

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
18 September 2026 / 6 Rabiulakhir 1448H
Menangani Bisikan Hati Dengan Keimanan

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Laksanakan perintah-Nya dan jauhi larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita keutuhan rohani dan ketabahan jiwa untuk menjadi mukmin yang teguh imannya. Amin, ya Rabbal 'Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ada kalanya timbul persoalan di dalam hati: Apakah gunanya kita terus melakukan kebaikan, sedangkan masih ramai manusia melakukan yang sebaliknya? Mengapakah orang yang zalim terus hidup dalam kesenangan, sedangkan mereka yang berusaha melakukan kebaikan pula diuji dengan kesusahan?
Persoalan seperti ini bukanlah sesuatu yang asing bagi seorang mukmin. Hati yang beriman sememangnya terusik apabila melihat kemungkaran dan kezaliman. Namun, jika persoalan ini tidak mendapat panduan keimanan, ia boleh melemahkan semangat kita, sehingga merasakan bahawa usaha melakukan kebaikan tidak lagi bermakna.
Sidang hadirin,
Pada saat bisikan-bisikan ini menjadi semakin kuat, kita perlu merujuk firman Allah s.w.t. dalam Surah Qaf, ayat 16:

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia, dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya sendiri.”
Saudara, yakinilah, tiada sesuatu pun yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah, termasuklah juga bisikan yang tidak terungkap. Kita hanya mampu mencuba untuk memahami apa yang sedang kita alami, tetapi Allah mengetahui sepenuhnya segala keresahan dan keluhan yang tersirat di dalam hati.
Pada masa yang sama, kita hanya melihat apa yang berlaku di hadapan mata, sedangkan ilmu Allah meliputi apa yang telah lalu, yang sedang berlaku dan yang akan datang. Kita mungkin tidak memahami mengapa Allah membiarkan sesuatu ujian atau kezaliman berlaku, tetapi yakinlah: tiada kejahatan yang terlepas daripada pengetahuan dan keadilan-Nya, dan tiada kebaikan yang sia-sia di sisi-Nya.
Saudara-saudara yang dikasihi,
Dengan ilmu serta keyakinan bahawa Allah amat dekat dengan diri kita, apakah kesannya terhadap cara kita menjalani kehidupan? Adakah cukup sekadar kita berkata, “Allah mengetahui”, lalu kita berdiam diri? Sudah tentu tidak. Apabila kita mampu memperbaiki sesuatu, maka berusahalah memperbaikinya. Apabila kita mampu membantu seseorang, maka hulurkanlah bantuan. Apabila kita berhadapan dengan keburukan, janganlah kita membiarkan keburukan itu turut merosakkan akhlak dan prinsip kita.
Inilah antara pengertian sabar yang perlu kita hayati. Sabar bukan bererti berdiam diri terhadap sesuatu keburukan. Sebaliknya, kita terus melakukan yang benar, memperbaiki apa yang mampu diperbaiki, dan menyerahkan kepada Allah perkara yang berada di luar kemampuan kita.
Allah s.w.t. telah berfirman dalam Surah Hud, ayat 115:

Yang bermaksud: “Dan bersabarlah, kerana sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.”
Sidang Jumaat yang diberkati,
Janganlah kita mengukur nilai suatu kebaikan hanya berdasarkan hasil persekitaran yang kita lihat hari ini. Tanggungjawab kita adalah untuk terus melakukan yang benar dalam setiap ruang kehidupan yang diamanahkan kepada kita.
Apa yang mampu kita ubah, kita usahakan. Apa yang mampu kita bantu, kita hulurkan bantuan. Dan apa yang berada di luar kemampuan kita, kita serahkan kepada Allah dengan penuh tawakal, tanpa putus harapan dan tanpa berhenti melakukan kebaikan.
Semoga Allah s.w.t. menitipkan ketenangan dalam hati kita, serta menjadikan kita mukmin yang terus istiqamah melakukan kebaikan dalam apa jua keadaan. Amin, ya Rabbal 'Alamin.

Khutbah Kedua

