collections khutbah Membudayakan Amalan Bermuhasabah
Membudayakan Amalan Bermuhasabah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Disember 2025 / 14 Jamadilakhir 1447H

Membudayakan Amalan Bermuhasabah 

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Hiasilah diri kita dengan takwa terhadap Allah s.w.t. Pastikan setiap tindakan kita selari dengan tuntutan-Nya. Awasi diri daripada melanggar batasan dan tegahan-Nya. Mohonlah bantuan dan petunjuk Allah dalam setiap urusan kita, kerana Dialah sebaik-baik penjaga dan Dialah yang Maha Pengasih terhadap hamba-hamba-Nya. Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kelapangan hati dan ketetapan iman dalam melayari kehidupan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Hari demi hari, silih berganti. Kini, penghujung tahun semakin hampir. Pada awal tahun ini, ada antara kita yang meletakkan matlamat – apakah yang ingin dicapai sepanjang tahun? Namun, ada antara rancangan yang kita lakarkan masih belum tercapai sepenuhnya, barangkali disebabkan kesibukan hidup atau pelbagai faktor yang mencuri tumpuan. 

Dalam kesibukan ini, mungkin kita tidak sempat berhenti sejenak dan bertanya – mengapa aku lakukan apa yang aku lakukan? Apakah tujuanku dalam kehidupan? Bagaimanakah perbuatan dan pekerjaanku pada setiap hari memberi kesan pada hari pembalasan?

Inilah contoh introspeksi atau muhasabah diri yang diperintahkan ke atas setiap insan yang beriman. Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hasyr, ayat 18:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah; dan hendaklah setiap diri memerhatikan (muhasabah) apa yang ia telah sediakan untuk hari esok (akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Dalam kitab tafsirnya, Imam As-Sa’di berpandangan bahawa ayat ini merupakan asas panduan agar setiap hamba Allah sentiasa bermuhasabah diri. Menurut beliau, ini boleh dilakukan melalui 3 langkah:

 

1. Jika kita tersilap, perbaikilah segera.  Kita meninggalkan kesalahan tersebut, bertaubat bersungguh-sungguh dan menjauhi apa sahaja perkara yang boleh mempengaruhi kita dari mengulangi kesalahan yang sama.

2. Jika terdapat kekurangan dalam melaksanakan perintah Allah, berusahalah memperbaikinya. Mohonlah bantuan Allah agar amalan kita menjadi lebih baik dan sempurna.

3. Bandingkan nikmat Allah dengan kekurangan diri kita. Bila kita sedar betapa besarnya nikmat Allah berbanding kelemahan diri sendiri, ia akan melahirkan rasa malu terhadap-Nya. Ia akan mendorong kita menjadi hamba yang lebih taat dan bersyukur.

 

Saudaraku,

Sehebat mana pun pencapaian kita, pasti terdapat ruang untuk kita perbaiki. Namun, peluang ini akan terlepas jika kita terus larut dalam kesibukan; tidak berhenti seketika untuk merenungkan: sudut manakah yang memerlukan usaha  untuk kita perbaiki? Bagaimana kita boleh mengorak langkah seterusnya, agar matlamat kita dalam kehidupan kekal jelas dan tujuan baik kita tercapai?

Di sinilah pentingnya bagi setiap Muslim untuk bermuhasabah, iaitu menilai dirinya secara berterusan. Izinkan saya berkongsi dua perkara berkaitan muhasabah bagi menjawab soalan yang dilontarkan tadi: 

Pertama: Muhasabah adalah proses introspeksi yang menghidupkan hati Mukmin

Seorang alim bernama Al-Hasan Al-Basri pernah berkata: “Seorang mukmin sentiasa menilai dirinya dalam setiap perkara. Apa sahaja yang dilakukan, dia merasakan masih terdapat kekurangan, lalu dia menyesal dan menegur dirinya. Adapun orang yang lalai dan jahat, dia terus melangkah tanpa pernah mempersoalkan atau menegur dirinya.”

Bermuhasabah, boleh menundukkan keegoan dan menunjukkan kekurangan diri. Sebagai contoh, mungkin kita, termasuk diri saya, biasa melayani orang lain dengan baik di tempat awam, tetapi mungkin kurang sabar dengan ahli keluarga sendiri. Mungkin kita berupaya mempamerkan keperibadian dan amalan yang baik di khalayak ramai, tapi masih lagi melakukan dosa dengan bersahaja ketika berada jauh daripada pandangan manusia. 

Kita beradab dengan orang yang sefahaman, yang berkongsi warna kulit dan budaya, namun tidak memberikan layanan yang sama kepada orang yang dianggap berbeza daripada kita, sedangkan kita semua hanya makhluk Ilahi.

Oleh itu, amalan bermuhasabah memastikan bahawa diri kita tidak terpedaya dengan sedikit kebaikan yang kita berjaya lakukan. Kerana pastinya, kita tidaklah sempurna dan masih ada banyak sudut diri yang dapat terus dipertingkatkan.

Kedua: Bermuhasabah demi pembangunan jiwa

Apabila kita berhenti untuk bermuhasabah, merenungkan perbuatan dan pekerjaan kita, ada masanya kita merasa kesal dan kecewa apabila sesuatu matlamat baik masih tidak tercapai, atau ada sesuatu tabiat buruk yang belum berjaya ditinggalkan.

Dalam sepotong hadith riwayat Ibn Majah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Penyesalan adalah (permulaan) taubat.”

Rasa kesal adalah proses yang penting supaya kita dapat elak melakukan kesalahan yang sama pada masa hadapan. Kita mungkin menyesal atas nikmat masa yang dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermanfaat, atau nikmat kesihatan yang tidak dijaga sehinggalah setelah menghidap sesuatu penyakit. Rasa kesal ini seharusnya menjadi pendorong agar kita lebih sedar dan bertujuan jelas dalam setiap tindakan pada masa hadapan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Muhasabah bukan sekadar proses memperbaiki kehidupan, ia juga adalah langkah mempersiapkan diri untuk Hari Perhitungan. Sesuai dengan kata-kata yang masyhur:

“Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung (Allah pada akhirat kelak).”

Ingatlah, setiap tindakan kita mempunyai timbangan di sisi Allah. Muhasabah membantu kita menjaga amanah di tempat kerja, beradab dalam bermasyarakat dan bersabar dalam menghadapi tekanan. Dengan muhasabah, kita melatih ihsan: hidup seolaholah kita melihat Allah s.w.t., atau sekurang-kurangnya menyedari bahawa Allah sentiasa melihat kita.

Semoga dengan muhasabah yang berterusan, kita menjadi hamba Allah yang lebih sedar, lebih bersyukur dan lebih jelas  dalam tujuan hidup yang penuh cabaran. Semoga Allah s.w.t. memimpin setiap langkah kita menuju keredaan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

         

Khutbah Kedua