collections khutbah Memperhalusi Adab Dalam Solat
Memperhalusi Adab Dalam Solat

 


 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

21 Februari 2025 / 22 Syaaban 1446H

Memperhalusi Adab Dalam Solat

Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Patuhi segala suruhan-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi mukmin yang berjaya di dunia dan akhirat. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.  

Sidang jemaah yang budiman,

Cuba fikirkan soalan berikut: Apakah peranan adab dalam setiap amalan yang kita lakukan? Jika setiap rukun dan syarat telah disempurnakan, perlukah kita membangkitkan soal adab dalam ibadah dan ketaatan?

Untuk menjawab soalan ini, perhatikan kata-kata Abdullah Ibn Al-Mubarak r.h. yang bermaksud: “Barangsiapa yang meremehkan adab, dia akan terhalang daripada amalan-amalan sunnah. Dan barangsiapa meremehkan amalan-amalan sunnah, dia akan terhalang daripada amalan-amalan yang wajib.”

Jelas kita lihat bagaimana para ulama silam begitu prihatin mengenai soal adab dalam beramal. Rumusannya, adab menjadikan seseorang itu menjadi ‘peka sunnah’ ketika beribadah. Manakala mereka yang tidak memperlekeh amalan sunnah, besar kemungkinan kualiti ibadahnya yang wajib berada pada tahap yang lebih hampir kepada kesempurnaan.

Oleh itu, bersamalah kita menjaga adab ketika kita bermunajat bersendirian kepada Allah. Jagalah juga adab ketika beramal secara beramai-ramai atau berjemaah.

Saudaraku yang dimuliakan,

Dengan Ramadan kembali menjelang pada hujung minggu hadapan, masjid-masjid akan dimakmurkan dengan pelbagai acara. Manakala malam-malam Ramadan akan dihidupkan dengan ibadah solat terawih, tadarus dan qiyamullail. Oleh itu, sebelum ia bermula, mimbar pada minggu ini dan minggu hadapan akan memberikan tumpuan khas, mempersiapkan setiap di antara kita untuk menerima kunjungan bulan Ramadan, dengan berbekalkan ilmu dan adab yang betul. Izinkan mimbar mengingatkan semula beberapa adab dalam melakukan solat berjemaah:

Pertama: Penampilan yang kemas dan bersih.

Pastikan kita berpakaian bersih, sopan, rapi dan wangi. Rasulullah s.a.w. amat menitikberatkan hal ini, khususnya ketika solat Jumaat. Para ulama seperti Imam As-Syafie r.h. berpandangan bahawa galakan ini merangkumi semua jenis ibadah, terutama yang dilakukan secara berjemaah.

Berwangian dalam solat pula dapat membantu kekhusyukan. Manakala bauan yang kurang menyenangkan, seperti nafas dan pakaian yang berbau asap rokok atau keringat, hanya akan mengganggu kekhusyukan solat kita sendiri dan orang lain. Sedarlah, adab ini bukan sahaja mencerminkan sikap hormat kepada rumah Allah, tetapi juga menjaga keselesaan jemaah lain.

Kedua: Solat dengan ṭuma’nīnah (yakni tenang dan tidak tergesa-gesa)

Dalam usaha kita menjaga dan memperbanyakkan solat, usahlah kita hanya mementingkan bilangan rakaat yang dilakukan. Utamakan juga kekhusyukan dan ṭuma’nīnah dalam solat.

Rasulullah s.a.w. dikhabarkan pernah mengarahkan seorang lelaki untuk mengulangi solatnya sebanyak tiga kali. Kemudian, baginda s.a.w. menjelaskan tatacara melakukan solat, dengan menekankan elemen ṭuma’nīnah dalam setiap rukuk dan sujud. (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Ketiga: Tidak mengganggu tetamu masjid yang lain

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. sedang beriktikaf di sebuah masjid apabila kedengaran Al-Quran dibaca dengan suara yang lantang. Baginda s.a.w. menegur perkara itu dengan bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah, setiap daripada kamu sedang bermunajat kepada Tuhannya, maka janganlah kamu mengganggu antara satu sama lain.” (Riwayat Abu Daud)

Bayangkan saudaraku, yang ditegur oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah kata-kata kosong, atau perbuatan tidak berfaedah. Tetapi, bacaan ayat suci Al-Quran yang dibaca dengan kuat, lantas menimbulkan gangguan.

Mari bersama menilai kembali kebiasaan kita ketika berada di dalam ruang solat. Contohnya, menggunakan atau bermain telefon, atau tidak mengaktifkan mod senyap. Bagaimana pula dengan latar belakang atau ‘wallpaper’ telefon yang memuatkan foto-foto personaliti tersohor atau mungkin juga ahli keluarga kita sendiri. Ini tentu sekali  mengganggu tumpuan sesiapa sahaja yang terlihat, terutama ketika rukuk. Begitu juga, pakaian yang tertera coretan kata-kata atau gambar yang boleh menjejas kekhusyukan solat orang lain wajar dielakkan.  

Keempat: Tidak Bergegas Keluar Selepas Solat

Rasulullah s.a.w. menganjurkan beristighfar dan berzikir selepas setiap solat, dan tidak tergesa-gesa meninggalkannya. Sesuai dengan firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa, ayat 104:

Yang bermaksud: “Dan apabila kamu telah selesai solat, sebutlah dan ingatlah Allah sewaktu berdiri, duduk, dan berbaring. Dan apabila kamu telah merasa aman, maka dirikanlah solat itu. Sesungguhnya solat adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman.”

Sebagai adab selepas solat, usahlah kita bergegas bangun dan keluar kecuali ada keperluan. Elakkan mencapai telefon sejurus selepas memberi salam. Luangkanlah sedikit masa lagi untuk menundukkan hati, beristighfar, dan mengingati Allah, agar diberikan ketetapan iman di dalam diri.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita terus mempertingkatkan kualiti ibadah, terutama sekali solat, dari sudut adab dan perlaksanaannya. Dengan menjaga adab-adab ini, diharapkan ibadah kita menjadi lebih sempurna, lantas menguatkan iman dan sifat kehambaan di dalam jiwa. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ارْحَمْنَا وَارْحَمْ وَالِدِينَـا وَارْحَمْ أُمَّةَ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ أَجْمَعِينَ. اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ وُلَاةَ أُمُوْرِنَا، وَوَفِّقْهُمْ لِمَا فِيْهِ صَلَاحُ الأُمَّةِ أَجْمَعِينَ. اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا، وَارْفَعْ مَقْتَكَ وَغَضَبَكَ عَنَّا، وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ وَلَا يَرْحَمُنَا، وَحَوِّلْ حَالَنَا إِلَى أَحْسَنِ الْأَحْوَالِ، وَفَرِّجْ مَا نَزَلَ بِنَا مِنَ الْأَهْوَالِ، بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ هَذَا البَلَدَ وَسَائِرَ البِلَادِ عَامَّةً آمِناً مُطْمَئِناًّ سَخَاءً رَخَاءً بِقُدْرَتِكَ يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّةَ وَفِي فِلِسْطِينَ، وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.