collections khutbah Konsep Halalan Toyyiban Dalam Pemakanan
Konsep Halalan Toyyiban Dalam Pemakanan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 Ogos 2021 / 27 Zulhijjah 1442H

Konsep Halalan Toyyiban Dalam Pemakanan

الحَمدُ للهِ الَّذِي خَلَقَ فَسَوَّى، وَصَبَّ الْمَاءَ وَشَقَّ اْلأَرْضَ وَأَطْعَمَ وَسَقَى، وَرَزَقَ العِبَادَ مِمَّا يَطْعَمُوْنَ حَلَالًا طَيِّبًا، وَأَشهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَنَبِيَّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّم عَلَى الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ، مُحَمَّدٍ بْنِ عَبْدِ اللهِ، وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ دَعَا بِدَعْوَتِهِ وَاهتَدَى بِهُدَاهُ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.

أَمَّا بَعدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ جَلَّ وَعَلاَ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ الوَافِرَةِ.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga Allah (s.w.t.) berkati kehidupan kita dengan rezeki yang halal lagi baik. Dan semoga dengan kedatangan Tahun baru hijrah (Awal Muharram) dalam beberapa hari lagi, marilah sama-sama kita menanamkan azam untuk terus mendekatkan diri kepada Tuhan dengan mempertingkatkan amal ibadah. Amin.

Saudara dan Saudari,

Terdapat sepotong hadis Nabi (s.a.w.) yang merupakan panduan bagi setiap individu Mukmin berkaitan pemakanan. Nabi bersabda yang bermaksud: “Apa sahaja yang dihalalkan oleh Allah (s.w.t.) di dalam kitab-Nya, maka ianya adalah halal dan apa sahaja yang diharamkan-Nya, maka ianya pula adalah haram. Dan apa sahaja yang didiamkan-Nya, maka ianya itu dimaafkan. Dan terimalah kemaafannya itu daripada Allah (s.w.t.), kerana sesungguhnya Allah (s.w.t.) tidak lupa sedikitpun. Kemudian Rasulullah (s.a.w.) membaca ayat daripada firman Allah (s.w.t.): ‘Dan tidaklah Tuhanmu itu akan lupa.’” (Surah Maryam: 64). [Hadis riwayat al-Hakim].

Hadis ini menjelaskan bahawa perkara yang halal dan haram itu jelas di dalam agama. Adapun sebahagian perkara yang tidak dinyatakan hukumnya, ia dikira sebagai perkara yang halal kecuali adanya tanda atau bukti akan keharamannya. Ia sekaligus, merupakan petanda akan rahmat Allah, yang telah mencipta langit dan bumi ini, keseluruhannya bagi kemudahan kita. Allah berfirman:

Yang bermaksud: “Dia lah yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Dia Maha Mengetahui akan segalanya.” (Surah al-Baqarah: 29).

Imam al-Qurtubi menegaskan bahawa ayat ini membuktikan bahawa segala yang ada di bumi ini merupakan ciptaan Tuhan bagi manusia. Ia memberi maksud bahawa kebanyakkan perkara adalah halal. Dan larangan yang Allah tetapkan, iaitu perkara yang haram, amatlah sedikit sekali, sekiranya dibandingkan dengan segala yang telah dihalalkan oleh-Nya.

Saudara dan Saudari,

Sebagai seorang Muslim, kita diwajibkan untuk memakan makanan yang halal, serta menghindari daripada makanan yang haram. Ia merupakan sebahagian daripada agama kita. Pentingnya makanan halal itu, sehinggakan Nabi (s.a.w.) menegaskan bahawa penerimaan doa itu bergantung kepada tahap mana seseorang itu menjaga kehalalan makan, minum, bahkan pakaian serta rezeki seseorang. (Hadis riwayat Imam Muslim).

Tambahan daripada mengambil makanan yang halal, sekiranya kita melihat kepada al-Quran, kita akan mendapati bahawa al-Quran sering juga menegaskan kepentingan mencari yang toyyib iaitu yang baik ataupun yang elok. Ia merupakan satu aspek yang kadangkala tidak diperhatikan sebahagian individu. Kerana kita selalunya menitikberatkan aspek halal, adapun sama ada makanan itu sihat serta baik untuk diri kita serta kesihatan jasmani dan rohani seseorang, aspek ini kadangkala tidak diperhatikan.

Terdapat beberapa maksud yang boleh difahami di sebalik istilah “toyyib”. Antaranya seperti:

Yang pertama: Makanan yang sihat.

Kerana tidak semua makanan dan minuman yang halal secara otomatik menjadi baik. Kerana ia bergantung kepada keadaan individu. Ada halal serta baik untuk seseorang yang menikmati tahap kesihatan tertentu, adapun bagi yang lain, ia berbeza. Ada makanan yang baik tetapi tidak berzat, kerana itu, ia menjadi kurang baik.

Penegasan al-Quran yang menggunakan kalimat halalan toyyiban, menunjukkan bahawa kedua-duanya perlu diperhatikan. Sekiranya yang halal merupakan kewajiban yang perlu diperhatikan maka yang baik (toyyib) juga perlu sentiasa dipelihara.

Maka kita perlu membuat penilaian, agar sentiasa memakan makanan yang halal lagi baik. Ini kerana dengan badan serta minda yang baik dan sihat, ia akan membuatkan kita lebih cergas dan berupaya dalam melaksanakan amal ibadah, justeru membuatkan kita lebih dekat kepada Allah (s.w.t.).

Yang kedua: Tiada unsur pembaziran.

Menurut kajian, pembaziran makanan merupakan satu masalah yang begitu meruncing di zaman ini. Di Singapura sahaja, kadar pembaziran makanan telah meningkat semenjak beberapa tahun yang lalu.

Ia sebenarnya merupakan satu perkara yang boleh dielakkan, apabila setiap individu berusaha keras untuk mengurangkan jumlah pembuangan makanan. Sama ada dengan hanya membeli makanan yang diperlukan, yang dijangka mencukupi untuk anda sekeluarga. Ataupun dengan mengawal perbelanjaan, serta tidak berlebih-lebihan.

Ia merupakan satu lagi aspek pemakanan “toyyib” yang perlu kita perhatikan. Sejajar dengan tanggungjawab kita sebagai khalifah Tuhan di muka bumi ini. Agar bersikap ihsan kepada diri sendiri, binatang, dan juga alam sekitar. Ia merupakan langkah-langkah kecil untuk menyokong usaha dalam memastikan sekitaran yang aman, menghargai nikmat Tuhan.

Semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan hidayah-Nya serta mecurahkan rahmat-Nya buat kita semua. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

Khutbah Kedua

 

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.