collections khutbah Memperbaiki Tabiat dan Kebiasaan
Memperbaiki Tabiat dan Kebiasaan

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

27 December 2024 / 25 Jamadil Akhir 1446H

Memperbaiki Tabiat dan Kebiasaan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan penuh ikhlas dan keyakinan. Takwa yang menjadi perisai diri daripada segala kejahatan, dan pendorong kepada segala kebaikan. Moga ia memacu kita ke arah kejayaan yang berkekalan. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar pada hari ini akan membicarakan tentang kepentingan memperbaiki tabiat dan kebiasaan menurut panduan agama.

Saudaraku, Islam memandang rutin dan kebiasaan sebagai sebahagian daripada cara kita mentarbiah diri. Sebagai contoh, rutin kita melakukan solat 5 kali dalam sehari, kelaziman solat Jumaat setiap minggu, dan rutin berpuasa di bulan Ramadan. Setiap kebiasaan ini mendidik jiwa kita supaya mempunyai kesedaran dan kawalan diri ke arah yang lebih baik, serta mendisiplin diri kita dalam mengisi masa dengan aktiviti yang tidak melanggar ketetapan Allah.

Memberikan perhatian untuk membentuk tabiat dan kebiasaan secara sedar, akan memberikan kesan bagaimana kita mengisi nikmat masa yang diberikan oleh Allah s.w.t. Seorang Mukmin yang sejati sentiasa mengambil peluang untuk mengisi masa lapangnya dengan perkara yang bermanfaat. Saranan ini amat bersesuaian dengan panduan rabbani di dalam Surah Al-Insyirah, ayat 7:

“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”.

Kita digesa agar tidak membiarkan masa berlalu tanpa mengisinya dengan amal kebaikan. Setelah selesai melakukan sesuatu pekerjaan, carilah perkara lain yang bermanfaat untuk kita lakukan. Namun ini tidak bermaksud kita tidak boleh berehat, kerana masa rehat juga diperlukan untuk memastikan kita terus bertenaga untuk melakukan kebaikan. Sesungguhnya, berehat adalah hak tubuh badan dan akal kita yang perlu kita berikan juga. Allah telah mengamanahkan kita untuk menjaganya.

Sidang Jemaah yang dimuliakan,

Seorang Mukmin harus mengambil berat bagaimana beliau meluangkan masanya. Seorang hamba Allah wajar merasa resah dan gelisah apabila menyedari masanya telah berlalu tanpa digunakan dengan sebaiknya. Perhatikan, kata-kata hikmah yang dinisbahkan kepada seorang sahabat Rasulullah s.a.w. bernama Ibn Mas‘ud r.a. yang bermaksud: "Tidak ada perkara yang lebih aku kesali, selain ketika matahari tenggelam, sedang usiaku berkurangan, namun amalanku sedikitpun tidak bertambah.”

Ada pula pepatah Arab yang menyebutkan “Masa adalah nafas yang tidak akan mungkin kembali.” Renungkanlah, saudara. Berapa banyak masa kita yang telah berlalu? Renungkan juga sekiranya ia berlalu tanpa menghasilkan manfaat untuk kita, sama ada di dunia mahupun akhirat.

Di penghujung tahun ini, ramai di antara kita mengambil peluang untuk berehat bersama keluarga, sambil bersiap-sedia, mengembalikan semangat untuk kembali bertugas atau menuntut ilmu pada tahun baru yang bakal menjelma. Saudaraku, ini juga adalah masa terbaik untuk kita menilai kembali, bagaimana kita mengurus masa, memperbaiki tabiat harian, dan memulakan kebiasaan baharu yang lebih bermanfaat.

Hadirin Rahimakumullah,

Bagi memperbaiki tabiat harian dan menjadi Mukmin yang lebih produktif, terdapat beberapa langkah yang boleh kita amalkan:

Yang pertama: Kenal pasti dan kurangkan gangguan yang mencuri perhatian.

Kita hidup dalam zaman yang penuh dengan gangguan (distractions). Penggunaan alat elektronik yang berlebihan, media sosial, hiburan di hujung jari tanpa batasan, sering kali menjadi punca masa kita terbazir. Oleh itu, mari kita mencuba, dengan secara sedar, mengehadkan masa penggunaan alat elektronik yang menjurus pada kelalaian. Tetapkan masa tertentu di mana kita tidak menggunakannya. Sebaliknya, isikan masa itu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat seperti membaca buku, beriadah, mempererat hubungan dengan keluarga, meningkatkan khusyuk dalam ibadah, dan memperbaiki diri.

Begitulah sikap seorang Mukmin. Dia secara sedar menolak perkara-perkara yang lagha, iaitu yang tidak mendatangkan manfaat. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Mukminun, ayat 1 – 3:

“Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman! Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang sia-sia.”

Yang kedua: Tetapkan matlamat yang jelas dan realistik.
Segala perubahan perlu dimulakan dengan niat yang betul. Kemudian, mulakan langkah yang sederhana tetapi konsisten. Sabda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis riwayat Ibn Majah: "Lakukanlah amalan yang sesuai dengan kemampuan, kerana amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit." 

Mulakanlah saudara, dengan membiasakan diri membaca zikir yang mudah di waktu pagi dan petang, membaca beberapa ayat Al-Quran selepas solat, atau berusaha menunaikan solat berjemaah di masjid. Isikan masa lapang dengan aktiviti yang bermanfaat seperti mempelajari ilmu pengetahuan atau membantu anggota masyarakat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Masa adalah nikmat yang besar dan juga amanah yang harus kita manfaatkan sebaik mungkin. Janganlah kita menjadi manusia yang menyesal di kemudian hari kerana tidak menghargai masa yang telah Allah kurniakan.

Sebagai Mukmin, kita diajar untuk sentiasa memperbaiki diri dan menjadi lebih baik daripada semalam. Marilah kita berazam untuk memulakan tabiat yang positif, meninggalkan perkara yang sia-sia, dan memanfaatkan masa kita untuk perkara yang membawa kebaikan.

Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan dan petunjuk untuk terus memperbaiki tabiat harian kita, agar kita menjadi Mukmin yang lebih baik dan berjaya di dunia dan akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.