collections khutbah Memperkukuhkan Hubungan Silaturahim
Memperkukuhkan Hubungan Silaturahim

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

12 April 2024 / 3 Syawal 1445H

Memperkukuhkan Hubungan Silaturahim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib berpesan kepada dirinya dan kepada sekalian yang hadir agar terus menjaga hubungan kita dengan Allah s.w.t. menerusi ketakwaan. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita sentiasa berada di dalam pemeliharaan-Nya. Amin

Para jemaah sekalian,

Pada suatu hari, seorang sahabat bertemu dengan Rasulullah s.a.w., lalu menanyakan amalan yang melayakkan dirinya menjadi ahli syurga. Baginda menjawab:

تَعْبُدُ اللهَ وَلَا تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ

Yang bermaksud: “Beribadah kepada Allah dan jangan menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, dan mendirikan solat, serta menunaikan zakat, dan menyambung tali silaturahim.” (Hadis riwayat Imam Bukhari).

Hadis yang baru dibacakan sebentar tadi mengingatkan kita akan kepentingan ibadah dan hubungan silaturahim sehingga ia digandingkan dengan rukun Islam seperti solat dan zakat. Perhatikan juga firman Allah di dalam surah al-Nisa', ayat 1 di mana silaturahim dikaitkan dengan ketakwaan:

 Yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada itu pasangannya, dan juga yang membiakkan dari keduanya (zuriat) lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan silaturahim; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.

Menyambung tali silaturahim adalah suatu amalan yang tidak boleh diambil ringan. Seandainya ada di antara kita yang hubungan persaudaraannya terjejas, usahakanlah untuk memperbaiki hubungan tersebut. Ambillah kesempatan di dalam bulan Syawal ini untuk kita saling maaf-bermaafan. Bagi hubungan silaturahim yang sudah lama terjalin dan kekal erat, kita perlu terus memperkukuhkan tali silaturahim ini agar ia kekal terpelihara.

Saudaraku,

Apabila kita berusaha dengan sebaiknya untuk memelihara hubungan silaturahim, ia merupakan cerminan kesungguhan kita untuk memperoleh keampunan dan keberkatan hidup di dunia. Sama-sama kita perhatikan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang berbunyi:

مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya, dan ingin dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menjalin silaturahim.”

Begitulah saudara-saudara sekalian, janji Allah buat hamba-Nya yang menjaga hubungan baik sesama keluarga dan kaum kerabat. Dan bersempena dengan bulan Syawal ini, pastinya ramai di antara kita yang saling ziarah-menziarahi sebagai simbol mempererat silaturahim. Saya ingin mengajak sekalian yang hadir berhenti sejenak dan memperhalusi niat dan tujuan kita ketika menziarah.

Benar, secara zahirnya, amalan ziarah-menziarahi tidak diwajibkan khusus pada bulan Syawal. Tetapi terkandung padanya roh memelihara silaturahim yang terakam di dalam sepotong hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Ada seorang lelaki mengunjungi saudaranya di kampung lain. Lalu Allah pun mengutus malaikat di persimpangan perjalanannya. Ketika menemuinya, malaikat pun bertanya: “Ke manakah tujuanmu?”. Beliau menjawab: “aku ingin mengunjungi saudaraku di kampung ini”. Malaikat bertanya: “apakah ada suatu keuntungan yang ingin kamu peroleh daripadanya?”. Beliau menjawab: “tidak ada, kecuali kerana aku mencintainya kerana Allah ‘Azza wa Jalla”. Maka malaikat mengatakan: “Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepadamu (dengan pesanan) bahawa Allah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana-Nya.” 

Subhanallah! Lihatlah betapa indah dan mulianya niat seorang hamba yang mencintai dan menziarahi saudaranya semata-mata kerana Allah s.w.t. Kejayaan kita dalam mengeratkan hubungan silaturahim tidak terletak pada bilangan rumah yang kita berjaya kunjungi. Akan tetapi pada keikhlasan perbuatan tersebut. Oleh itu, kita perlu memperhalusi niat dan mengikhlaskan hati kita kerana Allah s.w.t. ketika kita berziarah sepanjang Syawal atau di masa-masa lain.

 

Sidang jemaah yang dimuliakan,

Sebelum saya mengakhiri khutbah ini, saya ingin menyeru kepada diri saya dan anda sekalian agar memelihara amal ibadah kita.  Jangan sesekali mensia-siakan usaha kita di bulan Ramadan yang baru sahaja berlalu. Bersama, kita pastikan agar segala bentuk ibadah yang kita kerjakan terutama solat lima waktu kita kekal terpelihara dan ditunaikan pada masanya. Ingatlah, Allah menyifatkan mukmin yang berjaya di dunia dan akhirat menerusi firmannya pada ayat 9 surah Al-Mukminun:

Yang bermaksud: “Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.

Ya Allah, terimalah segala ibadat dan kebajikan kami di bulan Ramadan. Ya Aziz, kurniakan kami kesungguhan dan istiqamah dalam beramal. Ya Razzaq, jadikan kami hamba-hambamu yang sentiasa menjaga ukhuwwah dan tali silaturahim. Amin, Ya Mujeeb as-Sa’ileen.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.  

 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.