collections khutbah Mengenali Baginda s.a.w.: Sikap Rendah Diri
Mengenali Baginda s.a.w.: Sikap Rendah Diri

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 9 Oktober 2020 / 21 Safar 1442H

Mengenali Baginda s.a.w.: Sikap Rendah Diri

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita sentiasa mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. Amin.

Saudaraku,

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang insan yang sangat mulia keperibadiannya dan indah akhlaknya. Setiap dari kita pastinya terdorong untuk mencontohi keperibadian Baginda s.a.w. dengan kita menghayati sirah Baginda. Kita perlu berusaha untuk menerapkan segala yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. dalam kehidupan kita. Oleh itu, khutbah pada hari ini, ingin mengajak kita sama-sama menghayati akan satu sifat mulia Baginda s.a.w. yang perlu terus dipupuk dalam kehidupan seharian kita. Sifat mulia yang dimaksudkan adalah sifat kerendahan diri yang dipaparkan Rasulullah s.a.w.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah asy-Syuara’ ayat ke-215:

Yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu (wahai Muhammad) terhadap orang-orang yang beriman yang mengikutimu.”

Baginda s.a.w. sentiasa  bersikap terbuka dalam melayani sesiapa sahaja yang bersamanya dan bertemu dengannya, tanpa mengira umur, pangkat ataupun kedudukan seseorang itu. Malahan salah seorang pembantu Nabi s.a.w. iaitu Anas bin Malik r.a. pernah menggambarkan akan akhlak Baginda s.a.w. bersama pembantunya. Rasulullah s.a.w. tidak pernah sama sekali berkasar dengan pembantunya serta mempersoalkan cara pembantunya menjalankan tugas mereka.  (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Renungkanlah saudaraku akan keindahan akhlak Baginda s.a.w. Kerendahan hati dan budi pekertinya itu menghasilkan kehidupan yang penuh dengan kemesraan dan kasih sayang sesama segenap individu yang berurusan dengannya. Bagaimana pula dengan diri kita? Tidakkah kita mencintai Rasulullah s.a.w.? Bukankah Rasulullah s.a.w. telah meninggalkan pelbagai pengajaran untuk kita contohi? Dalam usaha kita menghidupkan sunnah Baginda s.a.w., sama-samalah kita memupuk nilai akhlak yang mulia ini dalam diri kita dan ahli keluarga kita.

Saudaraku,

Seorang yang beriman dan berilmu akan melakukan yang terbaik untuk melindungi dirinya dari sikap sombong dan angkuh. Seorang yang berilmu tidak akan membiarkan dirinya dikaburi dengan sifat sombong sehingga menganggap ilmunya serta pendapatnya sahaja yang betul dan pendapat orang lain semuanya salah. Seorang yang beriman juga akan memelihara tutur katanya dari keburukan dan keangkuhan. Kerana kesombongan itu sebenarnya menyekat diri kita dari sebarang kebaikan. Bahkan kadangkala, hanya disebabkan perasaan sombong serta ego, ia mengakibatkan kita untuk tidak menuruti kebenaran.

Dari itu Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk ke syurga barangsiapa yang dalam hatinya terdapat kesombongan seberat sebiji sawi.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Sikap merendah diri merupakan kunci kepada segala pintu kebaikan dan dapat memelihara hubungan kita dengan Allah dan sesama manusia. Ia dapat menyedarkan diri kita bahawa segala yang ada pada kita sebenarnya datang dari Allah s.w.t. kerana Allah yang memiliki segala-Nya. Dengan kerendahan hati, kita juga akan lebih terbuka untuk menerima teguran, maklum balas dan pandangan yang berbeza dari sesiapa sahaja, sama ada rakan kita, saudara kita atau isteri kita.

Inilah merupakan peluang bagi kita untuk terus memperbaiki diri kita agar dapat menjadi seorang insan yang lebih baik daripada hari yang sebelumnya.

Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hamba yang bersyukur atas segala kurniaan-Nya, serta mencontohi keperibadian Nabi s.a.w. dalam setiap aspek kehidupan kita. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.