

Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Jumaat
13 Mac 2026 / 23 Ramadan 1447H
Lailatulqadar – Memohon Takdir yang Lebih Baik

Zumratal mukminin rahimakumullah,
Bertakwalah kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan ketakwaan kita pada hari ini menjadi sumber ketenangan bagi kita ketika berdiri di hadapan-Nya di hari kemudian. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Sidang jemaah yang dirahmati Allah,
Sepuluh malam terakhir Ramadan kini telah menjelma. Sebagai Muslim, kita percaya bahawa ini adalah masa yang utama bagi kita untuk mengejar satu malam istimewa, satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatulqadar.
Dalam sepotong hadis riwayat Imam Muslim, dijelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh (melakukan ketaatan dan mengejar pahala) pada penghujung Ramadan ini berbanding dengan masa yang lain. Tidakkah ini sewajarnya menjentik semangat yang sama dalam diri kita?
Allah s.w.t. juga telah berfirman dalam Surah Ad-Dukhan ayat 4:

Yang bermaksud: “Pada malam itu (Lailatulqadar), dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.”
Saudara, menurut ahli tafsir seperti Imam Ibn Kathir, ia bererti bahawa malam Lailatulqadar adalah masanya setiap rezeki, ujian dan setiap peristiwa bagi tahun yang akan datang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah s.w.t.
Saudara yang dikasihi Allah,
Jelas sekali, seorang Mukmin tidak sesekali akan memandang remeh terhadap keutamaan Lailatulqadar. Terutama sekali, dengan kesedaran bahawa Allah menentukan takdir-Nya bagi kita pada malam penuh berkat ini. Persoalannya, apakah yang harus kita lakukan?
Jawapannya boleh kita kaitkan dengan sabda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Tiada sesuatu yang dapat menolak takdir melainkan doa.” (Riwayat Ibn Majah)
Oleh itu, gunakanlah malam-malam yang berbaki daripada bulan Ramadan ini untuk memperbanyakkan berdoa dengan keikhlasan hati. Dan pastinya terdapat banyak doa yang boleh kita panjatkan. Di sini, khatib ingin mengusulkan dua perkara yang wajar kita mohon kepada Allah s.w.t. pada masa ini:
Pertama: Kekuatan menghadapi ujian dengan cara yang diredai Allah
Kita memahami bahawa kehidupan ini adalah ujian, dan kita memohon agar setiap ujian yang Allah tetapkan disertai dengan kesabaran, kekuatan dan keakraban kepada-Nya.
Kedua: Kehidupan yang dipenuhi ketaatan dan keampunan
Jika Allah memanjangkan usia, kita memohon agar ia dipenuhi ketaatan, peluang untuk terus bertaubat dan bertemu Ramadan lagi; dan jika ajal mendahului, kita memohon pengakhiran yang baik (husnul khatimah) dalam keadaan diredai Allah.
Saudara,
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran Allah, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Jika diberikan kesempatan, kita semua akan bertemu Lailatulqadar dalam keadaan yang berbeza-beza. Ada yang dapat meluangkan masa sepenuhnya, beriktikaf di masjid atau menghidupkan sepanjang malam dengan solat dan Al-Quran.
Namun pastinya, ada di kalangan kita yang berhadapan cabaran yang berbeza. Ada yang bertugas di waktu malam, ada yang berjaga menguruskan anak kecil atau orang tua, ada juga yang perlu berehat sebelum bertugas atau bersekolah pada keesokan harinya.
Janganlah hanya kerana kita tidak mengecap kesemuanya, kita tinggalkan kesemuanya. Carilah peluang kecil untuk kita solat berjemaah, berzikir, membaca atau mendengar alunan bacaan Al-Quran. Niatkan setiap perkara yang kita lakukan untuk mendapatkan keredaan Allah. Dengan diiringi doa-doa yang kita panjatkan, semoga Lailatulqadar berjaya meninggalkan kesan pada diri dan perhitungan amalan kita.
Saudara yang dirahmati Allah,
Dalam kita menumpukan perhatian dan tenaga meraih pahala pada penghujung bulan Ramadan, usahlah kita menyibukkan diri kita dengan perkara yang sia-sia atau yang boleh menimbulkan keraguan. Antaranya, perbalahan yang boleh membawa kepada perpecahan dan kekeliruan, seperti spekulasi berkaitan isu rukyah dan penetapan awal bulan Hijri, yang mungkin boleh sahaja berlaku perbezaan di antara satu daerah dengan daerah atau negara yang lain. Fikirkanlah kesan negatif yang terhasil dari perdebatan sedemikian, apatah lagi jika ianya tidak berasaskan ilmu pengetahuan yang sahih. Jelas perbalahan sebegini bukan sahaja tidak sepatutnya berlaku, bahkan ia boleh menjejas pahala puasa kita.
Perbezaan sebegini bukanlah isu baharu. Ia telah wujud sejak zaman para sahabat Nabi s.a.w. Ia adalah perbezaan yang dibenarkan dalam Islam sekiranya ia didasari ijtihad oleh ulama dan golongan pakar falak syar’i. Oleh itu, adalah tidak wajar bagi kita untuk berbalah dan tuduh-menuduh, mencemuh dan menimbulkan keraguan. Sikap yang tepat dan bersesuaian dengan ajaran Islam adalah dengan merujuk dan menyerahkannya kepada pakar dan kepimpinan agama yang berwibawa.
Semoga Allah s.w.t. membersihkan hati kita, memelihara pahala amalan kita, dan memberikan kita semua ketenangan serta peluang meraih Lailatulqadar.

Khutbah Kedua

