collections khutbah Menghargai Masa dan Peluang untuk beramal Soleh
Menghargai Masa dan Peluang untuk beramal Soleh

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

7 April 2023 / 16 Ramadan 1444H


Menghargai Masa dan Peluang untuk beramal Soleh

Saudaraku yang dirahmati Allah, 

Marilah kita tingkatkan ketakwaan serta kesyukuran kepada Allah, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita dapat meraih segala kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita pada bulan yang mulia ini.

Saudaraku,

Allah (s.w.t) berfirman:


Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”. [Al-Qadr:1]

Ayat yang baru saya bacakan tadi, mengkhabarkan kepada kita akan penurunan Al-Quran diturunkan dari Lauh al-Mahfuz. Dan bagaimana penurunan al-Quran ke langit dunia berlaku pada malam Lailatul Qadar. Ayat ini, dan beberapa lagi ayat-ayat lain berkaitan dengan Ramadan, biasanya akan terdapat padanya juga mesej tentang al-Quran. 

Ini secara tidak langsung memberi gambaran kepada kita, hubungan yang erat antara al-Quran dengan bulan Ramadan yang mulia. Dan bagaimana bulan ini, merupakan bulan untuk kita memperbanyakkan padanya membaca Al-Quran. Lebih-lebih lagi, kita akan masuk pada 10 hari terakhir tidak lama lagi. Yang mana padanya terdapat malam Lailatul Qadar yang mulia. Rasulullah (s.a.w) telah bersabda:

Maksudnya: “Siapa yang mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dalam keadaan beriman dan mengharapkan ganjaran, akan diampunkan dosanya yang telah lalu” [Hadis riwayat Imam Bukhari]

Saudaraku,

Lailatul Qadar adalah malam di mana seorang hamba berusaha dengan bersungguh-sungguh memanjatkan doa kepada Allah (s.w.t). Berhubung melalui wahyu Allah (Al-Quran) yang dapat membuka minda anda dan mengetuk pintu hati anda. Lailatul Qadar adalah malam di mana anda memohon kepada Allah yang Maha Agung agar anda ditempatkan di kalangan mereka yang memperolehi jalan-Nya yang lurus. Lailatul Qadar adalah malam di saat anda bermunajat kepada Allah (s.w.t) yang bakal diaminkan oleh para malaikat yang berada di muka bumi pada ketika itu.

Maka untuk mendapat malam Lailatul Qadar, anda harus berusaha gigih menghidupkan malam-malam Ramadan dengan ibadah, mengerjakan solat, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah dan memohon pengampunan. Kerana yang menjadi kepentingan bagi setiap individu Mukmin, adalah kesempatan yang Allah kurniakan hari ini, dan bukannya esok lusa ataupun masa hadapan. Yang kita miliki adalah masa yang Tuhan kurniakan sekarang ini, hari ini. Esok lusa belum tentu lagi. Apatah lagi Ramadan pada tahun yang mendatang, belum tentu lagi dalam genggaman. 

Bagaimana sekiranya ditakdirkan Ramadan kali ini merupakan Ramadan kita yang terakhir? Terawih yang terakhir? Tahajjud, doa, bahkan Lailatul Qadar yang terakhir? Apakah yang mampu kita persembahkan esok daripada pahala amalan, tatkala kedua kaki ini berdiri di Mahkamah Tuhan Yang Maha Perkasa?

Maka pohonlah keampunan kepada Allah (s.w.t). Jangan kita mengabaikan peluang keemasan dalam bulan yang suci ini untuk memperoleh rahmat serta pengampunan Allah (s.w.t). Tanamkan tekad untuk mengejar Lailatul Qadar pada kesempatan yang dikurniakan kali ini.

Saudaraku,

Selari dengan semangat kita untuk meraih keberkatan Lailatul Qadar. Kita sering diingatkan ulama, bahawa Lailatul Qadar itu adalah kurniaan Allah (s.w.t) kepada sesiapa yang layak untuk menerimanya. Maka perhatikan ibadah puasa kita di siang hari, pada waktu yang sama, perbanyakkanlah juga amalan soleh. Bukan sahaja dengan beribadah, akan tetapi kita mencontohi kekasih kita, Rasulullah (s.a.w), yang banyak memberi dan bersedekah serta menghulurkan bantuan, lebih-lebih lagi pada bulan yang mulia ini. 

Begitulah kebiasaan kita bila tiba bulan Ramadan. Kita semuanya terdorong untuk menambah amalan soleh, serta menyumbang sedekah serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. 

Akan tetapi saudaraku, sebagai peringatan untuk kita semua. Seorang mukmin itu pandai membuat pertimbangan. Dalam menghulurkan bantuan, pastikan kesahihan projek ataupun organisasi yang bakal kita hulurkan sedekah serta bantuan tersebut. Jangan sampai seseorang itu tertipu dengan pelbagai dakwaan. Lalu menghulurkan bantuan kepada mereka yang tidak layak menerima bantuan tersebut.

Saudaraku,

Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kepada kita taufiq serta inayah untuk dapat meningkatkan amalan pada bulan yang mulia ini. Dan semoga Dia menerima segala amal ibadah kita insyallah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

Khutbah Kedua

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.