collections khutbah Menghadapi Pemergian Orang Yang Dikasihi
Menghadapi Pemergian Orang Yang Dikasihi

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 November 2025 / 7 Jamadilakhir 1447H

Menghadapi Pemergian Orang Yang Dikasihi

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Serulah kepada kebaikan dan cegahlah kemungkaran. Tegakkan keadilan dan tolak segala kezaliman. Amalkan sifat tawaduk dan jauhi kesombongan. Tuntutlah ilmu dan jauhi kejahilan. Bersabarlah dalam ujian dan bersyukurlah dalam kesenangan. Maafkanlah orang lain dan mohonlah keampunan Tuhan. Semoga Allah s.w.t. mengumpulkan kita semua di syurga-Nya yang tertinggi. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-‘Ankabut ayat 57:

Maksudnya: “Setiap jiwa akan merasai mati. Kemudian kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.”

Mungkin ada antara kita yang pernah kehilangan insan di sekeliling, yang kembali bertemu Allah s.w.t. Inilah lumrah makhluk yang hidup, pasti akan bertemu hari penutup. Di kalangan mereka yang telah kembali, mungkin terdapat insan yang kita cintai, ahli keluarga, sahabat, tokoh yang dikagumi, para guru dan ulama, baik yang muda mahupun yang lebih berusia.

Tanpa mengira tempoh masa yang silih berganti, hakikatnya adalah, kehilangan insan yang disayangi pastinya mengundang emosi yang berat dan sukar untuk diuruskan seperti kepiluan, kesunyian dan kedukaan.

Oleh itu, mengurus emosi apabila berlaku kematian adalah amat penting. Jika tidak diurus dengan baik, kedukaan boleh menjadi satu beban yang membelenggu kehidupan, pemikiran serta tindakan, sehingga menjauhkan seorang Muslim daripada jalan kebenaran dan keredaan Allah.

Saudara-saudara yang dikasihi,

Nabi Muhammad s.a.w. sendiri pernah melalui beberapa episod duka dalam hidupnya, khususnya pada tahun ke-10 kenabian. Ketika ramai penduduk Makkah mengejek, menindas dan menyakiti Baginda kerana mengajak manusia kepada Islam, penjaga dan pelindungnya iaitu bapa saudaranya Abu Talib, meninggal dunia, sekaligus hilanglah salah satu tiang sandaran utama yang menyokong usaha dakwah Nabi s.a.w. Ini diikuti dengan kematian isteri Baginda yang tercinta, iaitu Sayyidatina Khadijah r.a. pada tahun yang sama.

Pemergian dua sosok utama tersebut bererti, buat pertama kalinya, Nabi s.a.w. kehilangan pelindung, penyokong dan tempat menumpang kasih. Kedukaan yang bertalu-talu ini menjadikan tahun tersebut dikenali dalam tradisi Sirah sebagai “Tahun Kesedihan”.

Lalu, apakah yang dilakukan oleh Baginda Nabi Muhammad s.a.w. ketika berhadapan dengan kedukaan sebesar itu? Bagaimanakah Baginda mengurus diri setelah kehilangan dua insan yang paling dikasihi? Melalui Sirah kehidupan Nabi, terdapat tiga panduan yang kita perolehi daripada Baginda s.a.w. dalam menghadapi kedukaan disebabkan pemergian orang yang dikasihi:

Pertama: Mengingati kebaikan orang yang telah pergi

Sayyidatina Aishah r.a. meriwayatkan bahawa setiap kali Nabi s.a.w. menyebut nama Khadijah, Baginda s.a.w. pasti akan memujinya. Sayyidatina Aishah r.a. berasa cemburu terhadap perkara ini lalu berkata, “Engkau sering menyebutnya, sedangkan Allah telah menggantikanmu dengan seseorang yang lebih baik.”

