collections khutbah Kisah-kisah di dalam al-Quran: Kisah Nabi Musa: Ilmu Kunci Keyakinan 
Kisah-kisah di dalam al-Quran: Kisah Nabi Musa: Ilmu Kunci Keyakinan 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

8 September 2023 / 22 Safar 1445H

Kisah-kisah di dalam al-Quran:

Kisah Nabi Musa: Ilmu Kunci Keyakinan 

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah (s.w.t) dengan mematuhi segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. 

Saudaraku,

Merupakan sunnah Nabi (s.a.w) untuk kita membaca surah al-Kahfi pada setiap hari Jumaat. Kerana padanya terkandung pelbagai hikmah dan pengajaran untuk setiap individu, serta bagi segenap lapisan masyarakat. Antara kisah yang terdapat pada surah tersebut, yang ingin saya kongsikan dengan para Jemaah pada hari ini, berkaitan dengan kisah Nabi Musa (a.s) bersama Sayyiduna Khidir (a.s.). 

Sebenarnya kisah ini, pada hemat saya, merupakan kisah berkaitan kisah tentang ilmu pengetahuan.


Bermula dengan semangat serta tekad nabi Musa (a.s.) untuk menuntut ilmu, serta mencari individu yang memiliki ilmu pengetahuan melebihi dirinya. Allah (s.w.t) berfirman:

Yang bermaksud: “Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” [Surah Al-Kahfi: 66).

Juga beberapa tindak-tanduk Khidir (a.s) yang walaupun tidak mampu difahami Nabi Musa (a.s), apakah dasarnya beliau melaksanakannya. Namun, perbuatan Sayyiduna Khidir (a.s) ketika itu adalah berlandaskan kepada ilmu pengetahuan yang tidak diketahui oleh Nabi Musa (a.s).

Saudaraku,

Ia merupakan kisah yang mendorong setiap mukmin untuk menitikberatkan ilmu serta dari manakah sumber pengetahuannya. Perhatikan firman Allah (s.w.t):

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikuti apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan dipersoalkan tentang apa yang dilakukannya.” [Surah Al-Isra’: 36]

Padanya terkandung peringatan dari Tuhan untuk tidak mengikuti suatu perkara tanpa ilmu pengetahuan. Kerana setiap perkara yang kita lakukan. Setiap pandangan ataupun ucapan yang kita ungkapkan. Segalanya bakal dipertanggungjawabkan esok di hadapan Allah. Maka hendaklah insan melakukan sesuatu hanya dengan berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. 

Kerana hanya melalui ilmu pengetahuan, kita dapat menjalankan kehidupan kita -secara amnya- dengan betul. Apatah lagi meneruskan kehidupan keagamaan, dengan penuh keyakinan, berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan panduan agama.

Saudaraku,

Kepentingan ilmu yang kukuh berkaitan keagamaan itu tidak dapat lagi kita ragui. Kerana tanpanya, ia akan menghasilkan kecelaruan, serta amalan agama yang tiada kepastian. 

Kisah Nabi Musa (a.s) ini mengajar kita akan kepentingan untuk merujuk kepada orang yang berilmu dalam apa jua bidang. Maka tanggungjawab kita adalah untuk merujuk pada mereka yang lebih berilmu dalam apa jua bidang. Sekiranya isu yang dibincangkan berkaitan dengan perubatan, maka rujukannya kepada pakar perubatan. Begitu juga berkaitan urusan agama, rujukannya adalah terhadap mereka yang ahlinya. Iaitu kepada para asatizah yang bertauliah. 

Sayang seribu kali sayang, sekiranya berkaitan urusan dunia kita merujuk kepada yang pakar serta ahlinya. Maka berkaitan kesihatan kita, kita akan merujuk kepada pakar perubatan. Begitu juga berkaitan kewangan, ada pakar dan ahlinya. Akan tetapi, bagaimana pula tentang agama? Adakah cukup untuk kita menjadikan beberapa maklumat yang kita perolehi di lelaman tertentu, ataupun pada aplikasi tertentu sebagai satu-satunya rujukan serta sumber ilmu kita?

Saudara saudari, 

Memerhatikan sumber agama, menjadi lebih kritikal lagi di zaman ini. Dengan mudahnya seseorang memperolehi maklumat agama melalui pelbagai wadah. Kadangkala sebahagian daripada maklumat tersebut tidak tepat dengan pemahaman agama yang sahih. Bahkan sebahagian individu menjadikan agama sebagai wasilah untuk mencapai agenda serta kemaslahatan peribadi mereka. Keadaan ini amat membimbangkan buat diri kita serta ahli keluarga kita. Ahli keluarga kita terdedah dengan pelbagai pemahaman.

Oleh itu, kita perlu lebih berwaspada terhadap pemikiran yang sebenarnya menyesatkan, dan bukannya membimbing. Ia bahkan memecahbelahkan, dan bukannya menyatukan masyarakat.

Kita perlu memastikan bahawa bukan sahaja anak-anak kita itu mengamalkan agama, serta mengetahuinya. Akan tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pendidikan agama yang diterima oleh diri dan keluarga kita adalah ajaran yang sahih lagi betul. Dikendalikan di tempat yang berwibawa oleh asatizah yang berkelayakan.

Semoga Allah (s.w.t) mengurniakan kita kefahaman dalam ilmu agama. Dan semoga Allah (s.w.t) reda akan kebaikan yang kita kejarkan dan meletakkan kita bersama-sama mereka yang soleh di dalam syurga-Nya kelak. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.