collections khutbah Kisah Keimanan: Ibu Nabi Musa A.S.
Kisah Keimanan: Ibu Nabi Musa A.S.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

 29 Mei 2020 / 6 Syawal 1441H

Kisah Keimanan: Ibu Nabi Musa A.S.

 

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama memperkukuhkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan kita dikurniakan pengampunan dan rahmat dari Allah s.w.t. Pada hari yang penuh dengan keberkatan ini, saya ingin mengajak kita sama-sama untuk menghayati sebuah kisah yang terakam di dalam al-Qur’an. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Qasas, ayat 7:

 

Yang bermaksud: “Dan Kami ilhamkan kepada ibu Nabi Musa a.s.:Susukanlah dia; dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Fir’aun), maka lepaskanlah dia ke laut; dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita; sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul Kami.”

 

Saudaraku,

Ayat ini menggambarkan kepada kita akan daya tahan keimanan ibu Nabi Musa a.s. kepada janji Allah s.w.t. Pada mulanya beliau khuatir akan bahaya yang bakal menimpa ke atas anaknya. Namun, keyakinan ibunya kepada Allah s.w.t., beliau dengan penuh ikhtiar dan tawakkal kepada Tuhan telah hanyutkan bayinya tersebut ke Sungai Nil. Bayi tersebut ditemui isteri Fira’un, dan akhirnya diselamatkan oleh Allah s.w.t. Malahan Nabi Musa a.s. telah dikembalikan kepada ibunya setelah beberapa ketika, dan dibesarkan dalam istana Fir’aun, seorang raja yang sebenarnya ingin mengancam nyawa bayi tersebut.

 

Renungkanlah saudaraku akan pengorbanan seorang ibu yang berusaha mencari jalan keluar bagi menyelamatkan anaknya dari bahaya. Dengan keimanan yang ada di dalam dadanya, beliau melihat cabaran yang dilaluinya itu dengan penuh positif. Beliau menyakini dengan janji Allah s.w.t., beliau berusaha menyelamatkan anaknya itu dan akhirnya beliau memperolehi kemanisan disebalik pengorbanannya. Inilah ciri-ciri keimanan yang perlu ada dalam diri kita, apabila kita menghadapi ujian dan halangan, kita tidak akan hanya merungut menyalahkan segala ujian yang dihadapinya. Bahkan seorang mukmin, akan berusaha untuk mencari jalan keluar daripada ujian tersebut dan menyakini bahawa Allah s.w.t. pasti akan membantunya dalam mengatasi ujiannya.

 

Saudaraku,

Begitu jugalah dengan situasi yang sedang kita lalui sekarang ini. Sungguhpun, Ramadan telah dilalui dengan cara yang sangat berbeza sepanjang kehidupan kita, tetapi ia telah menghasilkan seribu satu pengajaran buat kita. Ramadan yang baru sahaja berlalu telah mengajarkan kepada kita akan keyakinan kepada Allah s.w.t. dalam menghadapi ujian. Sungguhpun terdapat pelbagai kesulitan dan keterbatasan semasa di rumah, ia sama sekali tidak membataskan atau menghalang kita dari beribadah. Malah, kita berusaha untuk menghidupkan Ramadan di dalam rumah kita sendiri, kita berbuka bersama keluarga kita yang terdekat dengan lebih kerap, kita turut beribadah secara berjemaah bersama keluarga kita di rumah.

 

Apabila masuk bulan Syawal pula, kita terima segala ketentuan Allah s.w.t. pada hari raya dengan penuh ketabahan dan kesabaran. Kita bertakbir, bersolat dan beraya bersama keluarga kita di rumah sahaja. Sungguhpun terpendam hasrat di dalam hati kita untuk bersemuka dan bersalaman dengan orang tua kita di rumah mereka. Namun kita berusaha untuk memenuhi sebahagian hasrat tersebut dengan kita bermaaf-maafan bersama orang tua kita melalui talian telefon atau secara online. Kita tidak hanya berdiam diri dengan hanya memendam perasaan sedih di rumah tanpa sebarang usaha. Kita bangkit buat penyesuaian dengan saling maaf-bermaafan dan memberikan kata-kata semangat antara satu sama lain dalam menghadapi situasi yang penuh mencabar ini.

 

Dengan kita berinteraksi secara talian ini, kita sebenarnya berusaha mencari jalan lain untuk mengekalkan hubungan silaturrahmi bersama keluarga dan sahabat handai kita dengan cara yang selamat. Kesemua yang dilakukan oleh kita sepanjang bulan Ramadan yang lalu dan sedang kita lakukan sekarang ini, ia merupakan salah satu bentuk kesungguhan kita dalam mengekalkan kebaikan dan memelihara keselamatan nyawa kita bersama. Ingatlah bahawa Allah s.w.t.  menjanjikan bantuanNya di atas setiap kesungguhan kita dalam melakukan kebaikan. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ankabut ayat 69:

 

Yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berusaha untuk Kami (Allah), akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang berbuat baik.

 

Bersyukurlah di atas segala kurniaan Allah s.w.t. di sebalik ujian ini kerana Allah s.w.t. telah menjawab doa, rayuan dan kesungguhan kita. Alhamdulillah, tidak lama lagi tempoh pemutus litar akan berakhir. Akan tetapi perjuangan ini masih lagi belum berakhir. Kita perlu terus memainkan peranan untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang diperlukan bagi membendung wabak ini. Jangan sama sekali kita leka akan kelonggaran ini, kerana kelekaan kita dapat mengundang bahaya dalam kehidupan kita semua.

 

Mudah-mudahan kita menjadi hamba-hambaNya yang sentiasa kekal positif dalam mengharungi cabaran kehidupan ini. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kekuatan keimanan, sebagaimana Dia kurniakan kekuatan tersebut kepada ibu nabi Musa A.S, untuk mengharungi segala cabaran kehidupan insyallah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.