collections khutbah Memupuk Keharmonian Rumahtangga
Memupuk Keharmonian Rumahtangga

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

17 Mei 2024 / 8 Zulkaedah 1445H

Memupuk Keharmonian Rumahtangga

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketakwaan. Taati segala perintah-Nya dan jauhi segala tegahan-Nya. Semoga dengan demikian, Allah merahmati dan memelihara keluarga kita daripada sebarang anasir-anasir negatif yang membawa kepada keruntuhan mahligai yang kita bina. Amin Ya Rabbal ‘alamin.

Para jemaah sekalian,

Kehidupan berumahtangga adalah antara ayat (tanda-tanda) kebesaran Allah. Dan Allah tidak membiarkan kita tanpa sebab-musabab untuk berjaya dalam kehidupan berkeluarga ini. Hayati firman Allah s.w.t. dalam Surah ar-Rum, ayat 21: 

 

Yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda-Nya (yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya), bahawa Dia menciptakan untuk kamu (kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.

Sesungguhnya, keharmonian sebuah rumahtangga terbina atas tiga nilai dan sebab utama seperti yang disebutkan dalam ayat tadi. Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) dan juga Rahmat atau belas ihsan dan bertolak ansur.

Setiap pasangan hendaklah bersama mengorak langkah membina keharmonian rumahtangga dan kebahagiaan keluarga. Mereka perlu mempraktikkan rahmat; saling bantu-membantu dalam usaha memenuhi keperluan dan kemaslahatan rumahtangga.

 

Saudaraku,

Rata-rata pasangan hari ini disibukkan dengan kerjaya masing-masing. Namun, khatib ingin mengingatkan kerjaya tidak boleh dijadikan alasan kelalaian kita dalam memberikan perhatian dan kasih sayang kepada keluarga. Apalah erti kejayaan peribadi jika keluarga tidak turut berjaya. Dalam kesibukan tugas dan tanggungjawabnya, Rasulullah s.a.w. tidak mengabaikan isteri dan keluarga. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Aswad bin Yazid yang bermaksud: “Aku bertanya kepada Aisyah r.a.: “Apakah yang dilakukan Rasulullah s.a.w. di dalam rumahnya? Aisyah menjawab: “Baginda selalu membantu pekerjaan isterinya dan apabila tiba waktu solat, baginda keluar menunaikan solat.” (Hadisriwayat Imam al-Bukhari).

Seterusnya, bagaimanakah kita boleh mengimbangi antara kesibukan kerja dan menjaga kerukunan rumahtangga?

Saudaraku,

Izinkan saya untuk berkongsi tiga langkah sebagai panduan buat kita:

Pertama: Hidupkan budaya komunikasi yang sihat. Ini merupakan kunci bagi sebuah hubungan yang berjaya. Budaya dan kemahiran berkomunikasi boleh dipupuk dan dilatih. Mulakan dengan amalan-amalan mudah seperti berkomunikasi secara positif pada pagi hari dan selepas pulang ke rumah. Ini akan menyebarkan getaran positif dalam keluarga. Ini diperlukan oleh pasangan setelah penat memenuhi keperluan hidup. Inilah sakinah dan kemesraan yang disebutkan dalam ayat yang dibacakan tadi.

Komunikasi adalah jambatan untuk memahami isi hati pasangan dan ahli keluarga kita. Komunikasi yang baik merupakan langkah membina sifat kepercayaan sesama ahli keluarga, sekaligus meningkatkan rasa kasih sayangdan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Kedua: Dalam kita berkomunikasi, kita perlu menjadi pendengar yang baik. Setiap ahli keluarga, baik suami isteri, ibu bapa mahupun anak-anak perlu menjadi pendengar yang baik. Ini penting kerana ia mendukung proses komunikasi dalam sebuah keluarga. Al-Quran merakam kisah Nabi Yaakub, iaitu si ayah, yang meluangkan masa mendengar luahan cerita mimpi anaknya Nabi Yusuf dengan sebaiknya.

Sidang Jumaat sekalian,

Ketiga: Khutbah pada minggu lalu mengingatkan kita berkaitan kepentingan mendalami ilmu sepanjang hayat. Tidak kurang pentingnya juga, kita perlu mendalami ilmu berumahtangga. Terdapat banyak kursus-kursus yang dianjurkan oleh badan-badan kekeluargaan, seperti program Cinta Abadi bagi pasangan yang bakal mendirikan rumahtangga. Begitu juga, kursus keibubapaan atau kekeluargaan bagi mereka yang telah berumahtangga.

Menghadiri kursus-kursus seperti ini sangat penting, terutama dalam mempelajari teknik berkomunikasi yang berkesan, serta cara mengimbangi peranan dan tanggungjawab kita terhadap orang tua dan keluarga kita selepas berumahtanggadan sebagainya. Ia juga merupakan langkah bagi membina dan memelihara keluarga SakinahMawaddah dan Rahmah

Semoga Allah s.w.t. memberkati segala usaha kita, serta mengurniakan ketenangan kehidupan berkeluarga di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal ‘alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara-saudara kaum Muslimin rahimakumullah,

Hati kita berduka. Jiwa kita terganggu. Namun, kita tidak akan pernah berputus harapan dari Rahmat Allah. Krisis kemanusiaan terus meruncing di Gaza dan Rafah. Lebih 35,000 nyawa telah terkorban. Ratusan ribu lagi kehilangan tempat berteduh tanpa, keperluan asas. Kita tidak reda dengan apa juga bentuk kezaliman dan penindasan. 

Namun, kita tetap beriman dengan Rahmat dan Hikmah Allah s.w.t. Ayuh kita terus berdoa, dengan penuh keyakinan, agar konflik ini segera dihentikan, dan kemanusiaan dikembalikan. 

Kita menadah tangan dengan penuh tawaduk dan keinsafan, agar Allah s.w.t. menghidupkan semula  benih-benih keamanan dan kesejahteraan, untuk penduduk Palestin khususnya dan seluruh dunia umumnya. Ya Allah! kabulkan permintaan, dan dengarkan rintihan hati kami di saat-saat mustajab ini.

 

Ya Allah, Ya Qawi, Ya Matin,

Dengan penuh rendah diri kami bermohon kepada-Mu, lindungilah saudara-saudara seinsan kami yang sedang menghadapi penindasan, konflik dan krisis kemanusiaan di Gaza, Rafah, dan di mana sahaja mereka berada.

Ya Hafiz, Ya Muqit, kembalikanlah keselamatan dan keamanan kepada saudara-saudara seinsan kami yang sedang dalam kegelisahan dan ketakutan. Berikanlah ketabahan pada hati-hati mereka agar teguh menghadapi cabaran dengan penuh keyakinan mengharap bantuan-Mu. Bebaskanlah mereka daripada belenggu kezaliman.

Ya Muntasir, leraikanlah konflik ini. Bukakanlah jalan-jalan keluar yang kukuh. Kau pandanglah mereka yang terjejas dengan pandangan Rahmat-Mu. Kurniakanlah mereka limpahan ihsan-Mu di dunia dan akhirat. Perkenankanlah permohonan dan permintaan kami, Ya Mujibad Du’a wa Ya Qadiyal Hajaat, Ya Arhamar Rahimin. 

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَاَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَموَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْفرَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.