Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
8 Disember 2023 / 24 Jamadil Awal 1445H
Memelihara dan Menghargai Anugerah Allah (s.w.t.)
Para jemaah yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t.) dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang bersyukur kepada-Nya. Amin.
Muslimin dan Muslimat yang dikasihi,
Allah (s.w.t.) menganugerahkan pelbagai kurniaan dan kenikmatan buat hamba-hamba-Nya. Sebahagian dari kita dianugerahkan kesenangan hidup, sebahagian lain dianugerahkan kebahagiaan rumahtangga, sebahagian lain pula dianugerahkan keilmuan dan kepakaran, keamanan dan kesejahteraan kehidupan di dunia ini. Tidakkah kita sedari betapa banyak anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah buat kita? Tidakkah nikmat-nikmat ini semua mengingatkan kita akan keagungan Allah (s.w.t.)? Bagaimanakah seharusnya kita syukuri segala nikmat yang dikurniakan Allah ini kepada kita?
Pada hari yang penuh keberkatan ini, khatib ingin berkongsi satu doa yang pernah dibacakan oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman, sebagai tanda syukur ke atas anugerah dan kelebihan nikmat yang mereka perolehi dari Allah (s.w.t.). Firman Allah (s.w.t.) dalam surah al-Naml, ayat 15:
Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman."”
Begitulah mulianya akhlak yang ditunjukkan oleh para Nabi kepada kita semua. Ayat ini mengajarkan kita erti syukur kepada Allah (s.w.t.) atas limpahan rahmat dan kurniaan-Nya. Ia juga menunjukkan erti merendahkan diri dan mengakui kebesaran Allah (s.w.t.) yang memiliki segalanya di alam ini.
Sebagai seorang yang beriman dengan kekuasaan Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui, kita tentunya meyakini bahawa setiap sesuatu yang ditentukan pastinya terdapat hikmah dan pengajaran disebaliknya. Setentunya bagi kita yang beriman, kita perlu berusaha sedaya upaya memelihara anugerah Allah yang kita nikmati pada masa ini. Ia adalah sebahagian daripada tanda syukur kita kepada-Nya dalam menuju ke arah kehidupan yang diredhai-Nya.
Saudara dan saudari sekalian,
Islam sangat menitik berat nilai berbuat baik dan keadilan dalam kehidupan di dunia ini. Ia merupakan prinsip yang jelas ditetapkan dalam al-Qur’an berhubung kehidupan kita sesama manusia. Allah (s.w.t.) menegaskan hal ini dalam surah al-Mumtahanah, ayat 8:
Yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari rumah kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
Hidup berbaik-baik sesama manusia dan membela keadilan adalah merupakan asas penting bagi kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Nikmat keamanan dan kesejahteraan hidup yang kita kecapi sehingga ke hari ini merupakan suatu usaha kolektif kita sebagai sebuah masyarakat. Kita hendaklah mensyukurinya dengan memelihara dan melestarikan nikmat ini. Oleh itu, kita tidak boleh membiarkan sebarang bentuk fitnah untuk menggugat keharmonian dan kesejahteraan hidup yang sedang kita nikmati ini.
Para jemaah sekalian,
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya, al-Iqtisad fi al-I'tiqad, menekankan kepentingan keamanan dalam kehidupan manusia. Seorang mukmin itu tidak akan dapat memenuhi tanggungjawab agamanya dengan baik sekiranya beliau hidup dibelenggu dengan kesibukan untuk mempertahankan dirinya daripada kezaliman dan hidup dalam ketakutan pada setiap masa.
Krisis yang melanda di beberapa buah negara di dunia sekarang ini jelas memperlihatkan betapa sukarnya kehidupan tanpa keamanan dan kedamaian. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memelihara kesejahteraan yang kita nikmati di negara kita ini daripada sebarang ancaman perpecahan mahupun perbalahan. Kita berperanan untuk membina masyarakat yang terbaik (Khaira Ummah), masyarakat yang yakin dengan kehidupannya di tengah-tengah bermacam bentuk kepelbagaian, masyarakat yang membawa rahmat untuk semua (Rahmatan lil Alamin).
Saudara dan Saudari,
Terdapat pelbagai iktibar dan pengajaran daripada krisis ini buat kita semua. Seorang mukmin perlu berusaha untuk mempertingkatkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakatnya. Sama ada dalam memperkukuhkan pendidikan dengan meningkatkan ilmu dan kemahiran, memantapkan ekonomi dan pekerjaan, mahu pun memperbaiki jati diri dengan menghayati nilai akhlak dan budi pekerti yang mulia.
Seorang mukmin yang kuat imannya adalah mukmin yang lebih dikasihi Penciptanya. Seorang mukmin sejati adalah seorang yang yakin dan berpegang teguh pada nilai dan prinsip agamanya di mana sahaja mereka berada. Ingatlah pesanan Rasulullah (s.a.w.) yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, dan balaslah keburukan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya, serta berakhlak sesama manusia dengan akhlak yang baik.”
Sama-samalah kita berusaha untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Pencipta kita. Di samping itu, laksanakan tanggungjawab kita memelihara nikmat keamanan ini, dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat kita. Teruskan berdoa kepada Allah (s.w.t.) agar mengekalkan keamanan buat kita serta mengembalikan keamanan dan kesejahteraan buat saudara kita yang sedang berhadapan dengan konflik. Semoga Allah (s.w.t.) memberkati kehidupan kita, meningkatkan iman dan takwa kita, serta mengolongkan kita di kalangan hamba-hamba yang diredhai-Nya. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِين. اللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.