collections khutbah Menanam Sikap Bersangka Baik 
Menanam Sikap Bersangka Baik 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

4 Ogos 2023 / 17 Muharram 1445H


Menanam Sikap Bersangka Baik 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita pertingkatkan lagi ketakwaan kita bersama. Dengan mematuhi segala suruhan Allah (s.w.t) dan menjauhi segala yang dilarang-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba yang taat kepada Allah (s.w.t) dan mendapat pengampunan-Nya. Amin.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Allah (s.w.t.) berfirman: 


Yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan  kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip (Iaitu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang); dan janganlah  kamu saling mengumpat. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati. Sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [Al-Hujurat: 12]

Ayat ini mengingatkan kita akan satu sikap yang perlu untuk dijauhi. Iaitu berkaitan dengan berburuk sangka. Kerana sikap berburuk sangka ini menyebabkan seseorang untuk cepat menghukum serta memandang rendah terhadap individu lain. 

Saudaraku,

Sebagai contoh, dalam menjalani kehidupan seharian, kita berhadapan dengan individu yang pelbagai. Kadangkala mata kita terpandang kepada individu-individu yang berhadapan dengan ujian kehidupan yang berlainan. Ada yang mungkin bertatu dan sebagainya. Lalu kita menghukumnya. Sama ada dengan memandang rendah serta menganggap diri kita ini lebih baik dari mereka. 

Subhanallah. Sikap berburuk sangka ini, sebenarnya boleh menjadi penghalang daripada kita mendekati individu tersebut. Seorang Muslim itu seharusnya mudah didekati serta berusaha untuk memanfaatkan mereka yang berada di sekelilingnya. Supaya mendengar darinya. Memahaminya. Semoga dengan sikap ini, kita dapat meninggalkan kesan yang baik terhadap individu di sekeliling kita.

Saudaraku,

Bagi individu mukmin, tiada di dalam kamus kehidupannya istilah “berburuk sangka” dengan insan lain. Apatah lagi untuk menganggap dirinya lebih baik dari insan lain. Sedangkan kita sendiri tidak mengetahui perjalanan hidup kita. Adakah kita menganggap diri kita ini sudah mencapai tahap kebaikan yang sempurna? Adakah kita menyangkakan bahawa ibadah-ibadah yang telah kita kerjakan pasti akan menjaminkan pengakhiran yang mulia buat diri kita? 

Renungkanlah hadis Baginda (s.a.w):

فَإِنَّ الرَّجُلَ مِنْكُمْ لَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجَنَّةِ إِلاَّ ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ كِتَابُهُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ النَّارِ، وَيَعْمَلُ حَتَّى مَا يَكُونُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ إِلاَّ ذِرَاعٌ، فَيَسْبِقُ عَلَيْهِ الْكِتَابُ، فَيَعْمَلُ بِعَمَلِ أَهْلِ الْجَنَّةِ ‏

Yang bermaksud: “Dan sungguh seseorang daripada kamu  yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan syurga kecuali sejengkal sahaja. Lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni neraka. Dan ada juga seseorang yang beramal hingga dirinya berada dekat dengan neraka kecuali sejengkal sahaja lalu dia didahului oleh catatan (ketetapan takdir) hingga dia beramal dengan amalan penghuni syurga.” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Maka ingatlah, bahawa usaha mencari keredaan Allah adalah satu perkara yang berterusan. Jika hari ini kita diberikan taufik untuk melakukan ibadah, kita tidak tahu kesudahan kita di masa hadapan. Oleh itu, kita tidak seharusnya menodai hati kita dengan bersangka buruk akan sesiapapun.

Sekiranya kita mendapati saudara kita melakukan kemaksiatan. Ataupun kita meragui kelakuan saudara kita. Maka peranan kita adalah untuk bertanya terlebih dahulu dan bukan terus menyalahi ataupun cepat menghukum mereka.

Namun, sebagaimana kita berusaha untuk mengingati diri kita untuk sentiasa bersangka baik terhadap orang-orang lain. Kita juga perlu menjauhkan diri daripada menjadi punca timbulnya fitnah. Selari dengan pesanan Baginda (s.a.w) untuk tidak meletakkan diri di tempat ataupun situasi yang boleh menimbulkan fitnah terhadap diri kita. 

Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang menjaga perhubungan sesama manusia dengan selalu bersangka baik terhadap saudara-saudara kita. Dan semoga kita sentiasa berada di bawah naungan rahmat dan kasih sayang Allah (s.w.t). Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.