

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
23 Oktober 2026 / 12 Jamadilawal 1448H
Menghadapi Cabaran Alam Sekitar Berpandukan Iman

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita dikurniakan kecekalan jiwa dalam menghadapi apa jua cabaran hidup. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang Jumaat sekalian,
Ruang udara kita telah diselubungi jerebu yang tebal lagi berpanjangan. Pemandangan langit yang lazimnya cerah berubah menjadi kelam. Namun, sebagai Mukmin yang sentiasa mencari hikmah dalam kehidupan, kita tidak membiarkan suasana kelam ini mengaburkan pandangan mata hati kita. Kita bermuhasabah: Apakah peringatan dan pengajaran buat diri kita di sebalik suasana ini? Perhatikan firman Allah s.w.t. dalam Surah Ar-Rahman, ayat 7 hingga 8 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan langit telah ditinggikan-Nya dan Dia menciptakan keseimbangan. Agar kamu tidak melampaui (merosakkan) keseimbangan itu.”
Sidang Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam telah lama menekankan kepentingan memelihara alam sekitar, jauh sebelum dunia moden membicarakan tentang kelestarian alam dan perubahan iklim. Al-Quran dan Sunnah mendidik kita bahawa bumi dan udaranya adalah amanah yang wajib dipelihara. Oleh itu, seorang Mukmin seharusnya berada di barisan paling hadapan dalam usaha penjagaan alam sekitar. Bukan sekadar menjadikannya slogan bermusim, tetapi sebagai bukti penghayatan akidah dan ibadah terhadap Allah s.w.t.
Dalam situasi jerebu baru-baru ini, sudah tentu kita ingin memahami puncanya dan mencari penyelesaian agar kejadian yang sama tidak berulang. Namun, di sebalik cabaran ini, janganlah kita berasa seolah-olah tiada apa yang mampu kita lakukan. Kita masih mempunyai peranan menyumbang kepada kebaikan, walaupun melalui usaha yang sederhana.
Ingatlah pesanan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sekiranya hari kiamat hampir berlaku, sedangkan di tangan salah seorang daripada kamu ada sebutir benih, maka jika dia sempat menanamnya sebelum kiamat, hendaklah dia menanamnya.” (Riwayat Ahmad)
Subhanallah! Sekecil mana pun peranan kita, syariat menuntut kita untuk terus menanam benih kebaikan dan tidak berputus asa, walaupun kita tidak melihat hasilnya dengan serta merta.
Sidang Jemaah yang dirahmati,
Berpandukan petunjuk agama, marilah kita mengambil tiga langkah bermakna dalam menghadapi suasana cuaca dan ikilm yang mencabar ini:
Pertama: Bermuhasabah terhadap gaya hidup
Dalam Surah Ar-Rum, ayat 41, Allah s.w.t. mengingatkan bahawa kerosakan alam ini berpunca daripada tangan manusia sendiri. Pastinya, pilihan harian kita, seperti corak pembelian yang berlebihan, penggunaan tenaga, dan pembaziran sumber, turut menjejaskan kesejahteraan alam sekitar. Marilah kita mengamalkan sifat bertanggungjawab dan bersederhana.
Kedua: Memahami kelonggaran (rukhsah) dalam ibadat
Saudaraku, Islam tidak pernah membebankan. Dalam sepotong hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. pernah mengarahkan muazin menyeru orang ramai agar melaksanakan solat di kediaman masing-masing apabila cuaca amat sejuk atau hujan lebat.
Dalam keadaan cuaca yang membahayakan kesihatan, seperti jerebu tebal, Islam memberikan kelonggaran untuk beribadat di rumah berbanding di masjid. Lebih-lebih lagi bagi golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan. Mengambil kelonggaran bukan tanda kelemahan iman, bahkan mencerminkan kefahaman terhadap matlamat syariah untuk memelihara nyawa.
Ketiga: Menyemai sifat rahmah sesama insan
Keadaan cuaca yang mencabar bukan sahaja menguji ketahanan diri, bahkan menuntut keprihatinan kita terhadap orang lain. Ambillah berat tentang kesejahteraan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat sekeliling. Misalnya, tunjukkanlah ihsan kepada para penghantar makanan yang tetap bertungkus-lumus menjalankan tugas meskipun dalam keadaan berjerebu. Hulurkan bantuan apabila diperlukan, dan berusahalah untuk meringankan beban sesama insan.
Semoga dengan mempamerkan sifat rahmah dan ihsan kepada para penghuni bumi, kita juga layak dinaungi dengan limpahan rahmat Allah, Tuhan sekalian alam. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

