collections khutbah Mengenali Nama Tuhan Ar-Razzaq
Mengenali Nama Tuhan Ar-Razzaq

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

4 September 2020 / 16 Muharram 1442H

Mengenali Nama Tuhan Ar-Razzaq

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus bertakwa kepada Allah dengan meninggalkan segala larangan-Nya dan berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan perintah-perintah-Nya. Semoga Allah memberkati segala yang dikurniakan kepada kita dan melindungi kita di dunia dan di akhirat nanti.  Amin.

Pegangan umat Islam yang paling utama adalah kepercayaan tauhid, bahawa tiada yang layak disembah kecuali Allah Yang Satu.  Dan di antara jalan untuk mengenali Allah adalah melalui Nama-Nama-Nya Yang Mulia, yang dikenali sebagai al-Asma’ al-Husna.  Sabda Nabi Muhammad s.a.w. riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim, bermaksud: “Sesungguhnya Allah memiliki sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu, siapa yang menjaganya maka dia akan masuk syurga.”

Imam an-Nawawi menjelaskan bahawa maksud menjaga nama Allah ialah menghafalnya, memuliakannya, memahami maknanya, beriman dengannya serta beramal dengan pengertian yang terkandung di dalamnya. InshaAllah, khutbah sepanjang September ini akan membentangkan beberapa contoh al-Asma’ al-Husna, untuk menjadi renungan dan pegangan kita.  Semoga ada manfaatnya.  Untuk hari ini, mari kita perhatikan salah satu nama Allah yang mulia, iaitu “ar-Razzaq”, yang bermaksud: Yang Maha Pengurnia Rezeki.  

Di dalam hidup ini, saudara, kita tidak dapat terlepas daripada mengharapkan rezeki pemberian Allah.  Jika tidak kerana curahan rezeki-Nya, kita tidak akan mampu meneruskan kehidupan, kerana kita sebenarnya tidak memiliki apa-apa.  Bukan hanya apa yang kita minta.  Malah begitu banyak yang kita tidak minta pun diberikan-Nya juga, kerana Allah ar-Razzaq mengetahui segala keperluan hidup kita.  Segala yang masuk ke perut menghilangkan lapar kita, yang lalu di tekak menyirami dahaga, yang dipakai menutup tubuh sehingga selesa, rumah tempat tinggal kita, kebahagiaan hidup bersama keluarga, kesihatan yang dinikmati selesai setiap penyakit yang membuat derita, kemampuan melihat dengan mata, mendengar dengan telinga, lidah yang membolehkan kita berbicara, begitu pula tangan untuk berusaha, kaki buat melangkah ke mana-mana, apatah lagi nikmat akal yang membezakan kita daripada haiwan melata; semuanya itu dan banyak lagi yang lain, adalah rezeki Allah s.w.t. untuk kita.

Hamba yang menginsafi maksud di sebalik nama “ar-Razzaq”, tidak akan pernah menyombong.  Jiwanya indah dengan kesyukuran bila dicurahkan rezeki, dan itulah yang mendorongnya untuk beribadat dengan sepenuh hati.  Dia sedar bahawa Allah tidak memerlukan apa-apapun daripada ketaatannya.  Sebaliknya, dialah yang senantiasa memerlukan rezeki Tuhannya.  Firman Allah di dalam ayat 56-58 Surah az-Zariyat:

 

Yang bermaksud: “Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia kecuali semata-mata untuk mereka beribadat kepadaKu.  Aku tidak menginginkan sebarang rezeki daripada mereka, dan Aku tidak menginginkan mereka memberi aku makanan apa-apa.  Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengurnia Rezeki, Yang Memiliki Kekuatan, lagi Maha Teguh dalam KekuatanNya.”

Saudara-saudara sekelian,

Hati insan yang meyakini Allah sebagai ar-Razzaq teguh dengan ketabahan walau diuji dengan apapun cabaran, kerana dia yakin ada ar-Razzaq untuk dia gantungkan pengharapan.  Dia tahu rezekinya sudah dijamin Tuhan.  Namun tidak pula dia berangan-angan kosong bahawa yang bulat akan datang bergolek dan yang pipih pula datang melayang.  Hamba yang berpegang dengan nama Allah ar-Razzaq adalah hamba yang akan terus berkerja demi mencari keberkatan pada rezekinya dan keredhaan daripada Tuhannya.  Dia malu untuk hanya terus meminta tetapi tidak mahu berusaha.

Inilah yang seharusnya menjadi pegangan kita, saudara, terutama di dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.  Akan tetapi kita seharusnya membuat perancangan kewangan dengan sebaiknya. Ia merupakan peluang untuk kita berjimat cermat dalam perbelanjaan. Agar perbelanjaan kita tidak melebihi daripada kemampuan. Tambahan dari ini, seorang mukmin yang beriman dengan Tuhan ar-Razzaq tidak akan berputus asa, bahkan beliau akan terus berusaha. Seperti meningkatkan kemahiran agar dapat mempelajari satu kemahiran yang baru bagi menempuhi cabaran alam pekerjaan. 

Mudah-mudahan dengan keyakinan kita terhadap ar-Razzaq, Allah s.w.t akan mengurniakan kita limpahan rezeki-Nya serta kemudahan dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 

Ya Allah, Ya Karim, Ya Razzaq, Ya Halim,

Engkaulah Yang Maha Pemurah dalam kurniaanMu, Yang Maha Luas dalam pemberianMu.  Kami berserah diri hanya kepadaMu.  Sejahterakanlah kami dari segala keburukan.  Lapangkanlah kami dari segala kesempitan.  Berkatilah rezeki yang Engkau limpahkan.  Kurniakan kami kekuatan untuk mampu dan mahu berusaha di dalam mencari kebaikan, untuk diri kami, keluarga kami, masyarakat dan negara ini.  Kekalkanlah pekerjaan-pekerjaan kami yang menjadi sumber pendapatan kami.  Namun jika ada di antara kami yang Engkau uji dengan kehilangan pekerjaan, maka kami bermohon, ya Allah, agar Engkau teguhkanlah keimanan dan ketabahannya.  Murahkanlah rezekinya.  Gantikanlah untuknya pekerjaan baru yang baik bagi diri dan keluarganya, dunia dan akhiratnya.  Sesungguhnya, segala pintu rezeki di dalam genggaman kuasaMu, dan tiada yang lebih pemurah daripadaMu, Ya Arhamarrahimin.    

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.