collections khutbah Menghadirkan Keihsanan Bersama Keluarga
Menghadirkan Keihsanan Bersama Keluarga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 September 2021 / 3 Safar 1443H

Menghadirkan Keihsanan Bersama Keluarga

 

Muslimin Dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan sebenar ketakwaan, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga dengan ketakwaan, institusi keluarga yang dibina, berjaya menghidupkan persekitaran yang baik dan harmoni bagi masyarakat serta negara.

Saudara dan Saudari,

Khutbah pada minggu lalu telah menekankan akan kepentingan keberadaan seorang bapa dalam kehidupan anak-anak. Dengannya kehidupan anak-anak terpandu serta mereka akan dididik dengan akhlak yang mulia dan murni. Pada minggu ini, khutbah akan memberi penumpuan pula kepada sikap keihsanan terhadap ahli keluarga.

Apakah itu ihsan? Ihsan bererti melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja yang berada di sekeliling kita dengan penuh keikhlasan. Allah (s.w.t.) berfirman di dalam surah Al-Qasas ayat 77:

Yang bermaksud: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) hari akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) dunia, dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.”

Sikap ihsan dan kelembutan ini sudah semestinya harus bermula daripada rumah ketika berinteraksi bersama ahli keluarga. Ini kerana rumah merupakan tempat di mana seharusnya wujud suasana yang tenang serta aman. Ia adalah tempat kita menyuburkan rasa kasih sayang bersama ahli keluarga.

Saudara dan Saudari,

Apa yang saya nyatakan ini, walaupun mudah dan ringkas, akan tetapi kadangkala memerlukan kepada usaha dan tekad. Lebih-lebih lagi berhadapan dengan krisis serta masalah yang mungkin timbul. Ketika itu, segala tindak-tanduk kita, perbicaraan kita, sama ada boleh memperbaiki keadaan ataupun akan merumitkan lagi situasi.

Lihat sahaja kepada Nabi (s.a.w.) dan kehidupan berkeluarga Baginda. Kadangkala Nabi (s.a.w.) berhadapan dengan cabaran yang pelbagai. Akan tetapi, kita menyaksikan bagaimana Nabi (s.a.w.) sentiasa memilih pendekatan ihsan dalam segenap urusannya. Sebagai contoh, pernah diriwayatkan Saidatina Aisyah (r.a.) kerana cemburu, dengan sengaja telah menjatuhkan hidangan yang disediakan isteri Baginda (s.a.w.) yang lain, sehingga bekas hidangan itu pecah. Nabi (s.a.w.) ketika itu, tidak memarahi. Nabi (s.a.w.) hanya sekadar menyatakan: Ibu kamu telah cemburu. Lalu baginda (s.a.w.) memerintahkan untuk menggantikan bekas yang pecah itu dengan bekas yang ada di rumah Aisyah (r.a.). (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Ia merupakan tauladan bagi kita ketika berkomunikasi dengan ahli keluarga kita. Lebih-lebih lagi ketika krisis dan masalah datang melanda. Jangan tergopoh-gapah, kerana kemarahan, terus membentak, lalu bertindak. Kadangkala yang diperlukan hanya sekadar nasihat dan teguran. Kadangkala pula, sebaiknya ditundakan nasihat yang ingin diberi pada masa yang lebih sesuai. Apabila keadaan kembali tenang.

Saudara dan Saudari,

Situasi pandemik yang masih berlangsung sekarang ini, mengakibatkan sebahagian daripada kalangan masyarakat kita mengalami kesukaran hidup. Ada yang mengalami kehilangan pekerjaan dan merasa bimbang akan masa depan mereka yang tidak menentu.

Tekanan ini pasti membuatkan seseorang itu merasa resah. Dan agama ini mengajar setiap individu Mukmin, bahawa beliau perlu tabah, sabar dan akur akan ujian ini. Beliau tidak akan melepaskan kemarahan ataupun kekecewaannya terhadap individu lain yang tidak bersalah. Apatah lagi bertindak kasar dan ganas terhadap ahli keluarga. Ini bukanlah caranya. Dan sikap sedemikian ditolak dalam agama.

Saudara dan Saudari,

Segala jenis tindakan keganasan di dalam keluarga, sama ada secara fizikal, seperti penderaan, ataupun tekanan secara emosi serta mental, bukanlah di antara ciri seorang Muslim yang sejati. Nabi (s.a.w.) bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi).

Di sinilah letaknya peranan kita untuk menangani isu ini bersama. Sekiranya kita mendapat berita atau mengetahui mereka yang sedang mengalami keganasan rumahtangga, maka laporkanlah kepada pihak-pihak yang berkuasa seperti Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Justeru itu, kita bukan hanya menyelamatkan seseorang itu, bahkan kita turut dapat menghentikan pusingan keganasan (cycle of violence) yang berlaku. Ini kerana kita tidak mahu tatkala anak-anak dalam keluarga tersebut dipengaruhi dengan keganasan, lalu menyangka bahawa ia adalah satu perkara yang diterima dan normal. 

Saudara dan Saudari,

Sejajar dengan ini, Casa Raudha sedang mengadakan kutipan derma dalam usaha mereka untuk terus menyokong keluarga dan individu yang menghadapi keganasan rumahtangga. Daripada sumbangan ini, ia turut akan membantu keluarga-keluarga yang terjejas serta memberikan mereka peluang untuk memulakan permulaan hidup yang baru. Maka marilah sama-sama kita hulurkan sumbangan kita kepada usaha ini dengan melayari lelaman Facebook ataupun Instagram Casa Raudha untuk maklumat lanjut.

Ayuh sama-sama kita terus berusaha untuk menyuburkan rasa kasih sayang bersama keluarga dan menjadikan rumah kita sebagai sumber ketenangan dan tangga menuju ketenangan yang abadi di syurga Allah nanti. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.