collections khutbah Memelihara Alam Sekitar
Memelihara Alam Sekitar

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 November 2021 / 29 Rabiulawal 1443H

Memelihara Alam Sekitar

 

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita memperbaharui takwa kita kepada Allah. Kita bertakwa dengan menjalankan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya sebaik yang mungkin. Allah berfirman:

Yang bermaksud: “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah…” (al-Taghabun: 16)

Bertakwa juga bermaksud kita memelihara amanah-amanah yang diserahkan kepada kita. Apatah lagi jika amanah ini dari Allah yang Maha Pencipta.

Saudara dan saudari,

Alam dan kehidupan ini seluruhnya bukan milik kita. Ia adalah amanah yang Allah serahkan kepada kita. Dengan ilmu Allah, Dia Maha Mengetahui bahawa kita mampu menanggung amanah ini.

Cuba perhatikan di dalam al-Quran, daripada ayat pertama Surah al-Hadid, di mana Allah menceritakan mengenai ciptaan langit dan bumi. Allah kemudian menegaskan di ayat 5:

Yang bermaksud: “Dia lah (Allah) sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.”

Alam dan kehidupan ini adalah milik mutlak Allah. Namun, apakah peranan kita? Di sinilah Allah tegaskan di dalam Surah al-Hadid ini pada ayat ke 7. Allah berfirman:

Yang bermaksud: “Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian daripada harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar.”

Manusia adalah khalifah di muka bumi ini. Manusia diamanahkan atau diwakilkan (mustakhlafin) untuk menguruskan alam. Maka, mereka yang sungguh beriman dengan Allah akan menguruskan dan membelanjakannya dengan amanah. Dan bagi mereka ganjaran yang besar.

Saudara dan saudari,

Kerana alam ini adalah amanah di tangan kita, kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa alam ini terus diserahkan kepada generasi seterusnya dengan keadaan sebaiknya. Seperti perintah Allah yang dibacakan tadi, kita diperintahkan bertakwa sebaik yang mungkin. Kita beramanah menguruskan alam ini, dan mewariskan amanah ini sebaik-baiknya kepada generasi seterusnya.

Dunia sedang menyaksikan kemusnahan alam ini kerana kerakusan dan tamak haloba manusia. Kita maklum tentang cabaran perubahan iklim yang serius. Kita mungkin tidak merasakan kesan serius ini pada generasi kita. Tetapi, apabila kita tidak peka memelihara amanah alam ini, kita mewariskan kerosakan kepada generasi-generasi seterusnya. Apakah ini yang kita ingin lakukan? Apakah kerosakan yang kita ingin wariskan kepada generasi seterusnya?

Dua perkara yang boleh kita lakukan dengan segera,

Pertama, ambil tahu dan didik diri kita tentang cabaran perubahan iklim dunia. Apakah kesan perubahan iklim ini? Apakah yang menyebabkan kerosakan iklim ini? Apa dan bagaimana kita telah menyumbang kepada kerosakan ini, mungkin tanpa kita sedari? Atau kerana kita tidak peduli, hanya kerana kita ingin menikmati kemudahan sendiri, atau kerana tamak haloba kita? Ambil tahulah mengenai perubahan iklim dan kesan-kesannya.

Kedua, ambil tahu dan didiklah diri kita apa yang boleh kita lakukan. Sekecil dan semudah mana sekalipun untuk memelihara alam ini, dan mewariskan alam ini dalam keadaan sebaiknya. Ini adalah amanah kita. Ini adalah tanda takwa dan keimanan kita, sebagaimana ditegaskan dalam ayat-ayat al-Quran yang telah dibacakan tadi.

Jangan meremehkan sesuatu kebaikan, atau memperlekehkan sesuatu keburukan. Ia mungkin kecil di mata kita, tetapi kesannya besar secara keseluruhannya. Ia menyumbang kepada kerosakan iklim dan alam ini.

Sebagai contoh, makanan yang terbazir dan dibuang yang meninggalkan beban besar kepada alam sekitar. Semudah plastik yang kita gunakan dan buang sesuka hati  telah merosakkan kehidupan laut. Tenaga elektrik dan sebagainya yang kita guna secara membazir yang merosakkan udara dan iklim. Dan banyak lagi amalan-amalan seperti ini yang kita tidak peka.

Ikutilah perkembangan perubahan iklim ini, kegiatan dan kesan-kesannya. Bangkitkan kesedaran dalam diri, keluarga, teman dan masyarakat kita akan cabaran ini. Didiklah diri kita dengan amalan-amalan yang dapat menyelamatkan dan memelihara iklim dan alam ini.

Jangan pula kita sibuk dengan ritual peribadi, atau amalan-amalan yang merupakan kepuasan dan maslahat peribadi, tetapi kita lupa akan amanah besar ini, dalam memelihara maslahat umum. Bahkan dalam menjaga maslahat kehidupan seluruhnya, bukan hanya pada generasi kita, tetapi generasi-generasi yang akan datang ratusan tahun kemudian.

Ini juga adalah iman dan takwa. Ini juga adalah prinsip dan tujuan Syariah dalam memelihara kehidupan. Ini juga adalah inti kehidupan beragama. Ini juga adalah menjalankan amanah kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Dan amanah ini datang dari Si Maha Pencipta, Allah (s.w.t.). Apakah ada amanah yang lebih mulia dari amanah seperti ini? Dari Si Maha Agung dan Maha Pencipta?

Semoga Allah (s.w.t.) terus mengurniakan kepada kita ketakwaan yang murni, dan menjadikan kita hamba-hamba yang sentasa menyumbang kepada kebaikan alam sekitar. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

Saudara dan saudari,

Dalam usaha kita memelihara alam sekitar, tanggungjawab sesama insan juga perlu dipelihara. Bagi melaksanakan tujuan itu, Tabung Amal Aidilfitri, lebih dikenali sebagai TAA, sedang mengadakan satu kempen untuk mengumpulkan dana bagi tujuan untuk membantu golongan yang kurang kemampuan, termasuk golongan fakir dan miskin. Ramai di antara mereka ini yang menghidap penyakit jantung, ginjal, stroke, dan kanser.

Maka marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Semoga dengan bantuan kita ini, ia dapat mempermudahkan urusan mereka lalu memberikan sinar harapan. Bagi memudahkan kutipan derma, TAA telah menyediakan platform dalam talian iaitu www.TAA.sg untuk menghulurkan derma ikhlas anda.

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan pahala dan ganjaran yang besar bagi setiap amal kebaikan kita. Amin.

 أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.