Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
25 Oktober 2024 / 22 Rabiul Akhir 1446H
Membina Daya Tahan: Menangani Krisis dengan Iman
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah tingkatkan ketakwaan kita dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Ya Allah, kau jadikanlah kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang kekal dalam landasan takwa dan iman. Amin.
Saudara yang dikasihi Allah,
Hari ini, mimbar akan menekankan kepentingan memupuk daya tahan saat menghadapi ujian, dan respons kita sebagai masyarakat Islam yang kecil bilangannya tetapi tidak kurang hebat peranannya, ketika berdepan dengan krisis yang sedang berlaku di Gaza sejak setahun yang lalu.
Saudara yang dirahmati Allah,
Ujian tidak datang dengan sia-sia. Ia mengingatkan kita tentang makna sebenar kehidupan; iaitu untuk berusaha menjadi insan yang lebih baik dan dekat kepada Allah s.w.t. Hidup menjadi jauh lebih bermakna apabila kita menyedari hakikat ini.
Allah s.w.t. berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155-157:
Yang bermaksud: “Dan sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, ‘Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.’ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Allah mengingatkan bahawa kesusahan yang kita lalui bukanlah sesuatu yang sia-sia. Ia akan membawa ganjaran, sama ada di dunia ini atau di akhirat nanti.
Bukankah kita patut bersyukur atas janji-janji ini? Walau di saat segalanya terasa seumpama menuju jalan buntu, Allah s.w.t. menegaskan bahawa kita berada di jalan yang benar, selagi kita teguh dalam keimanan dan nilai-nilai Islam.
Saudara yang dirahmati Allah,
Sepanjang tahun lalu, kita menyaksikan malapetaka yang dahsyat angkara kelakuan manusia, yang didorong oleh keganasan, kehancuran, dan kerakusan. Di sebalik musibah itu, kita juga menyaksikan kemampuan umat manusia untuk menunjukkan kecekalan yang luar biasa, daya tahan, dan kesatuan untuk menegakkan keihsanan dan keadilan. Inilah sifat-sifat mulia yang sepatutnya membentuk ciri kemanusiaan kita.
Hari demi hari, kita melihat kehancuran dan korban nyawa, tanpa sebarang tanda penghujung. Ia memaksa kita untuk tunduk akur dan malu atas kelemahan diri kita sendiri. Namun begitu, kita harus ingat bahawa pada saat-saat yang genting ini, kita tidak pernah diabaikan. Kita tetap berpegang teguh dengan keimanan dan pengharapan, kerana Allah s.w.t. mengingatkan kita di dalam Surah Yunus, ayat 107:
Yang bermaksud: “Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Dia menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tiada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hamba-Nya. Dan Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Saudara yang dirahmati Allah,
Bertabah tidak bermakna kita tidak ambil peduli atas kezaliman dan penderitaan yang terus berlaku. Sebaliknya, kita berusaha untuk bertindak dengan hikmah sambil menegakkan prinsip-prinsip belas ihsan dan keadilan. Meletakkan pergantungan kepada Allah tidak bermakna kita berhenti berusaha.
Jadi, apakah yang boleh kita lakukan dalam keadaan yang sukar ini? Izinkan mimbar mencadangkan beberapa langkah:
Pertama, daya tahan kita diukur melalui komitmen kita untuk terus memberi bantuan, sama ada di waktu senang atau sukar. Kita boleh memberikan sumbangan kepada Yayasan Rahmatan Lil ‘Alamin (RLAF), yang sedang menyediakan bantuan kemanusiaan untuk Gaza di Palestin. Saluran ini dibuka hingga 13 Disember nanti.
Warga Singapura, dari pelbagai lapisan masyarakat, telah menunjukkan belas ihsan dan perpaduan untuk membantu mangsa yang tidak bersalah di tengah-tengah kekejaman ini. Marilah kita terus menyokong usaha bersama ini.
Kedua, di saat manusia lebih banyak berpecah daripada bersatu, marilah kita berusaha membina jambatan dan menggalakkan dialog tentang keadilan dan kemanusiaan. Khutbah minggu lalu menekankan kepentingan belas kasihan dan keadilan. Keadilan merupakan nilai universal yang dikongsi oleh setiap masyarakat. Islam meletakkan keadilan dalam kedudukan yang sangat tinggi, sehingga Allah s.w.t. mengingatkan kita dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 8, yang bermaksud: “Janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana ia lebih hampir dengan ketaqwaan.”
Krisis di Timur Tengah bukan sahaja menyemarakkan naratif keganasan dan kebencian, malah telah mengaburkan visi keamanan dan keharmonian antara masyarakat yang pelbagai. Kita harus menegakkan ajaran Islam melalui sifat belas ihsan dan keadilan. Melalui perbicangan yang berpaksi pada sikap hormat-menghormati, kita harus menjalin kepercayaan dan memberi galakan ke arah kebaikan.
Ketiga, dan barangkali yang paling penting, ialah untuk kita kembali kepada Allah s.w.t. dengan penuh keinsafan, rendah hati dan cekal berdoa. Teruskanlah mendirikan solat Hajat dan Qunut Nazilah dalam solat Fardhu atau solat Jumaat. Sesungguhnya, tiada sesuatu pun yang berada di luar kekuasaan Alah s.w.t.
Saudara, kita telah menunjukkan kekuatan dalam masa yang mencabar ini. Alhamdulillah, kita menjadi antara yang terawal dan konsisten melakukan Qunut Nazilah dalam solat Jumaat sejak krisis di Timur Tengah semakin gawat. Marilah terus beristiqamah dan meletakkan harapan pada doa kita.
Saudara yang dirahmati Allah,
Sebanyak mana pun usaha kita untuk membawa perubahan positif di dunia ini, pada akhirnya, kita tetap menyerahkan natijah-Nya kepada Allah s.w.t. Sesungguhnya, ada pengakhiran yang baik bagi orang-orang yang beriman. Allah-lah Pelindung kita, dan kepada-Nyalah kita bertawakal.
Ya Allah, Ya Hayyu, Ya Qayyum, pimpinlah setiap langkah kami agar menjadi insan yang penyayang, tabah, dan adil dalam masa yang sukar ini. Suburkanlah ketakwaan supaya kami dapat mengharungi kehidupan dengan baik. Kurniakanlah perlindungan dan bantuan-Mu kepada mangsa-mangsa kezaliman di Gaza dan tempat-tempat lain. Tempatkan mereka di tempat yang terbaik di Syurga-Mu. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم
KHUTBAH KEDUA
أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.