi bagaimana seandainya jika kita tidak mahu menjadi di kalangan insan yang berada di dalam kerugian?

Jika kita renung kembali kepada ayat yang telah dibacakan sebelum ini. Kita boleh fahami bahawa Allah (s.w.t) telah memberikan panduan kepada hamba-hamba-Nya. Jadilah orang-orang yang beriman dan beramal soleh supaya tidak terjerumus di dalam kerugian.

Pada kesempatan ini. Saya ingin memberikan contoh dan menceritakan sebuah kisah perjalanan hidup Imam An-Nawawi. Seorang tokoh agamawan yang banyak sumbangannya di dalam penyebaran ilmu agama Islam.

Imam An-Nawawi merupakan seorang yang sering mengejar keberkatan masa. Masa yang beliau perolehi diisi semata-mata demi mencari keredaan Allah. Dalam sehari, yang hanya ada 24 jam sahaja. Imam An-Nawawi dapat menghadiri 12 majlis ilmu yang berbeza. Kesungguhan Imam An-Nawawi dalam usahanya untuk memanfaatkan masa, sehinggakan beliau mengagihkan masanya setiap hari dengan cara yang terbaik.

Dan natijahnya beliau dapat menghasilkan kitab-kitab agama yang pelbagai, yang masih dimanfaatkan masyarakat Islam hingga ke hari ini.

Saudaraku,

Banyak yang kita boleh pelajari daripada kisah-kisah ulama-ulama yang terdahulu. Sememangnya usaha Imam An-Nawawi bukan mudah untuk diikuti. Akan tetapi apa yang perlu diambil sebagai pengajaran adalah kesungguhan beliau dalam usaha untuk memanfaatkan masa.

Kita sebagai umat Islam dan juga secara individu, mempunyai peranan dan sumbangan yang boleh kita usahakan. Masa yang dikurniakan Tuhan, bagaimana kita dapat pergunakannya dengan sebaiknya.

Sebahagian individu berusaha untuk mendidik generasi. Ada yang menyumbang, serta berbakti kepada masyarakat. Sama ada dengan memakmurkan rumah Allah (s.w.t). menjadi sukarelawan dan sebagainya.

Bagi golongan yang muda pula, teruskan mengisi masa dengan mencari nafkah buat keluarga serta mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan yang sahih supaya dapat memanfaatkan keluarga serta masyarakat. Elakkan daripada menuntut ilmu agama dari guru yang tidak mempunyai kelayakan serta pendidikan agama yang sahih.

Semoga dapat kita menjadi insan-insan yang bukan sahaja dapat memanfaatkan masa kita, akan tetapi dapat juga memberi manfaat kepada sekeliling kita. Semoga Allah (s.w.t) reda dengan usaha kita dan meletakkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.