collections khutbah Melindungi Institusi Keluarga
Melindungi Institusi Keluarga

 

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Jun 2024 / 21 Zulhijjah 1445H

Melindungi Institusi Keluarga


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Khatib berpesan pada dirinya dan sekalian yang hadir agar terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Takwalah kepada-Nya walaupun dengan usaha yang nampak kerdil seperti beristighfar secara rahsia ketika lapang. Jauhi larangan-Nya seperti meninggalkan solat fardu secara sedar. Semoga Allah s.w.t. melindungi kita dan keluarga kita daripada sebarang keburukan dan gejala tidak sihat, hasil dari ketakwaan tersebut. Amin.

Para jemaah sekalian,

Masih ingat lagi pesanan-pesanan khutbah sepanjang Jun ini? Izinkan saya berkongsi kesimpulannya secara ringkas. Kita perlu menghindari keganasan keluarga untuk mewujudkan sakinah. Kita diingatkan untuk menjaga hak isteri dan wanita menerusi penghayatan khutbah Wada’. Kita juga dianjurkan melihat perancangan harta dan faraid menerusi lensa amanah dan tanggung jawab, bukan sekadar tuntutan hak semata-mata.

Benar, semua topik perbahasan berkisar pada nilai yang memelihara kemaslahatan sebuah keluarga Muslim. Hari ini, mimbar mengajak sidang Jumaat sekelian menanamkan azam melindungi keluarga, terutama generasi muda, dari anasir negatif yang menular di luar sana. Marilah kita mengambil iktibar daripada sebuah kisah yang terakam dalam al-Qur’an.

Yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: ‘Tuhanku! Sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (tidak tunduk dengan desakan dunia), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Ali-Imran, ayat 35).

Pengajaran ayat ini ialah, sekiranya ibu kepada Sayyidatina Maryam (bayi di dalam kandungan) dengan penuh keimanan dan pengharapan, memohon perlindungan Allah bagi anaknya yang bakal lahir, begitulah juga hendaknya kita pada hari ini yang hidup dalam dunia yang penuh cabaran.

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Keimanan seharusnya mendorong kita untuk yakin dengan ketentuan Allah s.w.t., sekaligus berusaha membentuk keluarga yang sakinah, utuh dan harmoni. Iman pula dibina menerusi ilmu pengetahuan yang sahih. Hanya dengan asas ilmu yang utuh, kita dapat melindungi keluarga daripada anasir buruk yang boleh menjejas maqasid atau objektif syariah. Antara objektif syariah yang sempat untuk dibentangkan menerusi wadah ini ialah syariah sebagai alat yang  memelihara jiwa dan akal. Ini termasuk pemeliharaan  dari perbuatan yang boleh membahayakannya sehingga boleh merosakkan diri sendiri, rumahtangga dan masyarakat. Contohnya, sama ada generasi muda ataupun yang lebih dewasa, masih ramai individu yang menghadapi cabaran meninggalkan tabiat merokok, ketagihan vape, dan penyalahgunaan dadah termasuk dadah sintetik.

Mari sejenak kita tumpukan pada isu penyalahgunaan dadah. Persepsi umum bahawa penagih remaja kebanyakannya adalah penjenayah, atau berasal dari keluarga yang tidak berfungsi, adalah persepsi yang kurang tepat. Kerana dunia hari ini terdedah pada pandangan liberal mengenai dadah, terutama melalui media baru. Ini menyebabkan semua orang berhadapan risiko yang sama, iaitu menerima penggunaan dadah sebagai gaya hidup.

Anasir buruk seperti dadah akan menjejas kerohanian individu, membinasakan diri dan merugikan masyarakat.  Allah s.w.t. berfirman:

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan" (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Para jemaah yang dikasihi,

Izinkan mimbar berkongsi dua langkah sebagai usaha melindungi diri dan keluarga kita daripada anasir negatif:

Pertama, hidupkan nilai-nilai positif dalam keluarga. Pada hari ini, setiap lapisan umur, terutama golongan muda, terdedah pada pengaruh gaya hidup alternatif yang mudah diperolehi melalui media baharu. Benteng yang terbaik untuk melindungi ahli keluarga kita daripada pengaruh ini adalah dengan menghidupkan nilai-nilai agama dalam keluarga. Kita tunjukkan contoh positif menerusi perbualan secara terbuka dan jujur. Amalan ini boleh membantu mengurangkan risiko golongan remaja dan belia dari mudah terpengaruh dengan anasir yang tidak selari dengan nilai-nilai agama.

Kedua, berikan sokongan dan perhatian yang wajar kepada setiap ahli keluarga. Dampingilah anak-anak muda kita. Pada masa yang sama, santunilah dan jaga keperluan orang tua. Sesuai dengan sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud, “Bukanlah daripada kalangan kami orang yang tidak menyayangi orang yang lebih muda daripada kami dan menghormati orang yang lebih berusia daripada kami.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi). Yakinlah, setiap anggota keluarga menghadapi ujian yang tersendiri. Dengan saling memberikan sokongan dan perhatian, diharapkan kita dapat meningkatkan daya tahan ahli keluarga kita dalam mengatasi anasir buruk. Sekaligus, mencapai maslahat dan membina institusi keluarga yang beriman lagi kukuh.

Para jemaah sekalian,

Sama-samalah kita berusaha dan berdoa kepada Allah s.w.t. agar melindungi diri kita dan keluarga kita daripada sebarang bentuk keburukan.

Ya Allah, Ya Fattah, Ya ‘Alim, kurniakan kami kekuatan dan kebijaksanaan dalam membimbing keluarga ke jalan yang diredai-Mu. Ya Waliy wa Ya Rauuf, lindungilah keluarga kami dari fitnah dunia dan segala anasir yang merosakkan akidah dan juga akhlak. Ya Rahman wa ya Rahim, tempatkan kami dan keluarga kami di bawah naungan rahmat dan perlindungan-Mu.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

KHUTBAH KEDUA 

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَم وَاْلأَمْنَ وَاْلأَمَانَ لِلْعَالَمِ أَجْمَع يَا لَطِيْف. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.