

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
25 September 2026 / 13 Rabiulakhir 1448H
Membina Keluarga Berdaya Tahan: Mengimbangi Perancangan dan Iman

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah s.w.t. melindungi diri kita dan orang-orang yang kita sayangi di dunia dan di akhirat kelak. Amin, ya Rabbal 'Alamin.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Khutbah hari ini akan membincangkan tentang tanggungjawab terhadap anak, perancangan, dan kebergantungan kepada Allah. Firman Allah s.w.t. dalam Surah At-Tur, ayat 21:

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, serta anak keturunan mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami himpunkan dengan mereka zuriat mereka (di dalam syurga), dan Kami tidak mengurangkan sedikit pun pahala amal mereka. Setiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya.”
Saudara sekalian,
Kita diciptakan saling bergantung antara satu sama lain, terutama dalam sebuah keluarga. Hubungan antara ibu bapa dan anak-anak seharusnya mencerminkan keamanan, keselamatan, ketenteraman dan kasih sayang. Dan apabila kita sendiri menjadi seorang ayah, adalah menjadi peranan kita membangun generasi Muslim akan datang.
Pun begitu, hari ini, ramai yang sudah pun menggalas pelbagai bebanan, seperti tekanan kerjaya serta cabaran kehidupan moden yang rencam. Kerisauan ini, ditambah dengan soal masa hadapan yang tidak menentu, boleh menyebabkan sebahagian orang kurang cenderung untuk mendirikan rumah tangga atau menimang cahaya mata.
Dalam mempertimbangkan soal zuriat, kita diminta merancang segala perkara yang berkait dengan masa hadapan mereka. Ini termasuklah mengenal pasti dan memastikan keperluan fisikal, emosi, rohani, dan nafkah mereka dapat dipenuhi. Namun, pada masa yang sama, usahlah membiarkan kerisauan terhadap soal rezeki dan masa hadapan mengatasi kebergantungan dan keyakinan kita terhadap Allah s.w.t.
Ini kerana rezeki pemberian Allah hadir dalam pelbagai bentuk. Kestabilan kewangan, rumahtangga yang aman, dan untaian doa daripada anak yang soleh – semua ini merupakan rezeki.
Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Dalam mengimbangi tuntutan kehidupan masa kini dan aspirasi memupuk keluarga yang berdaya tahan, ada beberapa panduan agama yang harus kita pelajari:
Pertama: Perancangan untuk masa hadapan mencerminkan tanggungjawab
Benar, terdapat beberapa riwayat hadis yang menggambarkan bagaimana Rasulullah s.a.w. berbangga dengan umatnya yang ramai. Namun, dalam soal membina keluarga, kita juga harus memikirkan kualiti dan kemampuan kita untuk menampung keperluan anak dan pasangan – sama ada dari segi nafkah, emosi dan seumpamanya.
Anjuran agama untuk mendapatkan zuriat dan melangsungkan nasab datang seiring dengan tuntutan untuk melaksanakan tanggungjawab, serta memastikan keperluan ahli keluarga dapat dipenuhi. Apabila ini tercapai, kita dapat membentuk individu serta keluarga yang berdaya tahan.
Kedua: Di samping membuat perancangan dan persediaan, letakkan pergantungan kepada Allah
Dalam merancang dan berikhtiar membuat persiapan untuk masa depan keluarga, kuatkanlah keyakinan kita kepada Allah. Ingat, bukan kita yang menjamin masa depan dengan usaha kita sendiri. Hanya Allah s.w.t. yang berhak melimpahkan rezeki dan barakah melalui cara-Nya yang tersendiri.
Saudara sekalian,
Akidah kita melandaskan bahawa rezeki setiap insan telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Allah yang mengurniakan zuriat kepada sesiapa yang Dia mahu. Sebagai insan yang bertanggungjawab, tugas kita adalah membuat persiapan untuk masa depan dengan sebaiknya. Selebihnya, kita serahkan urusan kita kepada Allah dengan penuh baik sangka.
Semoga Allah s.w.t. terus menguatkan iman kita, memberkati rezeki kita, dan merahmati keluarga kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua

