collections khutbah Memupuk Ketakwaan Dalam Keluarga
Memupuk Ketakwaan Dalam Keluarga

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Jun 2024 / 7 Zulhijjah 1445H

Memupuk Ketakwaan Dalam Keluarga

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mari kita panjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana kita diberi kesempatan bertemu bulan Zulhijjah. Salah satu bulan yang dimuliakan Allah. Bulan yang terdapat banyak fadilat. Mari tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. di bulan yang mulia ini. Mari bertekad membimbing keluarga kita dalam mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Semoga keluarga kita menjadi keluarga muslim mukmin yang bertakwa dan diberkati kehidupannya. Amin.

Para jemaah sekalian,

   

Khutbah minggu lalu membahaskan tentang hubungan kasih sayang suami isteri, seperti yang terkandung dalam Khutbah Wada’, atau khutbah terakhir Rasulullah s.a.w. Khutbah pada hari ini akan terus membahaskan satu lagi iktibar daripada Khutbah Wada’. Hayatilah bersama pesanan nabi s.a.w.:

أَيُّهَا النَّاس، إِنَّ لِنِسَائِكُم عَلَيْكُم حَقًّا، وَلَكُم عَلَيْهِنَّ حَقٌّ

Yang bermaksud "Wahai manusia, sesungguhnya isteri-isteri kamu mempunyai hak ke atas kamu, dan kamu juga mempunyai hak ke atas mereka..." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Saudaraku sekalian, Rasulullah s.a.w. menekankan kepentingan menunaikan hak dan bersikap amanah dalam menjalankan tanggungjawab antara suami isteri dan juga keluarga. Peringatan ini ditujukan kepada pasangan yang baru bernikah, begitu juga yang telah lama berumahtangga.

Bagi pasangan muda dan yang baru bernikah, teruskan usaha mencari ilmu kepakaran dan petua yang boleh menerbitkan keharmonian rumahtangga. Bagi pasangan yang telah lama bersama, berusahalah memperkukuh hubungan dengan banyak meluangkan masa yang berkualiti bersama, agar kemanisan hidup sebagai pasangan terus terasa, walau berabad usianya.

Sikap positif ini memerlukan kesungguhan yang terbina di atas dasar takwa dan keimanan, kemudian dihiasi dengan ihsan dan belas kasihan. Setiap pasangan perlu saling bekerjasama dan rela berkorban dalam usaha memenuhi amanah, hak dan tanggungjawab masing-masing.

Mari bermuhasabah buat seketika. Bila kali terakhir kita mengingatkan diri mengenai amanah menyemai nilai takwa pada diri dan isteri kita? Adakah kita menjalankan amanah sepertimana yang diajarkan Islam? Adakah kita, pada setiap kesempatan, berusaha mewujudkan suasana harmoni dalam rumahtangga?

Saudaraku,

Di kesempatan ini, izinkan khatib berkongsi tiga prinsip utama dalam membentuk sebuah keluarga muslim mukmin:

Pertama, takwa sebagai tunjang utama dan ia bermula dengan diri kita sendiri. Kita mulakan dahulu, sebagai contoh, dengan menjunjung amanah solat lima waktu sebaik mungkin. Jika masa mengizinkan, kita solat berjemaah bersama pasangan kita, dan menjadikannya rutin pasangan beriman. Kita juga bersopan santun, dan menghormati orang tua dalam tutur kata. Nilai mulia ini menjadi contoh tauladan buat ahli keluarga. Dan kitalah contoh pembentukan takwa dalam keluarga. Semoga usaha sebegini menjadikan kita di kalangan mereka yang mendapat keredaan Allah dan merasakan ketenangan hidup, sepertimana firman Allah s.w.t. berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami penyejuk mata (perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.” (Surah al-Furqan, ayat 74).

Kedua, keterbukaan menerima pandangan. Bersifat terbuka dengan sesuatu pandangan adalah suatu nilai yang mulia, lebih-lebih lagi bersama pasangan kita.

Contohilah adab yang ditonjolkan oleh Baginda s.a.w. Rasulullah sentiasa mengadakan perbincangan dengan isteri-isteri Baginda. Baik dalam urusan keluarga, mahupun dalam urusan masyarakat. Malahan, Rasulullah menerima baik sesuatu pandangan itu, lalu melaksanakannya. Kalau Rasulullah boleh bersifat terbuka mendengar pandangan isterinya, kenapa tidak kita?

Ketiga, kerjasama dalam membina keluarga harmoni. Suami isteri berperanan dalam membina keluarga harmoni. Ia adalah usaha kolektif oleh semua pihak. Antara perkara yang membantu mewujudkan keharmonian rumahtangga adalah bersikap adil dan saling bertolak ansur dalam memenuhi keperluan harian. Begitu juga dengan persefahaman yang baik dan saling percaya.

Perlu diperhatikan juga keseimbangan tanggungjawab di antara keluarganya dan kedua ibu bapanya sekiranya mereka masih bernyawa. Ini dilakukan tanpa mengabaikan kesejahteraan sesiapa pun termasuk dirinya sendiri. Ingatlah pedoman Al-Quran yang menganjurkan kita berlaku adil, kerana bersikap adil itu terlalu hampir kepada ketakwaan.

Ya Latiff, permudahkan urusan kami dalam melahirkan keluarga muslim mukmin yang bertakwa, hidup saling harmoni dan berkasih sayang sehingga ke akhir hayat. Ya Wahhab, kau berkatilah usaha kami untuk menjadi pemimpin keluarga yang bertakwa dan beramal soleh. Ya Rahman, Ya Rahim, kau kurniakanlah kejayaan kepada kami sekeluarga di dunia dan di akhirat. Amin, Ya Mujibas Sa’ileen.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.