collections khutbah Mencontohi Baginda s.a.w.: Memberi Kata-Kata Yang Baik
Mencontohi Baginda s.a.w.: Memberi Kata-Kata Yang Baik

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 Oktober 2020 / 13 Rabiulawal 1442H

Mencontohi Baginda s.a.w.: Memberi Kata-Kata Yang Baik

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Teruskan berusaha untuk melaksanakan segala yang diperintahkan-Nya dan jauhi segala yang dilarang-Nya. Semoga setiap tutur kata dan amalan kita diberkati dan diredhai Allah (s.w.t.). Amin.

Saudaraku yang dikasihi,

Sepanjang bulan ini, khutbah telah mengajak kita untuk meneladani keperibadian yang dipaparkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.). Kita sama-sama didorong untuk terus mencari ilmu, sentiasa bersikap rendah diri, serta digalakkan untuk menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan. Inilah ciri-ciri kebaikan yang perlu terus dipupuk dan disemai dalam kehidupan seharian kita.

Pada kesempatan hari ini, ingin saya mengajak diri kita semua untuk menghayati salah satu daripada ciri kebaikan yang dipaparkan Nabi (s.a.w.). Ia adalah kata-kata baik dan positif kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengan Baginda.

Di antara nasihat yang diberikan oleh Nabi (s.a.w.) yang bermaksud: “Perintahkan perkara yang baik dan cegah perkara yang buruk. Dan sekiranya kamu tidak dapat melakukan itu, maka tahan lidahmu dari segala perkara kecuali yang baik.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari, al-Adab al-Mufrad).

Saudaraku,

Mungkin sebahagian individu akan beranggapan bahawa nasihat tersebut merupakan satu perkara yang kecil. Akan tetapi saudaraku, ia bukanlah sedemikian rupa. Kerana di sisi Nabi (s.a.w.), berkata baik serta benar merupakan satu perkara yang besar. Ia diterjemahkan dalam kehidupan seharian Nabi (s.a.w.). Bagaimana Baginda, melalui kata-kata yang positif, akan sentiasa berusaha untuk memberi kesan kepada seorang individu. Kadangkala Nabi (s.a.w.) memuji dan memberi pengiktirafan di atas usaha kecil. Dan pada masa yang lain, Baginda akan memberi dorongan dan sokongan.

Ketahuilah saudara, disebalik segala yang kita lafazkan, ia sebenarnya memberi pelbagai kesan kepada kehidupan seseorang. Dengan kata-kata yang baik, ia mewujudkan suasana yang positif, mendorong serta membina peribadi seseorang. Kita saling menyokong antara satu sama yang lain ke arah kebaikan bersama. Lebih-lebih lagi dengan keadaan penularan wabak yang masih berterusan. Sebahagian individu berhadapan dengan cabaran yang pelbagai, sama ada dari aspek ekonomi dan pekerjaan, kepada kesejahteraan mental dan perasaan.

Alangkah baiknya sekiranya kita dapat memainkan peranan dengan memberi kata-kata semangat dan dorongan. Dan sekiranya kita mengamati bahawa teman kita ini memerlukan kepada sokongan serta nasihat yang pakar, kita berusaha untuk membantunya. Menunjukkan jalan serta memberi panduan.

Begitulah saudaraku, pentingnya peranan lisan seseorang. Seharusnya kita memanfaatkannya ke arah yang diredhai Allah (s.w.t.). Perhatikan firman-Nya yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sesungguhnya syaitan itu selalu menimbulkan perselisihan di antara mereka. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Surah al-Isra ayat 53).

Saudaraku,

Pada zaman yang serba canggih ini, media sosial merupakan satu saluran yang mana setiap individu dapat meluahkan kata-kata ataupun pendapat kita. Maka seorang mukmin perlu berusaha untuk mencontohi akhlak Baginda (s.a.w.) pada setiap saat dan ketika. Sama ada ketika kita bertutur dengan insan lain secara bersemuka, ataupun memberi komentar di alam maya, pastikanlah kata-kata yang disampaikan itu benar dan memberi kemanfaatan. Kata-kata yang memberi dorongan serta mencetus harapan. Dan bukan sebaliknya.

Semoga Allah (s.w.t.) memelihara diri kita dari sebarang keburukan dan meningkatkan lagi amalan kita kepada-Nya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.