collections khutbah Mencontohi Nabi s.a.w. : Dorongan Mencari Ilmu
Mencontohi Nabi s.a.w. : Dorongan Mencari Ilmu

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

2 Oktober 2020 / 14 Safar 1442H

Mencontohi Nabi s.a.w. : Dorongan Mencari Ilmu

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita hati yang sentiasa yakin kepada-Nya. Amin.

Saudaraku,

Setiap di antara kita pastinya mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. Cinta dan kasih sayang Allah dapat dicapai melalui cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat ke-31 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.): "Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihimu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ketahuilah saudara, bahawa cinta kepada Baginda s.a.w., perlu dibuktikan dengan kesungguhan kita mengamalkan ajarannya, memperbanyakkan selawat ke atasnya serta mencontohi keperibadian Baginda s.a.w. Bak kata pepatah “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, khutbah sepanjang bulan ini ingin mengajak kita bersama-sama menghayati akan panduan yang diajarkan oleh Baginda s.a.w.

Saudaraku,

Nabi Muhammad s.a.w. merupakan utusan Allah s.w.t., pembawa rahmah buat sekalian alam. Maka seharusnya setiap individu mukmin berusaha untuk mencontohi Nabi s.a.w. pada segenap aspek kehidupannya. Ia dapat kita perolehi melalui penghayatan sirah perjalanan hidupnya. Juga dengan mempelajari pengajaran yang terkandung di sebalik hadis-hadisnya. Segalanya merupakan panduan buat kita. Demi mencapai kejayaan di dunia serta di akhirat.

Saudaraku,

Pada kesempatan ini, ingin saya berkongsi dengan anda satu panduan Nabi s.a.w. yang merupakan tema berulangan. Sama ada di dalam al-Quran, mahupun di dalam sunnah Baginda s.a.w. Perhatikan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju ke syurga” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Hadis ini merupakan dorongan daripada Baginda s.a.w., untuk setiap individu mukmin berusaha untuk mencari dan mempertingkatkan ilmu, sepanjang hayat. Kerana dengan adanya ilmu, ia bukan hanya dapat mendekatkan diri kita kepada Tuhan, namun ilmu juga membantu memberi huraian serta jalan keluar berhadapan dengan cabaran kehidupan. Dengan ilmu, kehidupan seorang mukmin akan sentiasa terpandu. Akhiratnya juga terpelihara.

Saudaraku,

Kepentingan panduan kenabian ini, untuk sentiasa menuntut ilmu, menjadi lebih relevan lagi, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ini. Sebahagian daripada kita mungkin terpaksa membuat penyesuaian tertentu. Penyesuaian pada perbelanjaan, pada perancangan juga pada prioriti serta kepentingan yang perlu diberikan perhatian. Keadaan ini, tambahan daripada merupakan peluang untuk kita meningkatkan keimanan dan keyakinan kepada Tuhan, ia juga mengajar kita untuk sentiasa bersedia untuk membuat penyesuaian. Kerana cabaran kehidupan akan berterusan. Dan mereka yang beriman kepada Tuhan akan sentiasa berusaha untuk mencari jalan keluar.

Sama ada dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta kemahirannya, agar dapat membuka peluang-peluang yang lain buatnya. Inilah semangat mencari ilmu dan huraian yang perlu disemai dalam diri kita.

Saudaraku,

Sama-samalah kita menjadikan Nabi s.a.w. sebagai contoh teladan buat kita. Semoga Allah mengurniakan kepada kita perasaan cinta kepada Baginda s.a.w. serta mengamalkan ajarannya. Mudah-mudahan, Allah s.w.t. merahmati kita dan melindungi kita dari segala keburukan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudaraku,

Sepertimana yang telah disentuh pada khutbah yang pertama, berkaitan kepentingan menuntut ilmu. Ingin saya memaklumkan kepada para Jemaah sekalian bahawa Mendaki akan menganjurkan beberapa acara dalam talian sepanjang bulan Oktober 2020 ini, bertemakan Raikan Ilmu.

Ia bertujuan untuk mendorong ahli keluarga serta kanak-kanak untuk terus membudayakan pembelajaran ilmu sepanjang hayat. Marilah sama-sama kita mengambil peluang ini untuk terus menuntut ilmu. Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di lelaman Raikan Ilmu SG atau di media sosial @MendakiSG.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan dapat mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Amin.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.