collections khutbah Memberikan Nasihat: Peranan Seorang Muslim
Memberikan Nasihat: Peranan Seorang Muslim

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

24 Januari 2020 / 28 Jamadilawal 1441H

Memberikan Nasihat: Peranan Seorang Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Laksanakan segala suruhanNya dan tinggalkan segala laranganNya. Mudah-mudahan, kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

 

Saudaraku,

Allah s.w.t. mengurniakan pelbagai nikmat buat manusia. Salah satu nikmat yang amat berharga buat manusia adalah nikmat lisan. Lisan berpotensi untuk menghasilkan pelbagai kesan, sama ada kesan baik atau kesan buruk. Ada yang menggunakan lisan ini untuk kebaikan. Seperti memperbanyakkan berdoa, zikir, membaca al-Quran, mengucapkan salam dan sebagainya. Akan tetapi, ada pula yang kerana tidak pandai mengawal lisannya, telah mengakibatkan perbalahan antara keluarga, teman dan taulan.

 

Saudaraku,

Perhatikan sabda Nabi s.a.w. di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Ketika anak Adam bangun tidur pada pagi hari, seluruh anggota tubuh memberi peringatan kepada lidah, lalu berkata: “Bertakwalah kepada Allah untuk kami, kerana kami bergantung kepadamu. Jika kamu lurus, kami akan lurus; dan jika kamu menyimpang, kami akan menyimpang pula.”

 

Hadis ini memberi peringatan kepada kita untuk sentiasa berhati-hati dalam percakapan kita. Apabila kita ingin menyampaikan sesuatu kata-kata, kita perlu memastikan kata-kata kita itu sungguhpun jujur ataupun benar tidak membawa kepada kemurkaan Allah s.w.t.

 

Ia juga membawa pengajaran kepada kita bahawa lisan berpotensi menghasilkan pelbagai kesan. Ia juga mampu untuk memainkan pelbagai peranan yang positif. Akan tetapi pada masa yang singkat ini, izinkan saya untuk memberi penumpuan kepada salah satu peranan yang boleh dimainkan lisan kita. Iaitu peranan lisan dalam memberi nasihat dan teguran. Kerana memberi nasihat itu sebahagian daripada agama ini. Nabi bersabda yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat.” (Hadith riwayat imam Muslim).

 

Di samping memberi nasihat secara bersemuka, nasihat juga dapat disampaikan melalui rangkaian-rangkaian sosial seperti Facebook, Whatsapp, Twitter dan sebagainya. Apa jua wadah yang digunapakai, apa jua peningkatan atau evolusi alat perhubungan antara manusia; terdapat panduan dalam nasihat-menasihati yang telah dijelaskan agama. Kerana kadangkala dalam keghairahan kita memberi nasihat dan teguran, kita jangkakan kita menasihati teman, akan tetapi sebenarnya teguran kita itu hanya mengakibatkan dirinya semakin berjauhan.

 

Saudaraku,

Dalam usaha kita memastikan kata-kata atau nasihat yang ingin kita sampaikan kekal terpandu, izinkan saya untuk mengongsikan tiga panduan dalam usaha kita memberi bimbingan dan nasihat kepada orang lain.

 

Panduan pertama: Memperbaiki niat ketika memberi nasihat.

Setiap kata-kata atau nasihat yang ingin kita ucapkan itu hendaklah berasaskan kepada tujuan dan niat yang betul. Sesuatu nasihat yang bertujuan untuk merendahkan teman kita, ia adalah sesuatu yang perlu dijauhi. Perhalusi niat kita agar sesuatu kebaikan yang diinginkan itu tidak dicemari dengan sebarang tujuan atau niat yang tidak sewajarnya.  Perhatikan firman Allah s.w.t. di dalam surah Az-Zumar ayat ke 11 yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w.) “sesungguhnya aku diperintahkan untuk menyembah Allah dengan penuh keikhlasan kepadaNya dalam menjalankan agama”.

 

Dari itu, para ulama berkata, istilah “nasihat” dalam bahasa arab membawa maksud: Menginginkan kebaikan untuk orang yang dinasihati. Ia sebenarnya merupakan petanda akan kepentingan keikhlasan dalam memberi nasihat. Kita kalau menginginkan kebaikan untuk teman kita, pastinya kita bakal memerhatikan apa yang kita lafazkan. Bukannya menyindirnya, ataupun menjatuhkan individu tersebut.

 

Panduan Kedua: Mengenali orang yang kita ingin nasihati.

Selain pentingnya niat yang ikhlas dan baik. Kita juga diajar untuk tidak terburu-buru dalam mengucapkan atau melakukan sesuatu perkara. Kita perlu memastikan kata-kata nasihat atau motivasi yang ingin kita berikan itu sesuai dengan diri orang yang kita ingin nasihati. Memahami latarbelakang seseorang itu adalah penting, agar nasihat, dorongan dan motivasi yang ingin disampaikan bersesuaian dengan diri orang tersebut.

 

Nabi s.a.w. sendiri apabila ditanya berkenaan sesuatu permasalahan, Rasulullah s.a.w. akan memberikan jawapan bersesuaian dengan diri orang yang bertanya. Ada yang datang bertanyakan amalan dalam Islam yang paling baik, Nabi akan memerintahkan individu tersebut untuk menjaga orang tuanya. Yang lain pula, nabi memerintahkan untuk menjaga akhlaknya, dan jangan selalu marah.

Nah saudaraku, inilah merupakan salah contoh yang perlu kita beri perhatian ketika memberi nasihat, panduan dan motivasi. Kata-kata yang ingin diucapkan itu hendaklah bersesuaian dengan diri orang yang bertanya agar jawapan yang diberikan dapat memberi kesan yang baik buat dirinya.

 

Panduan ketiga: Pendekatan bertahap-tahap.

Saudaraku, kata-kata nasihat dan motivasi yang ingin diberikan itu bertujuan untuk membantu seseorang memperbaiki dan mempertingkatkan dirinya. Perubahan itu memerlukan ruang dan masa sebelum hasilnya dapat dicapai. Tiada jalan ringkas untuk mencapai sesuatu kejayaan. Segala teguran perlu disampaikan secara berperingkat-peringkat.

 

Maka sebagaimana ayat-ayat suci al-Quran itu diturunkan secara bertahap-tahap. Ia mengambilkira kesediaan masyarakat ketika itu serta keperluan mereka, untuk memastikan agar masyarakat dapat kekal terpandu dengan sebaiknya. Begitu juga kita perlu memastikan pendekatan yang bertahap-tahap ketika memberi nasihat kepada orang lain.

 

Saudaraku,

Segala usaha kita tersebut, merupakan langkah untuk menjadi sumber dorongan dan harapan buat insan sekeliling kita. Semoga segala usaha yang kita laksanakan membawa kebaikan kepada kita dan masyarakat serta memperolehi keredaan Allah s.w.t. Amin ya Rabbal ‘Alamin.