collections / khutbah / Mempersiapkan Hati Untuk Ramadan /
Mempersiapkan Hati Untuk Ramadan

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

14 Februari 2025 / 15 Syaaban 1446H

Mempersiapkan Hati Untuk Ramadan

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Tingkatkanlah ketakwaan kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan awasi segala tegahan-Nya. Semoga taufik daripada Allah s.w.t. terus memandu hati dan setiap tingkah laku kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jemaah yang budiman,

Semalam, kita telah berada di malam Nisfu Syaaban. Ini bermakna, kita semakin menghampiri bulan Ramadan yang penuh keberkatan, rahmat, keampunan, dan pembebasan dari api neraka. Persoalannya, adakah anda dan saya, sudah benar-benar bersiap siaga menerima kehadirannya?

Saudaraku,

Untuk menjawab soalan ini, sila perhatikan gerak-geri hati kita. Mengapa hati? Kerana Rasulullah s.a.w. berpesan yang bermaksud:

"Ketahuilah bahawa dalam tubuh ada segumpal daging, jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ramadan bukan sekadar latihan menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah bulan yang menuntut penyucian hati, bulan di mana kita membentuk hati yang lebih bersih agar mudah menerima hidayat Ilahi.

Abdullah bin ‘Amr r.a. memberitakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: "Siapakah manusia yang paling baik?" Baginda s.a.w. menjawab: "(Manusia yang paling baik) adalah yang berhati bersih dan berbicara dengan benar."

Ketika ditanya lebih lanjut tentang maksud hati yang bersih, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa ia adalah hati yang bertakwa, suci, tidak menyimpan dosa, tidak melampaui batas, dan tidak menyimpan rasa dengki terhadap manusia. (Riwayat Ibn Majah)

Sidang Jemaah yang dikasihi Allah,

Hati yang bersih tidak dipenuhi dengan iri hati, dendam, atau kebencian, kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sepotong hadis riwayat Imam An-Nasa’i yang bermaksud: "Iman dan hasad tidak akan bersatu dalam hati seorang hamba (hamba Allah)."

Sebaliknya, sikap iri hati, hasad dengki, dan kerap bermusuhan dengan orang lain adalah tanda wujud kecacatan dalam keimanan seseorang.

Rasulullah s.a.w. juga menegaskan bahawa iman bukan sekadar kepercayaan kepada Allah, dan tidak hanya terserlah melalui amal ibadah. Ia juga dicerminkan menerusi interaksi dan hubungan baik sesama manusia. Inilah mesej dan peringatan ketara pada setiap pertengahan bulan Syaaban, sebagai persiapan hati untuk bertemu Ramadan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai persiapan untuk bulan Ramadan, ada beberapa perkara penting yang harus kita lakukan:

Pertama: Bertaubat dan Memohon Keampunan

Taubat bukan sekadar ucapan di bibir, tetapi ia adalah proses yang melibatkan kesedaran, penyesalan, dan tekad untuk tidak mengulangi kesalahan. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 39:

Yang bermaksud: "Barangsiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan dan memperbaiki amal usahanya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya, Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Renungkan setiap gerak-geri kita. Bayangkan amal ibadah kita yang kerdil, berbanding dosa-dosa seluas lautan. Marilah bersama kita mendamba keinsafan. Tinggalkanlah tabiat yang tidak baik. Usah membiarkan hati kita terus dibebani dosa, yang besar mahupun yang kecil, yang zahir mahupun yang tersembunyi dari penglihatan, yang disengajakan mahupun yang tidak disengajakan. Sebaliknya, kita panjatkan harapan agar diberi peluang untuk beramal dengan penuh keikhlasan, agar ganjarannya dapat menutupi segala kesilapan.

Kedua: Menanamkan Keikhlasan dalam Beribadah

Menjelang Ramadan, kita perlu melatih hati agar ikhlas dalam setiap amalan. Hati dan niat yang ikhlas adalah sebab utama amalan diterima Allah. Manakala amalan yang tertunggak atas dasar riyak (menunjuk-nunjuk dan ingin dipuji), atau ‘ujub (merasa hebat), begitu juga bersaing kerana ingin terlihat kehebatan diri sendiri di mata manusia, sama sekali tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Oleh itu, periksa semula niat kita dalam beramal, agar ia semata-mata demi mengemis keredaan Allah s.w.t. Hanya dengan keikhlasan, ibadah kita akan benar-benar memberi kesan kepada hati dan kehidupan kita.

Ketiga: Meninggalkan Sifat Hasad dan Dendam

Ramadan adalah bulan rahmah dan persaudaraan. Di saat kita merendahkan diri di hadapan Allah dan mengharap pengampunan-Nya, lapangkanlah hati kita juga supaya dapat memperbaiki hubungan sesama kita.

Ketahuilah, sifat hasad (dengki) dan dendam adalah dua penyakit hati yang merosakkan hubungan sesama manusia dan menjejas ibadah kita. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Jauhilah sifat dengki, kerana dengki itu akan memakan pahala kebaikan, sebagaimana api memakan kayu." (Riwayat Abu Dawud)

Sidang mukminin rahimakumullah,

Marilah kita bersama-sama menyucikan hati sebelum kehadiran Ramadan, dengan bertaubat meninggalkan dosa-dosa yang lalu, beribadah dengan penuh keikhlasan, dan membuang jauh sifat hasad serta dendam sesama insan. Ya Allah Ya Ilahi, sucikanlah hati ini, agar dapat kami bertemu Ramadan sebagai seorang mukmin hakiki. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.