collections khutbah Kisah Nabi Musa a.s.: Bersyukur Disebalik Cabaran
Kisah Nabi Musa a.s.: Bersyukur Disebalik Cabaran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

5 Jun 2020 / 13 Syawal 1441H

Kisah Nabi Musa a.s.: Bersyukur Disebalik Cabaran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t.

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar ketakwaan, mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Semoga dengan keimanan kita, ia menguatkan lagi jati diri kita menjadi hambaNya yang bersyukur. Amin.

Saudaraku yang dikasihi Allah,

Sepanjang bulan Ramadan yang lalu, kita sama-sama telah berusaha untuk membaca al-Qur’an dan menghayati maksud dan makna disebalik ayat-ayatnya. Banyak pengajaran yang telah kita perolehi dengan kita membaca al-Qur’an. Dalam usaha kita untuk terus istiqamah mendampingi al-Qur’an, mimbar sepanjang bulan ini ingin mengajak kita untuk menghayati sebahagian dari kisah para Nabi-nabi yang terkandung di dalam al-Qur’an. Dikesempatan kali ini, marilah kita sama-sama merenung akan firman Allah s.w.t. dalam surah Toha ayat ke-77 yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar mengembara pada waktu malam, kemudian pukul lah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".

Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menceritakan akan kisah Nabi Musa a.s. diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk membawa kaumnya keluar dari bumi Mesir. Perintah ini diturunkan sewaktu Fir’aun mula meningkatkan kekejamannya terhadap Nabi Musa a.s. dan kaumnya. Setibanya Nabi Musa a.s. dan kaumnya di tepi laut, kaum Nabi Musa a.s. merasa ketakutan kerana mereka tidak dapat meneruskan perjalanan menyelamatkan diri mereka, dengan Fir’aun dan tenteranya pula semakin menghampiri mereka. Dalam keadaan cemas, resah dan gelisah itu, Nabi Musa a.s. mengingatkan kepada kaumnya untuk kekal tenang dan menyakini bahawa Allah s.w.t. pasti akan membantu mereka. Lalu Allah s.w.t. membuka jalan antara belahan lautan buat mereka laluinya dengan selamat.

Saudaraku,

Setelah Allah s.w.t. menyelamatkan Nabi Musa a.s. dan kaumnya dari Fir’aun dan tenteranya, mereka berhadapan dengan situasi yang baru, di negara yang baru, serta keadaan yang tidak menentu. Bahkan mereka berada di padang pasir tanpa rumah dan tempat teduh yang sempurna buat mereka seisi keluarga. Dalam situasi tersebut, marilah kita memerhatikan pesanan yang disampaikan Nabi Musa a.s. kepada kaumnya. Ia bukanlah peringatan untuk terus bersabar, akan tetapi ia merupakan satu peringatan kepada kaumnya untuk terus bersyukur. Firman Allah yang berbunyi:

Yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga) tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu) maka sesungguhnya azabKu sangat pedih.” [Surah Ibrahim: 7].

Meskipun Nabi Musa a.s. bersama kaumnya berada dalam keadaan yang perit dan pahit, Baginda mengingatkan kepada kaumnya untuk bersyukur ke atas segala nikmat dan ketentuan yang telah Allah s.w.t. rancangkan buat mereka. Sebelum ayat ini, Nabi Musa a.s. mengingatkan kaumnya akan segala nikmat yang telah Tuhan kurniakan kepada mereka. Tuhan telah menyelamatkan mereka dari ancaman Firaun yang telah menzalimi mereka. Anak-anak mereka sekarang ini selamat, keluarga mereka sekarang ini bebas dari segala ancaman.

Mengapakah Nabi Musa a.s. mengingatkan sedemikian? Bukankah bersyukur itu apabila kita dikurniakan nikmat dalam kehidupan? Bagaimana pula kita seharusnya bersyukur ketika sedang diuji?

Bersyukur ketika diuji, sebenarnya merupakan satu tahap yang perlu diusahakan setiap individu mukmin. Ia mendorong kita untuk bermuhasabah diri, dan melihat kepada pelbagai nikmat yang Tuhan kurniakan, walaupun pada saat itu kita masih lagi diuji Tuhan. Ia menyedarkan kita bahawa disebalik setiap ujian itu terdapat banyak lagi kenikmatan yang kita nikmati dan kecapi. Kita diuji untuk kerja di rumah, tetapi kita menikmati kemudahan untuk beribadah di rumah dengan keadaan yang lebih selesa dan teratur. Kita diuji untuk mengimbangi antara tugas kita dan keperluan keluarga kita, tetapi dalam masa yang sama kita berpeluang untuk menghargai masa-masa berharga dengan pasangan dan anak-anak kita. Setiap ujian yang dihadapi adalah untuk kebaikan kita, kerana Allah s.w.t. menyaksikan kesyukuran, kesabaran dan pengharapan kita dengan penuh kasih sayang dan rahmatNya.

Perhatikan contoh teladan dari Rasulullah s.a.w. Bagaimana Baginda sentiasa bersyukur kepada Allah s.w.t. dalam apa jua keadaan, sama ada semasa senang atau susah, semasa gembira atau sedih, dan semasa suka atau pun duka. Beliau sering mengucapkan:  

Yang bermaksud: “Segala puji hanya bagi Allah di atas setiap keadaan”. (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Saudaraku,

Setelah berminggu-minggu kita diuji dengan duduk di rumah dalam usaha kita membendung penularan wabak dalam masyarakat, kita bersyukur ke hadrat ilahi kerana tempoh pemutus rantaian jangkitan telah pun berakhir. Beberapa aktiviti dapat dijalankan semula dan kita juga dapat menziarahi orang tua kita sungguhpun dengan jumlah pelawat yang sedikit, malahan, masjid-masjid kita juga sedang mula dibuka secara berperingkat.

Sungguhpun begitu, perjuangan dan usaha kita untuk mencegah penularan wabak ini masih belum berakhir lagi. Langkah-langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan dan kesihatan diri, menjaga jarak selamat dan sebagainya perlu terus diamalkan. Kita tidak boleh mengambil ringan akan langkah-langkah penting ini kerana kita tidak mahu menimbulkan sebarang bahaya dalam masyarakat kita lagi.

Sama-samalah kita berganding bahu memainkan peranan kita untuk menjaga keselamatan diri kita, keluarga dan masyarakat kita. Semoga Allah s.w.t. mengembalikan keamanan dan kesejahteraan buat kita semua. Amin ya Rabbal ‘alamin.