collections khutbah Memelihara Agama
Memelihara Agama

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 November 2020 / 27 Rabiulawal 1442H

Memelihara Agama

Saudaraku yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita memelihara keimanan dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah (s.w.t.). Bertakwalah kepada Allah dengan melakukan segala kebaikan dan meninggalkan segala keburukan. Bertakwalah kepada Allah dengan hati yang bersih dari segala hasad dan dengki. Bertakwalah kepada Allah dengan lisan yang suci dari fitnah dan kata-kata yang membawa benci. Bertakwalah kepada Allah dengan memelihara amalan dari segala penyelewengan dan kesesatan. Bertakwalah kepada Allah dengan menjaga agamamu. Peliharalah sumber ilmumu. Ingatlah, ada di kalangan manusia yang inginkan fitnah, kerosakan mahupun kesesatan dengan kata-kata manis, tipu daya dan desakan mereka.

Ingatlah saudara, Rasulullah (s.a.w.) sentiasa berpesan agar segala ajaran dan pengamalan agama perlu berlandaskan tunjuk ajar Baginda (s.a.w.). Oleh itu, sangat penting kita memperolehi ilmu agama yang muktabar, yang diajarkan hanya oleh mereka yang betul didikannya dan bertauliah.

Ada yang memesongkan agama untuk kepentingan dan hawa nafsu diri sendiri. Ada pula yang memesongkan agama untuk keganasan. Ada juga yang memesongkan agama kerana mereka terkeliru dan menyangka perbuatannya benar.

Apabila kita mendahagakan panduan, janganlah sampai kita termakan kata-kata manis ataupun pujukan mereka, sedangkan perkara yang diajar adalah satu penyelewengan. Sama ada mereka mengaku boleh berbicara dengan Allah atau Nabinya, atau menghalalkan perkara yang terang-terang tidak dibenarkan agama, samada nikah secara batin, atau perjudian, atau keganasan dan kezaliman.

Di antara tanda ajaran yang meragukan adalah apabila seorang guru tidak memiliki sebarang pentauliahan. Kelas-kelas agama yang dikendalikannya pula berjalan secara bersembunyi. Umar bin Abdul Aziz pernah berkata: “Jika engkau melihat sesuatu kaum yang berbisik-bisik [berbicara rahsia] tentang agama mereka, tanpa  membawa orang ramai [dalam perbincangan], maka ketahuilah bahawa dasar mereka adalah sesat.” (Kitab al-Zuhd, Imam Ahmad).

Saudaraku,

Adalah tanggungjawab kita sendiri untuk membuat pertimbangan akan ajaran yang diterima. Baginda bersabda: “Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku, dan sunnah khulafa’ al-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk. Gigitlah ia dengan gerahammu (yakni berpegang dengan teguh)…” (Riwayat Imam Abu Daud).

Sekiranya terdapat pertembungan antara ajaran yang anda terima dengan al-Quran, sunnah Nabi (s.a.w.) serta panduan yang dibawa para ulama muktabar, anda perlu berhati-hati dengan ajaran tersebut. Mintalah pendapat serta panduan para asatizah, sekiranya terdapat keraguan tertentu. Perhatikan firman Allah (s.w.t.) di dalam surah al-Anbiya ayat ke-7 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelum kamu (Muhammad), melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui.”

Saudaraku,

Walaupun masyarakat kita telah banyak berbakti, beramal dan menyumbang kepada kebaikan, tidak mustahil terdapat anasir-anasir yang tidak sihat. Inilah perjuangan kita, untuk terus berwaspada dan memelihara diri serta keluarga. Kita akan selamat selagi mana kita bergerak bersama sebagai satu masyarakat, dan terus bantu-membantu di dalam kebaikan dan di dalam menasihati satu sama lain.

Namun, kita juga harus berhati-hati ketika menyebarkan maklumat dan berbicara sesama kita. Ia seharusnya menjadi garispandu ketika kita menerima berita yang belum lagi jelas kesahihannya. Ingatlah, lidah kita mudah berbicara, jari-jemari kita senang menulis, namun kesan dan bahayanya berpanjangan dan berkekalan, dari dunia ke akhirat. Allah (s.w.t.) memerhatikan setiap yang kita lakukan dan bicarakan. Bagi setiap kebaikan adalah balasan kebaikan juga, dan bagi setiap dusta dan pembohongan adalah balasan dosa buat diri kita sendiri dan di atas penganiayaan yang telah berlaku.

Mudah-mudahan dengan sikap berwaspada dalam menuntut ilmu, akan membantu menjamin keselamatan agama kita, serta agama ahli keluarga kita. Marilah kita berdoa agar kita dan masyarakat kita sentiasa berada di atas landasan yang benar yang dibawa oleh Baginda Nabi (s.a.w.). Amin Ya Rabbal ‘Alamin. 

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ

 

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.