collections khutbah Mencontohi Rasulullah ﷺ Dalam Hidup Kemasyarakatan
Mencontohi Rasulullah ﷺ Dalam Hidup Kemasyarakatan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 Mei 2022 / 21 Syawal 1444H


Mencontohi Rasulullah  Dalam Hidup Kemasyarakatan

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan memenuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang diberi hidayah oleh Allah (s.w.t). Amin. 

Saudaraku,

Allah (s.w.t) telah memberi kita pelbagai bentuk pertolongan buat kita. Nikmat-nikmat yang tidak terhitung, syariat yang membimbing. Sehinggakan diutuskan kepada kita kekasih-Nya untuk membimbing kita ke jalan yang benar. Begitulah sayangnya Allah (s.w.t) kepada hamba-Nya. Tidaklah kita semua dibiarkan terkapai mencari hidayah-Nya tanpa diberi panduan. 

Maka kita sebagai hamba. Merupakan satu kemestian untuk kita melakar kehidupan kita, mengikut contoh teladan yang terbaik. Mencontohi kehidupan kekasih Allah (s.w.t), iaitu Nabi Muhammad (s.a.w). 

Baginda menyampaikan kepada kita syariat Islam dengan sebaik-baik cara, iaitu dengan menjadi contoh tauladan buat kita semua. Daripada aspek keperibadian yang mulia, membina keluarga yang harmoni, sehingga bagaimana untuk berurusan dalam kehidupan bermasyarakat. 

Saudaraku,

Kehidupan bermasyarakat ini, walaupun nampaknya merupakan satu perkara lumrah, akan tetapi padanya terdapat cabaran yang tertentu. Pastinya terdapat cabarannya ketika kita berurusan dengan masyarakat, ataupun jiran tetangga. Rambut mungkin sama hitam, hati masing-masing, tuhan saja yang tahu. Nabi Muhammad (s.a.w) bersabda yang bermaksud: Orang mukmin yang bergaul dengan manusia serta bersabar di atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia serta tidak bersabar di atas gangguan mereka.” (Hadith riwayat At-Tirmizi).

Imam Al-Mubarakfuri menjelaskan maksud daripada sabda Baginda: “bergaul dengan manusia” sebagai berikut: Ia membawa pengertian seorang Mukmin yang tinggal bersama manusia, bermastautin di tengah-tengah masyarakat. 

Maka tidak dinafikan dalam usaha untuk menjalinkan hubungan bermasyarakat, kita sering berhadapan dengan pelbagai kerumitan dan salah faham yang boleh menimbulkan rasa marah, dendam, tidak puas hati dan sebagainya. 

Pada kesempatan ini ingin saya berkongsi dengan anda semua satu panduan yang begitu berharga dari Nabi (s.a.w) Nabi bersabda:

لاَ يُبَلِّغْنِي أَحَدٌ مِنْ أَصْحَابِي عَنْ أَحَدٍ شَيْئًا فَإِنِّي أُحِبُّ أَنْ أَخْرُجَ إِلَيْكُمْ وَأَنَا سَلِيمُ الصَّدْرِ

Yang bermaksud: “"Janganlah seorang dari sahabatku menyampaikan sesuatu tentang orang lain kepadaku, sesungguhnya aku ingin menemui kalian dengan hati yang bersih." (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Disebalik panduan Nabi (s.a.w) untuk tidak berkata-kata buruk berkaitan sesiapapun, padanya terdapat panduan yang begitu berharga. 

Bagaimana ketika kita berurusan dengan orang ramai, pasti akan terzahir kekurangan insan lain. Ketika itu, Nabi (s.a.w) mengajar kita untuk memilih pilihan yang lebih mudah untuk kita pelihara dan jaga. Iaitu untuk sentiasa melihat kepada kebaikan insan dan bukannya mencari-cari keburukannya.

Lihat saja contoh bagaimana Rasulullah (s.a.w) berurusan dengan seorang Sahabat (r.a) yang sering melakukan dosa besar seperti meminum arak.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Nabi (s.a.w) ketika menyaksikan sebahagian sahabat menghina individu tersebut, Baginda bersabda: 

لا تَلْعَنُوهُ، فَوَاللَّهِ ما عَلِمْتُ إنَّه يُحِبُّ اللَّهَ ورَسولَهُ

Yang bermaksud: “Janganlah kalian melaknat beliau. Sesungguhnya aku tahu bahawa beliau mencintai Allah dan Rasul-Nya” [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Saudaraku,

Hubungan sosial yang Baginda (s.a.w) jalinkan adalah berpaksikan kepada sikap saling hormat menghormati dan sayang-menyayangi. Nabi (s.a.w) memilih untuk tidak melihat kepada keburukan dan kekurangan mereka yang berada di sekitarnya.


Bahkan, Allah (s.w.t) menyifatkan hamba-hamba-Nya yang paling dikasihi sebagai hamba kepada Ar-Rahman. Kerana mereka mencerminkan sifat-sifat Rahman, Allah (s.w.t) iaitu belas kasihan kepada setiap makhluk di dunia ini. Allah (s.w.t) berfirman dalam surah Al-Furqan: 63

Yang bermaksud: “Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini;”

Maka kita, jika ingin tergolong dikalangan mereka yang disebutkan pada ayat tersebut, hendaklah kita mencerminkan sifat belas kasihan ini kepada sekeliling kita.

Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang peka dan mengambil peduli akan kebajikan sesama insan. Dan semoga Allah (s.w.t) memberkati usaha kita untuk memupuk nilai-nilai murni di dalam kehidupan kita seharian dan melestarikan keharmonian yang telah terjalin di dalam masyarakat kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.