collections khutbah Komunikasi Penting Bagi Membina Keluarga Yang Berjaya
Komunikasi Penting Bagi Membina Keluarga Yang Berjaya

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

30 September 2022 / 3 Rabiulawal 1444H

  
Komunikasi Penting Bagi Membina Keluarga Yang Berjaya

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita tergolong di kalangan hamba-Nya yang mulia. Amin.

Saudara dan saudari,

Al-Quran bukan hanya membicarakan soal hukum hakam, akan tetapi di dalamnya juga terkandung pelbagai pengajaran sebagai panduan kehidupan yang menyeluruh. Hatta, cara berkomunikasi dan adab perhubungan antara seorang bapa dan anak juga boleh diteladani daripada kisah-kisah di dalam Al-Quran.

  
Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah Yusuf ayat 4-5:

Yang bermaksud: (Ingatlah) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: "Wahai ayahku! Sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku". Bapanya berkata:" Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.”

Perhatikan bagaimana Allah (s.w.t) memberi pengajaran tentang cara berkomunikasi antara seorang ayah dan juga anaknya. Dalam usia Nabi Yusuf (a.s) yang sangat muda, beliau telah diberi wahyu oleh Allah (s.w.t) akan kemuliaan yang akan diberikan kepadanya. Nabi Yusuf (a.s) ketika itu memilih untuk menceritakan hal itu kepada ayahnya, Nabi Ya’qub (a.s).

Sebagai seorang ayah, Nabi Ya’qub mendengar dengan teliti cerita anaknya itu dan memberi nasihat yang sewajarnya. Itulah contoh yang boleh kita pelajari daripada kisah para Anbiya’ (a.s).

Jika kita meletakkan diri kita sendiri pada situasi tersebut, di mana anak kecil kita menceritakan kepada kita tentang apa yang berada di fikirannya. Barangkali kita akan tertawa dan menganggapnya remeh hanya kerana faktor usia anak kita yang masih kecil lagi.

Akan tetapi, peranan kita sebagai seorang yang lebih matang dari segi pemikiran dan juga dalam menjalankan tanggungjawab, adalah lebih baik untuk kita prihatin akan segala yang berlaku serta yang dialami oleh anak-anak. Lebih khusus lagi ketika mereka ingin menceritakannya kepada kita.

Saudara dan saudari,

Komunikasi merupakan salah satu unsur penting dalam memperkukuh institusi keluarga.  Ia tidak terhad kepada perbualan sahaja, bahkan ia juga berlaku dengan memerhatikan perilaku serta gerak geri.

Perhatikan sikap kita, gerak geri kita, tumpuan kita, dan juga intonasi kita ketika ingin berkomunikasi bersama anak-anak. Seorang ayah yang memberi tumpuan sepenuhnya ketika berbicara akan dapat dirasai oleh anaknya dan akan membuat mereka merasa lebih selesa untuk berbicara bersama-sama.

Seorang ayah yang berusaha untuk menjaga hubungan yang baik dengan anaknya, memerlukan kesungguhan. Sebagaimana dia ingin anaknya untuk berkongsi dengannya segala yang sedang dialaminya, atau kisah-kisah sehariannya, atau sekadar ingin berbicara untuk meluangkan masa berkualiti bersama ayahnya, begitulah juga seorang ayah harus bersedia melakukan perkara yang sama. Kerana anak-anak itu adalah cerminan ibu bapa mereka.

Saudara dan saudari,

Seorang ayah yang meluangkan masa untuk berbual dengan anaknya, untuk mendengar dengan teliti serta memberikan tumpuan sepenuhnya kepada anaknya, sudah pasti akan mendapat kasih-sayang serta kepercayaan. Ia sekaligus memberikan keyakinan serta keutuhan pada perhubungan antara ayah dengan si anak.

Dan dengan keutuhan hubungan ini, barulah segala nasihat serta segala tauladan yang diberikan dapat diterima baik oleh anaknya. Dan pada masa yang sama akan dapat menerap nilai-nilai murni yang akan membimbing mereka.

Ingatlah pesanan akhir dari mimbar hari ini, kita mendengar bukan untuk menghukum dan bukan juga untuk mencari kesalahan. Akan tetapi, dengarkanlah kata-kata anak itu, sebagai tanda kasih-sayang kita kepada mereka. Dengarkanlah kata-kata anak itu, untuk membimbing mereka ke arah kebaikan dan mendapat syurga Allah (s.w.t) kelak. Amin. Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.