collections khutbah Ketabahan di Sebalik Kepayahan
Ketabahan di Sebalik Kepayahan

Majlis Ugama Islam Singapura 

Khutbah Jumaat 

26 September 2025 / 4 Rabiulakhir 1447H 

Ketabahan di Sebalik Kepayahan

Zumratal mukminin rahimakumullah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan mentaati segala perintah-Nya dan mejauhi segala larangan-Nya. Jadikanlah setiap kesenangan dan kesusahan penyebab untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita kekuatan untuk istiqamah di jalan-Nya. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Pernahkah kita menghadapi ujian yang berat, atau menyaksikan kesusahan orang lain, lalu terdetik di hati kita: “Mengapa Allah membiarkan ini berlaku?”

Sebagai seorang yang beriman, kita percaya bahawa setiap ujian datang daripada Allah. Ujian adalah lumrah kehidupan, dan setiap insan pasti diuji. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Baqarah ayat 155:

 

Maksudnya: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan suatu ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa serta hasil tanaman. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orangorang yang sabar.”

Saudaraku sekalian,

Benar, adakalanya ujian adalah kaffarah atau balasan daripada Allah s.w.t. Tetapi ini tidak bermakna setiap ujian yang menimpa merupakan satu hukuman, atau mungkin dilihat sebagai satu penghinaan ke atas diri kita. 

Buktinya, para anbiya juga diuji dan dilanda kepayahan hidup. Nabi Muhammad s.a.w. ditindas dan diusir oleh kaumnya sendiri di Makkah. Nabi Ya‘qub a.s. diuji dengan kehilangan anak kesayangannya. Manakala Nabi Ayyub a.s. ditimpa penyakit bertahun-tahun lamanya, ditambahkan pula dengan kehilangan harta dan keluarga. 

Namun, bagaimanakah reaksi mereka? Para anbiya, yang seharusnya kita jadikan teladan, menghadapi ujian-ujian tersebut dengan  صِبْ رِِ ج مِيل  (sobrun jamil) – sebentuk kesabaran yang indah, tiada rungutan, malah penuh pengharapan kepada Allah s.w.t.

Dari contoh-contoh ini, dapat kita simpulkan bahawa seorang Mukmin tidak berputus asa ketika berdepan dengan krisis dan cabaran hidup. Seorang yang beriman akan mendakap erat keimanan yang dilafazkan, dan sekali gus memperhalusi hakikat sifat sabar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagaimanakah iman dapat membantu dan membentuk pandangan yang lebih baik apabila berhadapan ujian hidup?

Pertama: Melihat ujian sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah

Bagi seorang Mukmin, ujian merupakan tanda kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Dalam kitabnya Al-Fitan wal Balaya, Imam Al-‘Izz bin Abdussalam menjelaskan bahawa terdapat banyak hikmah  dalam sesuatu musibah atau bencana.

Antaranya:

• Menyedarkan insan tentang kelemahan dirinya

• Memupuk sifat kebergantungan kepada Allah

• Membentuk hati yang ikhlas, tawaduk dan tidak sombong

• Mensyukuri nikmat keafiatan yang selama ini diberikan

Maka, ujian bukanlah bukti bahawa Allah membenci kita. Sebaliknya, ia adalah satu peringatan dan undangan untuk kita kembali mendekatkan diri kepada-Nya.

Kedua: Melihat segala yang berlaku sebagai kebaikan untuk orang beriman

Inilah intipati sabda Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis riwayat Muslim, yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan keadaan orang beriman. Semua urusannya adalah baik, dan itu tidak berlaku melainkan bagi orang beriman. Jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu juga baik baginya.”

Betapa indahnya sudut pandang Islam – sama ada susah atau senang, kedua-duanya membawa kebaikan selagi mana kita menghadapinya dengan rasa syukur dan sabar.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Sehingga hari ini, manusia terus dilanda krisis dan cabaran – sama ada dalam soal kesihatan, pendapatan, keluarga, mahupun tekanan sosial. Ujian ini mengingatkan kita betapa lemahnya manusia tanpa pertolongan Allah. 

Namun jika kita menghadapinya dengan iman, sabar dan tawakal, ujian itu akan berubah menjadi peluang: peluang untuk meneguhkan hati, menyalakan cahaya iman, dan menabur kasih dan sokongan kepada sesama insan. Semoga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-Nya yang tetap keimanannya dalam susah dan senang. 

Ya Allah Ya Rahmān, kurniakanlah kami keyakinan yang dapat menjadikan ujian dunia terasa ringan bagi kami. Ya Rahīm, janganlah pula Engkau meletakkan ujian pada urusan agama kami. Ya Mujīb, perbaikilah setiap urusan kami, perkenankanlah doa kami. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

         

Khutbah Kedua

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam kehidupan, sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat mahupun umat, kita akan menghadapi ujian yang terkadang pahit untuk ditelan. Begitu perit sehingga emosi mungkin melampaui panduan iman. Ujian yang datang, sama ada dalam bentuk penghinaan ataupun kezaliman, secara lisan atau melalui perbuatan. Ia disengajakan kerana hati yang kasar lagi keras, ataupun kerana kejahilan. Seperti yang dihadapi beberapa masjid kita baru-baru ini, apabila menerima kiriman yang mencerobohi kesucian rumah Allah s.w.t.

Apa pun tujuan dan sebabnya, hanya Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui. Sebagai Muslim yang teguh pendirian dan istiqamah terhadap nilai ajaran Baginda s.a.w., kita berpegang teguh dengan pendirian bahawa junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. membawa risalah rahmah dan kesejahteraan dalam semua urusan dan perkara.

Baginda s.a.w. mendidik kita untuk tetap mempamerkan tingkah laku mulia dalam berhadapan dengan pihak yang cuba menyakiti kita, dengan memaafkan dan menyebarkan kebaikan.

Inilah misi perjuangan umat Nabi Muhammad s.a.w., bahawa jika perbuatan sedemikian berhasrat untuk menggugat keamanan dan kesejahteraan umat dan negara, ketahuilah bahawa ia sebenarnya hanya akan menguatkan semangat dan usaha kita untuk memperjuangkan keamanan dan kesejahteraan, sesuai dengan Hadyun Nabawiy. Jika ada yang bertujuan merosakkan hubungan sesama agama dan bangsa, ketahuilah bahawa kita tidak pernah, dan tidak seharusnya menyamakan perbuatan seseorang, atau segelintir manusia, dengan keseluruhan sesuatu bangsa atau agama.

Oleh itu saudaraku, rapatkan saf, teguhkan barisan, jadikan peristiwa sebegini sebagai peringatan agar kita terus menjaga perpaduan. Jaga keharmonian kehidupan kita sesama manusia. Jadikan peristiwa ini bukti keutuhan didikan Nabi Muhammad s.a.w. dalam sanubari, walaupun kita tidak pernah bersua muka dengan Baginda. Elakkan dari berkongsi maklumat yang tidak diketahui kesahihannya, agar kita tidak mengeruhkan keadaan dan terjerumus dalam perangkap syaitan yang sentiasa menantikan kemusnahan kita.