collections khutbah Membangun Lensa Harapan
Membangun Lensa Harapan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 4 Oktober 2019 / 5 Safar 1441H

Membangun Lensa Harapan

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada hari yang mulia ini, marilah kita teguhkan dan tingkatkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t.. Iman dan takwa ini mendorong kita untuk mengecapi kejayaan di dunia serta di akhirat. Semoga kita dapat meningkatkan lagi kesungguhan kita dalam melakukan ketaatan kepadaNya. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

Saudaraku,

Dalam meniti kehidupan ini, pastinya terdapat situasi di mana kita pernah tersilap langkah. Tiada yang maksum melainkan Saidina Rasul s.a.w. Oleh itu, sebagaimana Allah s.w.t. telah mengurniakan kepada kita Hidayah dan petunjukNya, kita juga perlu berusaha untuk memandu diri kita dan membantu mereka yang lain untuk sama-sama menuju ke arah yang diredhai Allah s.w.t..

 

Pada kesemptan ini, ingin saya berkongsi satu kisah yang berlaku di zaman nabi s.a.w.. Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika terdapat seorang yang sering membuat dosa. Beliau kadangkala mabuk, dan disebabka itu beliau sering mendapat hukuman. Lalu mereka yang berada disekitarnya mula mencelanya kerana perbuatannya. Rasulullah bersabda: “Janganlah kalian melaknatnya, Demi Allah, Aku mengetahui bahawa lelaki ini mencintai Allah dan RasulNya.” [Hadith riwayat Bukhari]. Dalam riwayat yang lain: “Jangalah kalian mengatakan demikian, Jangan kalian membantu syaitan menjerumuskannya. Katakanlah kepadanya: ‘Semoga Allah merahmatinya’.” [Hadith riwayat Ahmad].

 

Saudaraku,

Dari hadith ini, Rasulullah s.a.w. mengajar kita meskipun seseorang itu mempunyai kelemahan dan keburukannya, kita seharusnya memilih untuk melihat potensi kebaikan dan kekuatan yang ada pada mereka. Kita diingatkan agar jangan merendah-rendahkan sesiapa pun. Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Hujurat ayat 11:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sebahagian kaum wanita mencemuh dan merendah-rendahkan wanita yang lain, (kerana) kemungkinan yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

 

Ingatlah saudara, apa jua sejarah kehidupan yang pernah dilalui seseorang itu, ia bukanlah menjadi satu kayu ukur untuk kita menghukumnya. Belum tahu diri kita yang melihat orang yang banyak melakukan kesilapan ini lebih baik daripada orang yang kita pandang rendah di sisi Allah. Kita semua hanyalah manusia yang mendambakan kasih Tuhannya. Sepertimana Allah telah mempermudahkan bagi sebahagian kita untuk taat padaNya begitulah hendaknya kita membuka ruang dan mempermudahkan bagi orang lain turut merasai nikmat ini. Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Barangsiapa yang melepaskan satu kesusahan dari seorang mukmin, maka Allah akan melepaskan salah satu kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain, maka Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup keaiban seorang muslim, maka Allah akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hambaNya selama mana hambaNya itu menolong saudaranya. [Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

 

Hadith di atas menunjukkan bahawa selain dari kita disuruh untuk menggantung harapan kepada Allah s.w.t., ia juga menegaskan bahawa kita ini layak menerima bantuan dari Tuhan, apabila kita berusaha untuk membantu dan menunaikan hajat insan lain.

 

Saudaraku,

Subhanallah! Allah s.w.t. memilih sebahagian insan untuk menjadi pembawa rahmatNya dan menjadi sumber pengharapan kepada orang-orang di sekelilingnya. Maka dari ini, kita perlu berusaha untuk memupuk dalam diri kita untuk menjadi sumber pengharapan dan inspirasi kepada semua manusia tanpa mengira latarbelakang seseorang itu.

 

Ini bukanlah sesuatu yang berlaku dengan sekelip mata, ia harus mula daripada hati yang inginkan kebaikan dan pembaikan. Ia akan terbit daripada hati yang bebas daripada hasad dan dengki. Sebelum boleh menjadi insan pilihan sedemikian kita harus memastikan diri kita bebas daripada perasaan sombong atau ujub dengan kebaikan dan kelebihan diri sendiri. Untuk dapat melihat insan lain dengan kaca mata rahmah, kita perlu bebas daripada merasakan diri kita lebih baik atau mulia daripada orang lain. Bahkan apa yang kita inginkan adalah agar seramai mungkin teman dan keluarga dapat bersama-sama kita di syurgaNya kelak.

 

Seterusnya, untuk dapat melihat dengan kaca mata rahmah, kita perlu selalu melatih diri melihat pada kelebihan dan potensi kebaikan pada seseorang lebih daripda keburukannya. Ini kerana dengan demikian kita tidak akan mudah berputus harapan dalam bersama dengan beliau untuk sama-sama menjadi insan yang lebih baik. Terkadang kita mendengar ada orang yang diakibatkan latar belakangnya yang dipenuhi keburukan, diabaikan atau dipandang hina oleh orang ramai. Namun oleh kerana ada seorang insan yang memilih untuk memberinya harapan, memberinya semangat menjadi lebih baik, orang itu ternyata kemudian berjaya menjadi insan yang cemerlang dan membawa manfaat. Begitulah kuasa rahmat dan harapan. Ia dapat memberikan kekuatan luar biasa untuk seorang insan mengatasi pelbagai cabaran sehinggalah menjadi seorang yang jauh lebih baik.

 

Ingatlah selalu pesan Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Barangsiapa yang menunjukkan sifat rahmah akan diberi rahmah oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihi mereka yang di dunia, Yang Di Syurga pasti akan mengasihanimu.” [Hadith riwayat Imam At-Tirmizi].

 

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita taufiq dan hidayahNya dalam usaha kita membangunkan kehidupan masyarakat yang lebih baik lagi. Mudah-mudahan kita semua memperolehi kejayaan di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.