collections khutbah Membuat Persiapan Untuk Hari Esok
Membuat Persiapan Untuk Hari Esok

 


 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

10 January 2025 / 10 Rejab 1446H

Membuat Persiapan Untuk Hari Esok

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Taati segala perintah-Nya dan jauhi setiap larangan-Nya. Gunakanlah usia dan kehidupan di dunia ini sebagai persiapan menghadapi hari esok di akhirat. Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan sentiasa mengingati kehidupan akhirat. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah yang dikasihi,

Khutbah pada hari ini akan membicarakan tentang keperluan membuat persiapan menghadapi hari akhirat yang kita semua pasti akan melaluinya.

Pada awal tahun ini, ramai yang menetapkan azam dan matlamat yang ingin dicapai sepanjang tahun. Ada yang merancang untuk meningkatkan diri dengan melanjutkan pelajaran, ada yang ingin menceburi bidang pekerjaan baharu, ada pula yang ingin mendirikan rumah tangga dan sebagainya.

Namun, dalam keghairahan kita merancang untuk masa depan, mungkin ada kekhuatiran dan ketidakpastian, sama ada apa yang diimpikan itu akan tercapai. Ini kerana, walaupun manusia digalakkan merancang dan berusaha untuk mencapai impian, hakikatnya hanya Allah s.w.t. yang mengetahui kesudahannya.

Allah s.w.t berfirman dalam Surah Luqman, ayat 34:

Yang bermaksud: “Dan tiada siapa yang mengetahui apa yang akan dikerjakannya pada esok hari, dan tiada siapa yang mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Begitulah hakikat kehidupan kita. Nyawa dan usia hanyalah pinjaman. Dengan waktu yang singkat ini kita diamanahkan  untuk mengurus kehidupan berpandukan ajaran agama. Dalam membuat persiapan untuk kehidupan hari esok yang tidak pasti, janganlah sampai kita lupa hari esok yang kita semua pasti akan temui – iaitu kematian dan hari akhirat yang kekal abadi.

Imam Hasan al-Basri r.a. pernah berkata: “Aku tidak pernah melihat sesuatu yang begitu pasti tanpa keraguan, namun dianggap oleh manusia seolah-olah sesuatu yang ragu dan tidak pasti. Perkara tersebut adalah kematian.”

Renungkanlah, saudara sekalian. Setiap hari yang berlalu bererti kita semakin hampir kepada penghujung usia. Namun, ramai manusia disibukkan dengan tuntutan duniawi, sehingga lupa untuk menyediakan bekalan bagi menghadapi kehidupan akhirat.

Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. menggambarkan betapa dekatnya hari akhirat dengan menggunakan lafazghad, yang bererti ‘esok’. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Al-Hasyr, ayat 18:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah setiap jiwa melihat apa yang ia telah disiapkan untuk hari esok (yakni akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Sidang jemaah sekalian,

Ayat ini mengandungi perintah takwa yang diulang sebanyak dua kali. Para ulama menjelaskan bahawa perintah takwa yang pertama merujuk kepada muhasabah diri dan memohon keampunan atas perbuatan yang lalu. Manakala perintah takwa yang kedua merujuk kepada tindakan kita pada hari esok, supaya ia sentiasa dibimbing oleh kesedaran bahawa Allah mengawasi setiap amal perbuatan kita.

Hanya dengan berbekalkan iman dan takwa yang menghias peribadi, kita berharap dapat kembali kepada Allah dan bertemu dengan-Nya pada hari akhirat nanti dalam keadaan yang lebih baik.

Sebagai persiapan menghadapi hari esok yang pasti, iaitu hari akhirat, seorang Muslim boleh mengambil langkah berikut:

Yang pertama: Membetulkan persepsi dengan meyakini bahawa akhirat itu semakin hampir.

Bayangkan, sesuai dengan perumpamaan Al-Quran, bahawa hari akhirat akan berlaku esok. Adakah kita akan selesa melayari hari ini seperti biasa?

Seorang Mukmin yang sedar tentang kepentingan akhirat tentu akan berusaha memperbaiki setiap amal dan tindakannya, sama ada dalam aspek ibadah mahupun interaksi dengan sesama makhluk.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila engkau mendirikan solat, maka solatlah seperti seseorang yang akan meninggal dunia. Jangan ucapkan sesuatu yang engkau akan kesali pada esok hari, dan janganlah berharap kepada apa yang dimiliki orang lain.” (Riwayat Ibn Majah)

Yang kedua: Sering mengingatkan ahli keluarga tentang hari akhirat.

Tentu sekali, kita semua mempunyai cita-cita dan angan-angan untuk mencapai masa depan yang baik dan bahagia bersama  ahli keluarga. Kita cuba untuk memberikan mereka pendidikan yang baik, pengalaman hidup yang positif, menjaga mereka yang kurang sihat dengan harapan mereka akan kembali pulih dan sebagainya.

Namun, usahlah kita hanya mengejar pengalaman dan kehidupan di dunia semata-mata, tanpa menekankan akan kepentingan hari akhirat. Sampaikanlah peringatan dengan hikmah yang menyentuh nurani. Berpesan-pesanlah bahawa nilai kehidupan tidak terbatas kepada dunia yang fana ini. Tunjukkanlah contoh yang baik, supaya mereka kenal erti kejayaan dan kebahagiaan yang kekal abadi.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita bermuhasabah dan menilai sejauh mana kita telah bersedia untuk menghadapi hari akhirat. Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba-hamba Allah yang berjaya mempersiapkan diri untuk kehidupan abadi. Ingatlah, persiapan untuk hari esok tidak bermakna kita mengabaikan kehidupan di dunia, tetapi menjadikan dunia sebagai ladang bercucuk-tanam dan menuai hasilnya di akhirat.

Semoga Allah s.w.t. memberikan kita hidayah dan kekuatan untuk sentiasa berada di  jalan yeng benar, serta mengumpulkan kita beserta orang-orang yang tersayang di syurga-Nya kelak. Amin ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.