collections khutbah Keutamaan mempelajari sirah Nabi s.a.w.
Keutamaan mempelajari sirah Nabi s.a.w.

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

9 January 2026 / 19 Rejab 1447H

Keutamaan Mempelajari Sirah Nabi s.a.w.

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita suburkan ketakwaan di dalam hati. Zahirkan ketakwaan ini dalam cara kita berfikir, dalam setiap niat, tutur kata, perbuatan serta reaksi kita. Marilah kita terus meluangkan masa untuk mempelajari Sirah dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w., kerana di dalamnya terkandung pengajaran dan panduan yang mekar sepanjang zaman untuk seluruh umat manusia.

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Mungkinkah kita merindui seseorang yang tidak pernah kita temui? Dan adakah wujud insan yang tidak pernah bersua dengan kita, namun menyatakan rasa rindunya yang begitu mendalam terhadap kita?

Jawapannya, memang boleh, sidang hadirin sekalian. Kerana itulah yang pernah diungkapkan oleh junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. tentang kita, umat akhir zaman. Sabda Baginda s.a.w.:

Yang bermaksud: “Aku sangat teringin bertemu saudara-saudaraku.” 

Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulallah, bukankah kami ini saudara-saudaramu?” Baginda menjawab, “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Adapun saudara-saudaraku ialah mereka yang belum datang lagi (yakni belum bersua denganku lagi).” (Riwayat an-Nasa’i)

Begitulah ungkapan Rasulullah s.a.w. yang melambangkan kerinduannya terhadap umatnya, yang walaupun Baginda s.a.w. sendiri tidak pernah bersua wajah dengan mereka, namun hati mereka penuh iman, penuh kecintaan dengan ajaran Baginda.

Saudara sekalian,

Inilah Rasulullah s.a.w. – pendidik dan pembimbing kita. Baginda menyucikan hati manusia melalui bimbingannya, menerangi jiwa dengan ajaran Al-Quran dan menunjukkan kepada kita jalan iman dan kebijaksanaan. Allah s.w.t. berfirman dalam Surah Aal-‘Imran, ayat 164:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmat yang besar kepada orang-orang beriman apabila Dia mengutuskan seorang utusan daripada kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan mereka, dan mengajarkan mereka al-Kitab (al-Quran) serta hikmah, sedangkan sebelum itu mereka berada dalam kesesatan yang nyata.”

Oleh itu, ayuh tanyakan kepada diri sendiri: apakah kita benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w.? Sudahkah kita meneliti Sirah perjalanan hidup Baginda s.a.w. lalu berusaha mencontohi ajaran dan sunnahnya?

Saudara sekalian, bulan Rejab yang mulia ini membawa banyak pengajaran melalui peristiwa-peristiwa penting dalam Sirah Nabi. Antaranya, peristiwa Israk dan Mikraj, satu perjalanan Baginda s.a.w. merentas langit dan bumi Ilahi.

Oleh itu, dalam kita menyusun azam dan menyubur kerohanian sebelum kedatangan bulan Ramadan, mimbar ingin mengajak kita semua mengambil pedoman daripada Sirah Nabi. Padanya terdapat beberapa keutamaan:

Pertama: Sirah Rasulullah s.a.w. merupakan khazanah tradisi yang menggalakkan cerminan dan penghayatan.

Daripada kisah kekentalan iman Bilal bin Rabah r.a. yang diseksa kerana beriman pada Allah dan Rasul-Nya, hingga kepada nilai persahabatan yang cukup menjentik nurani, seperti yang dipaparkan oleh Abu Bakar as-Siddiq r.a. bersama Rasulullah s.a.w.

Peristiwa-peristiwa ini mengajak kita merenung perjuangan hidup kita sendiri: Bagaimanakah reaksi kita terhadap ujian?

Adakah kita mewarisi sedikit daripada keteguhan iman Bilal, atau kecintaan dan kesetiaan Abu Bakar r.a.? Pastinya, terdapat banyak peluang untuk kita ambil manfaat daripada contoh-contoh yang terakam dalam tradisi Sirah ini.

Kedua: Sirah adalah panduan akhlak tertinggi untuk seluruh umat manusia.

Akhlak Rasulullah s.a.w. melambangkan kemuncak kecemerlangan manusia. Baginda bersikap penuh ihsan, mengutamakan kemaafan, teguh menghadapi kezaliman dan memimpin para sahabat dengan kasih sayang. Inilah akhlak seorang pemimpin dan setiap daripada kita di sini adalah pemimpin. Bermula dengan kita memimpin hati kita ke arah keredaan Allah s.w.t.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Sahutlah ungkapan rindu Rasulullah s.a.w. terhadap kita. Baginda amat menyayangi umatnya. Di tengah kesibukan serta rencana kehidupan peribadi, selitkan usaha untuk mengenali dan mempelajari kehidupan Baginda, agar kehidupan kita sendiri lebih terpandu dengan pedoman dan makna.

Moga dengan ini, kita berjaya menyuburkan kerohanian kita dalam persiapan menuju bulan Ramadan, serta dipertemukan nanti dengan kekasih hati Rasulullah s.a.w. di hari akhirat kelak. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Khutbah Kedua