collections khutbah Kisah Nabi Yunus: Mencari Hikmah Di Sebalik Cabaran
Kisah Nabi Yunus: Mencari Hikmah Di Sebalik Cabaran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat 

29 September 2023 / 13 Rabiulawal 1445H

Kisah Nabi Yunus: Mencari Hikmah Di Sebalik Cabaran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga kita menjadi hamba-hamba-Nya yang dapat mengecapi kejayaan dunia dan akhirat. Amin.

Saudara Saudari

Izinkan saya pada hari ini untuk berkongsi satu lagi kisah dengan harapan agar ia menjadi sumber inspirasi dan pencerahan buat kita semua. Ia merupakan kisah tentang Nabi Yunus (a.s). Beliau merupakan seorang utusan Allah yang berhadapan dengan pelbagai kesusahan dan rintangan dalam menyampaikan amanah yang diberikan Allah (s.w.t).

Nabi Yunus (a.s) menempuhi pelbagai rintangan dalam menjalani dakwahnya. Beliau dibebani dengan perasaan kecewa dan hampa kerana kaumnya menolak risalah yang dibawa. Dengan perasaan serta jiwa yang hiba, Nabi Yunus (a.s) mengambil keputusan untuk meninggalkan kaumnya dan menaiki kapal untuk belayar pergi dan berhijrah.

Di tengah-tengah pelayarannya, ditakdirkan ribut dan badai melanda. Kapal yang dinaiki Nabi Yunus (a.s) dipukul ombak dan hampir karam di tengah lautan. Nakhoda mengambil keputusan untuk mengurangkan muatan dalam usaha mereka untuk mengembalikan kestabilan kapal tersebut serta menyelamatkan diri mereka.

Walaupun setelah dikurangkan muatan, ternyata kapal masih lagi terlalu berat. Maka keputusan dibuat untuk mengundi salah seorang daripada penumpuang untuk dicampakkan ke luar kapal. Ternyata Nabi Yunus (a.s) diundi sebagai salah seorang di antara mereka yang harus dicampakkan ke dalam laut. Kisahnya diceritakan di dalam al-Quran. Dan bagaimana Nabi Yunus (a.s) lalunya ditelan oleh seekor ikan paus.

Walaupun sedemikian, keimanan Nabi Yunus (a.s) terhadap Allah (s.w.t) tidak pernah pudar biarpun berada di dalam perut ikan paus tersebut. Nabi Yunus tetap memuji keagungan Tuhan, mengakui kelemahan dirinya sendiri dan menghambakan diri dengan seikhlas hati. Beliau berdoa terus, sambil memohon pengampunan dan rahmat Ilahi. Dan kerana ketaatannya yang kukuh, akhirnya Nabi Yunus berjaya dikeluarkan daripada perut ikan tersebut dengan selamat.

Allah (s.w.t) berfirman di dalam surah As-Saffat, ayat 143-144:

Yang bermaksud: “Maka kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih). Tentulah ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari kebangkitan”.

Saudara dan saudari,

Keimanan Nabi Yunus terhadap Allah (s.w.t) tidak pernah terjejas walau sedikitpun. Beliau tetap memuji dan mengagungkan Allah (s.w.t) sambil mengakui kelemahan dirinya sendiri. Inilah inti pati kehambaan yang sebenar. Bagaimana beliau sentiasa mengingati Allah lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kepayahan yang teramat.

Imam Ibn Jubair menerangkan akan lafaz zikir serta tasbih yang sering dibaca Nabi Yunus (a.s) ketika itu. Zikir tersebut boleh didapati pada ayat berikut:

لَا إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنِّـي كُنْتُ مِنَ الظَّالِـمِينَ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. (Surah Al-Anbiya’: 87).

Saudaraku, marilah kita sama-sama mengambil kisah Nabi Yunus ini sebagai inspirasi dan pelajaran yang bernilai. Supaya dapat kita terapkan di dalam kehidupan kita. Pertama dan utama, ia mengingatkan kita akan kepentingan untuk sentiasa berada dalam keadaan mengingati Allah (s.w.t) di dalam apa jua keadaan. Kerana apabila kita sedang berhadapan dengan jerih payah kehidupan, ia mudah membuatkan kita tergelincir daripada jalan yang benar. Namun berbekalan keyakinan bahawa Allah (s.w.t) sentiasa bersama kita, Allah akan membimbing kita menempuhi kepayahan tersebut. 

Selain itu, kita juga perlu berusaha untuk bersikap optimis di dalam apa jua ujian yang kita hadapi. Cubalah memahami hikmah dan teladan di sebalik setiap ujian, kerana ujian itu memberi ruang untuk kita meningkatkan diri serta mempelajari sesuatu daripadanya. Ambil kesempatan itu untuk menjadi insan yang lebih baik, bahkan untuk menjadi seorang muslim yang lebih baik. 

Saudara dan saudari,

Sebagai manusia, ia menjadi lumrah kehidupan untuk sentiasa berhadapan dengan ujian serta cabaran. Derita kesedihan dan kekecewaan tidak lagi asing buat diri kita. Kehilangan orang-orang yang tersayang, masalah kewangan, mencari kerja dan sebagainya boleh membuat kita rasa ingin berputus asa. 

Akan tetapi pada saat-saat yang sangat sukar ini, jangan sesekali kita berpaling daripada Allah (s.w.t). Kerana Dialah cahaya yang membimbing kita sekaligus menjadi mercu tanda harapan kita. Jangan goyah dan jangan berputus asa. Bahkan, carilah keindahan dan hikmah di sebalik setiap dugaan dan cabaran.

Marilah kita jadikan kisah Nabi Yunus ini sebagai satu inspirasi buat kita. Beliau yang walaupun diuji Tuhan, akan tetapi kepercayaannya terhadap rahmat serta petunjuk Allah sedikit pun tidak terjejas. Semoga kita memiliki keteguhan dan ketabahan untuk menempuh apa jua rintangan yang melanda. Kerana melaluinya kita akan menjadi lebih kuat, lebih tabah dan lebih teguh iman kita.

Semoga Allah memberi kita kekuatan dan ketabahan untuk menempuhi onak duri kehidupan dengan keimanan yang kukuh akan petunjuk serta rahmat-Nya. Ameen Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.