collections khutbah Mengenal Pasti Ciri-ciri Ajaran Sesat
Mengenal Pasti Ciri-ciri Ajaran Sesat

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 Julai 2022 / 15 Zulhijjah 1443H

Mengenal Pasti Ciri-ciri Ajaran Sesat

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t.) dengan melakukan segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba yang mendapat taufik dan hidayah-Nya. Amin.

Saudara dan saudari,

Pemilihan guru adalah sesuatu yang amat penting dalam perjalanan menuntut ilmu. Menimba ilmu dari ahlinya adalah sesuatu yang amat dituntut dalam Islam. Allah berfirman:

 

Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan dari kalangan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu kepada ahli zikir jika kamu tidak mengetahui.” (Al-Nahl: 43)

Menurut Dr. Wahbah Al-Zuhayli, “ahli zikir” yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada ahli ilmu. Golongan awam dituntut untuk bertanya kepada mereka tentang perkara yang tidak diketahui.

Kewujudan individu-individu yang tidak mahir dan tidak dilatih di dalam sesuatu bidang tetapi terjun ke dalam bidang tersebut adalah sesuatu yang amat membimbangkan. Lebih membimbangkan apabila mereka dijadikan sebagai pakar rujuk oleh masyarakat awam. Mencedok ilmu bukan dari ahlinya merupakan salah satu faktor yang menyebabkan seseorang terpengaruh dengan ajaran sesat.

Saudara dan saudari,

Ajaran sesat dapat dikenali melalui ciri-ciri tertentu. Salah satu cirinya ialah ajaran yang dilakukan secara bersembunyi, rahsia atau penyampaiannya hanya kepada ahli-ahli kumpulan tertentu sahaja.

Antara sebab mengapa pertemuan atau kelas agama sedemikian mesti dirahsiakan adalah agar penyimpangan yang diajarkan oleh guru kumpulan tersebut sukar untuk dikesan.

Oleh kerana guru yang membimbing kumpulan sedemikian tidak memiliki bekalan ilmu yang cukup mengenai al-Quran, maka terjadilah penyalahtafsiran ayat-ayat Al-Quran berdasarkan pemikiran sendiri tanpa ilmu, dan tafsirannya amat jauh dan berbeza dari pandangan ulama-ulama yang muktabar.

Bertambah buruk lagi, sebahagian guru kumpulan ini mendakwa diri sebagai Imam Mahdi, Nabi Isa dan wali yang memiliki keramat dan mendakwa dirinya maksum iaitu terpelihara dari dosa, atau mendakwa sebagai pengganti Rasulullah (s.a.w.). Ada juga yang mendakwa bahawa dia menerima wahyu langsung dari Allah.

Saudara dan saudari,

Merubah atau menggugurkan kewajipan agama seperti solat dan sebagainya tanpa sebab yang diterima syarak adalah salah satu ciri yang menunjukkan kesesatan sesuatu ajaran.

Ada yang mendakwa bahawa solat yang hakiki hanya perlu kepada niat. Tidak perlu dilakukan secara fizikal. Sedangkan Nabi (s.a.w.) sendiri tidak pernah meninggalkan solat dalam keadaan apa sekalipun. Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Abdullah bin ‘Umar (r.a.) pernah berkata:

Aku menemani Rasulullah (s.a.w.) dan Baginda (s.a.w.) tidak pernah mendirikan solat melebihi dua rakaat ketika bermusafir. Abu Bakr, Umar dan Uthman (r.a.) juga melakukan sedemikian.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Hadis yang baru dibacakan ini mengandungi beberapa pengajaran penting:

Pertama, ia mengajarkan kepada kita bahawa perubahan kepada bilangan rakaat dalam solat qasar adalah menerusi nas al-Quran. Bukan dari tindakan atau keinginan peribadi Nabi (s.a.w.).

Kedua, ia menunjukkan kasih sayang Allah terhadap hamba-hamba-Nya kerana mempermudahkan bagi mereka untuk beribadah kepada-Nya dengan membenarkan solat dipendekkan dalam keadaan tertentu. Kemudahan dalam ibadat juga perlu didasari dengan nas dan panduan agama yang betul. Bukan dengan citarasa diri seseorang.

Saudara dan saudari,

Setiap daripada kita berkewajipan untuk memastikan bahawa ilmu yang kita pelajari adalah ilmu yang sahih, ilmu yang bertepatan dengan perintah Allah dan ajaran Rasul-Nya.

Ambillah ilmu agama dari guru-guru yang bertauliah yang memiliki Sijil Pengiktirafan Asatizah (ARS). Ini boleh diketahui dengan merujuk kepada senarai yang terdapat di lelaman web ARS.

Semoga Allah (s.w.t.) memelihara kita dan ahli keluarga kita daripada terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang sesat lagi menyimpang. Amin ya Rabbal ‘Alamin!

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.