collections khutbah Mengenali Nama Tuhan Al-Fattah
Mengenali Nama Tuhan Al-Fattah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

25 September 2020 / 7 Safar 1442H

Mengenali Nama Tuhan Al-Fattah

 

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan melaksanakan perintah-perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Semoga Allah senantiasa menaungi hidup kita dengan pimpinan dan perlindungan-Nya. Amin.

Sepanjang beberapa minggu yang lalu, khutbah Jumaat telah berbicara tentang tiga nama Allah: ar-Razzaq, al-Latif dan al-'Adl, bahawa Allah itu Maha Pengurnia Rezeki, Maha Lembut dan Maha Adil. Rezeki Allah begitu luas dicurahkan dengan segenap kelembutan, dicukupkan segala keperluan insan, diatur indah penuh dengan keadilan. Apabila seorang insan mengerti dan menerima nama-nama Allah itu sebagai pegangan, setiap langkah hidupnya penuh berani dan pasti. Baginya, kejayaan bukanlah sekadar mencapai apa yang dihasratkannya, tetapi yang lebih bermakna ialah kejayaan memperolehi keredhaan Allah di atas segala usaha, di mana setiap pekerjaan menjadi ibadat dengan ganjaran pahalanya. Dia yakin Allah pasti akan memberinya kurniaan yang jauh lebih baik daripada apa yang dia jangka. 

Jika sesekali kelihatan awan hitam memuramkan hari esoknya, itu tidak sedikitpun menjejas impiannya untuk berjaya. Tiada istilah "jalan mati" baginya. Kalaupun ada satu pintu tertutup di hadapannya, dia tahu ada banyak lagi pintu yang Allah sediakan untuknya. Kerana di antara nama Allah juga adalah al-Fattah, Yang Maha Pembuka. Firman Allah di dalam surah Fatir, ayat yang kedua:

Yang bermaksud: “Apa jua rahmat yang Allah bukakan untuk manusia, tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya, dan apa jua yang ditahan Allah pula, tidak ada sesiapapun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan Dialah sahaja Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Lihat, saudara! Subhanallah! Allah al-Fattah membuka pintu rahmat-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Allah buka kesempatan untuk hamba-hamba-Nya memohon pengampunan, biar betapa besar atau banyak manapun dosa mereka. Allah buka pintu rezeki-Nya kepada semua, termasuk mereka yang engkar kepada-Nya. Allah buka pintu syurga-Nya kepada semua yang memiliki iman di dada, walaupun ibadat mereka tidak sempurna. Allah mengabulkan doa si hamba, dengan yang lebih istimewa daripada yang dipinta. Allah buka pintu keihsanan dan hikmah, di sebalik cabaran yang menimpa. Allah buka pintu kejayaan, yang ada kalanya tidak termimpi dan tidak disangka. Allah buka pintu keberkatan atas usaha si hamba, walaupun zahir kurang berhasil di dunia, namun tetap terjamin balasan di syurga.

Lantas, apa pula agaknya yang Allah tuntut daripada kita? 

Allah al-Fattah, Yang Maha Pembuka, mahu hamba-Nya juga berlapang dada dan bersifat terbuka. Berlapang dada dengan perbezaan yang ada, kerana memang begitulah fitrah yang Allah atur untuk makhluk-makhluk-Nya. Saling menghormati dan menghargai, sehingga mahu berganding bahu dan bekerjasama. Bersifat terbuka dengan segala ketentuan takdir Allah yang perlu diterima, mahupun ketetapan agama-Nya untuk dilaksana. Maka kita tidak seharusnya mudah berputus asa dan kecewa. Sebaliknya kita disuruh untuk selalu membuka hati dengan tadahan doa, mengakui kelemahan diri sambil meyakini keluasan rahmat Tuhan. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah itu amat pemalu dan pemurah. Allah merasa malu kalau ada hamba-Nya yang mengangkat kedua belah tangan untuk berdoa, tetapi kemudiannya tangan si hamba itu dikembalikan dalam keadaan kosong (tidak dikabulkan doanya)." (Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Abu Daud).

Jika Allah malu untuk menghampakan doa-doa kita, maka patutkah pula kita meragui kemurahan-Nya, atau menyombong tidak memohon anugerah-Nya? Sedangkan curahan kasih Allah tidak pernah terkunci di balik pintu yang tertutup rapat, kerana Allah itu al-Fattah, Yang Maha Pembuka. Ujian apapun yang masih membelenggu, dan cabaran baru apapun yang akan mendatang esok hari, mari kita hadapi dengan yakin dan berani. Semoga Allah melindungi kita daripada marabahaya dan bencana yang mendatangkan kesengsaraan pada kita di dunia dan akhirat.  Amin ya Rabbal ‘Alamin.

    أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.