Baginda menjawab: “Tidak! Allah tidak menggantikanku dengan sesiapa yang lebih baik daripadanya. Dia beriman kepadaku ketika orang lain mendustakanku. Dia menerimaku ketika manusia menolakku. Dia membantuku dengan hartanya ketika orang lain menahannya daripadaku. Dan Allah mengurniakan aku anak melalui dirinya ketika wanita lain tidak dikurniakan anak.” (Hadis riwayat Ahmad)

Lihatlah betapa Nabi s.a.w. sentiasa menyebut kebaikan Sayyidatina Khadijah. Baginda mengenang jasa beliau dan memuji kelebihannya setelah pemergiannya.

Demikian juga kita harus menyebutkan jasa baik mereka yang telah pergi. Ketika kita kehilangan orang tersayang, ingatlah kebaikan mereka. Kenanglah kasih sayang, bakti, dan kebaikan yang telah mereka tinggalkan, walaupun sedikit atau hanya seketika. Sesungguhnya ia sedikit sebanyak dapat menenangkan hati dan meringankan kesedihan.

Kedua: Melihat kematian dengan pandangan yang menyeluruh

Nabi Muhammad s.a.w. memahami bahawa kematian hanyalah satu perpindahan daripada alam yang sementara. Bagi Muslim, inilah hakikat kehidupan. Ia tidak terbatas kepada kehidupan di atas muka bumi sahaja, namun merangkumi kehidupan yang seterusnya di akhirat yang tidak berpenghujung.

Setelah kehilangan Sayyidatina Khadijah r.a., Baginda s.a.w. mendapat ketenangan dengan keyakinan bahawa beliau berada dalam rahmat Allah dan di tempat yang lebih baik. Perpisahan itu sementara, manakala pertemuan semula menanti di syurga. Perspektif ini yang memberi kekuatan kepada Rasulullah s.a.w.

Begitulah juga, pemahaman menyeluruh terhadap kematian dapat membantu kita menenangkan diri apabila berkabung. Orang yang kita kasihi tidak hilang selama-lamanya, tetapi telah melangkah terlebih dahulu ke alam yang lebih kekal. Dengan izin Allah, kita akan menyusuli mereka dan bertemu semula di akhirat kelak, dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Allah.

Ketiga: Kembali kepada Allah demi mencari kesabaran, hikmah dan kekuatan

Saudara yang dikasihi sekalian,

Dalam keadaan duka atau apabila berkabung, kembalilah kepada Allah s.w.t. Pintalah dan berdoalah kepadanya, kerana Allah s.w.t. yang menghadirkan kesabaran di kala menghadapi ujian, hikmah untuk memahaminya, dan kekuatan untuk mengharunginya. Tiada hati yang terluka yang tidak dapat diubati melalui zikrullah, berdoa kepada-Nya, dan tawakal kepada-Nya. Dalam kita mengingati Allah, ada ketenangan; dalam kita bertawakal, ada kekuatan.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bahawa Allah s.w.t. berfirman: “Tiada balasan bagi hamba-Ku yang beriman apabila Aku mengambil insan yang paling dicintainya di dunia, lalu dia bersabar dan mengharap ganjaranku, melainkan syurga.” (Riwayat Al-Bukhari)

Hadis ini mengingatkan kita bahawa kesabaran saat kehilangan bukan sekadar menahan emosi diri, tetapi ia juga adalah jalan yang mendekatkan kita kepada Allah dan membawa kita ke syurga-Nya. Oleh itu, marilah kita menerapkan sifat sabar dalam saat-saat kesedihan, dengan penuh keyakinan bahawa dengan kecekalan dan kesabaran, kita mendekatkan diri kepada Allah dan bakal memperoleh ganjaran-Nya yang kekal di akhirat.

Saudara yang dirahmati Allah,

Antara waktu terbaik untuk berdoa ialah ketika khatib duduk di antara dua khutbah. Maka gunakanlah kesempatan ini untuk mendoakan insan-insan tersayang yang telah kembali ke rahmatullah. Semoga Allah s.w.t. menerima doa kita yang tulus dan mengumpulkan kita bersama mereka di tempat yang mulia di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua