collections khutbah Kisah Nabi Yusuf (a.s): Pengajaran Dalam Menguruskan Harta
Kisah Nabi Yusuf (a.s): Pengajaran Dalam Menguruskan Harta

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 September 2023 / 29 Safar 1445H


Kisah Nabi Yusuf (a.s): Pengajaran Dalam Menguruskan Harta

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga dengan ketakwaan ini, kita diberi kesejahteraan dan kemakmuran di dunia yang menjaminkan keselamatan kita di akhirat kelak. Amin Ya Rabbal Alamin.

Saudaraku,

Di dalam al-Quran, terdapat banyak kisah para Nabi. Pada kisah-kisah tersebut, terdapat pengajaran bagi insan berhadapan dengan cabaran kehidupan 


Pada khutbah minggu ini, marilah kita menghayati kisah Nabi Yusuf. Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “[Nabi Yusuf berkata]: Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya.” [Surah Yusuf: 55]

Saudaraku, 

Perhatikan dua sifat yang disebutkan tadi. Dua sifat inilah yang merupakan penyebab kejayaan Nabi Yusuf (a.s.) dalam menghadapi krisis kemarau selama tujuh tahun.

Menurut ulama tafsir, Nabi Yusuf (a.s) diberikan kepercayaan oleh raja Mesir untuk menjadi bendahara negara kerana memiliki dua sifat yang amat penting terdapat pada diri setiap individu. Yang pertama iaituSifat hafiz yang bererti menjaga apa yang dipertanggungjawabkannyaDan yang keduaSifat aliim yang bererti pengetahuannya dalam cara menguruskan wang.

Dua sifat ini jelas ditonjolkan oleh Nabi Yusuf (a.s.) ketika menguruskan kewangan negara Mesir. Sebagai contoh, apabila Mesir dilanda kemarau, beliau meminta raja Mesir untuk merancang kewangan negara, serta menyimpan hasil tanaman sebagai persiapan bagi kemarau yang mendatang. Demikianlah kepentingan mempunyai bekalan simpanan agar dapat menyiapkan diri berhadapan dengan apa juga keadaan. 

Kita tidak tahu cabaran hidup kita serta keperluan keluarga pada keesokan hari. Mungkin pada hari ini kita diberikan  keluasan dalam kewangan. Namun pada keesokan hari, apakah hal dan keadaannya, wallhu a’lam.

Oleh itu, sebagai seorang Muslim, kita seharusnya mencontohi dua sifat Baginda Nabi Yusuf (a.s). Berdasarkan sifat hafiiz, seorang mukmin berusaha untuk membuat perancangan dan persediaan yang kemas dan teratur bagi menghadapi masa depan yang penuh dengan ketidakpastian. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Kemudian sifat al-Aliim pula menuntut kita untuk memiliki ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan harta. Apakah kaedah-kaedah serta cara yang berkesan untuk merancang keperluan keluarga kita? Terdapat pelbagai wadah untuk kita mempertingkatkan kemahiran kita, seperti menjalani program-program yang tersedia.

Saudaraku,

Sering kali, Allah (s.w.t) memberikan dugaan kepada hamba-Nya sebagai ujian dan pengajaran dalam kehidupan. Lebih lagi sebagai penduduk negara yang mengalami pembangunan pesat, ujian yang kita lalui mungkin berbentuk kewangan.  

Kita kembali ingat ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, ramai individu ketika itu terjejas, tak kira muda ataupun tua. Sebahagian individu mengalami kehilangan pekerjaan dan pengurangan gaji dek pandemik ini. Setentunya kita berdoa kepada Allah agar Tuhan pelihara sentiasa negara serta tanah air kita. Akan tetapi, individu mukmin sentiasa bersiap sedia, dan merancang bagi berhadapan dengan pelbagai kemungkinan.

Segalanya bermula daripada sikap berhemat dalam berbelanja. Membeli sesuatu hanya mengikut keperluan dan memikirkan manfaat jangka panjang bagi perbelanjaan itu. Usah membeli-belah hanya sesuka hati atau membeli perkara yang tidak dapat memberikan apa-apa kemudahan buat diri kita.

Bagi mereka yang berkemampuan pula, bantulah saudara kita yang berada di dalam kesusahan terutamanya kepada kaum kerabat kerana ia merupakan antara kunci kita ke syurga.

Jika ada di kalangan saudara-mara kita yang memerlukan apa sahaja jenis bantuan baik dari segi kewangan, tenaga, mahupun nasihat. Jadilah orang pertama yang menghulurkan pertolongan. Nescaya, Allah Yang Maha Pemurah melimpahkan rahmat kepada hamba-hamba-Nya yang bersikap pemurah.

Perhatikan hadis Baginda Nabi (s.a.w):

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ العِبَادُ فِيهِ إِلَّا مَلَكَانِ يَنْزِلَانِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا : اللّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفاً ، وَيَقُولُ الآخَرُ : اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكاً تَلَفاً

Yang bermaksud: “Tidaklah para hamba memasuki waktu pagi hari, melainkan ada dua malaikat turun (ke bumi). Maka salah satu dari mereka berdoa, ‘Ya Allah, berikanlah ganti (yang baik) kepada orang yang bersedekah’. Sedang malaikat yang satunya lagi mengatakan, ‘Ya Allah, timpakanlah kehancuran pada orang yang menahan hartanya (bakhil)” [Hadis riwayat Imam al-Bukhari]

Semoga Allah (s.w.t) menjadikan kita hamba-hamba-Nya yang bijak menguruskan wang mereka serta membelanjakan harta mereka di jalan-Nya. Ameen Ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.