collections khutbah Kesyukuran dan Kesabaran
Kesyukuran dan Kesabaran

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

26 Jun 2020 / 4 Zulkaedah 1441H

Kesyukuran dan Kesabaran

Saudaraku yang dikasihi,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t. Taati segala perintahNya. Jauhi segala laranganNya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amat kagum urusan orang yang beriman – semua urusannya adalah baik – dan ini hanya berlaku kepada orang yang beriman. Jika dia diberikan kesenangan, dia bersyukur – maka itu adalah baik untuknya. Dan jika dia ditimpa kesusahan, dia bersabar – maka itu adalah baik untuknya.” (Hadis riwayat Muslim).

Petang ini, kita bersyukur kerana diberikan nikmat menunaikan semula solat Jumaat. Kita dapat hidupkan  syiar agama. Masjid yang dahulunya kosong sekarang dapat diisi semula. Ini adalah berkat kesabaran, doa serta sikap tanggungjawab bersama, Alhamdulillah. Keadaan penularan wabak juga bertambah baik. Kesyukuran yang jujur lagi ikhlas akan membawa nikmat yang lebih banyak, Insha-Allah. Ini seperti yang disebutkan Allah s.w.t. di dalam Al-Quran:

Yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu: “Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepadamu, dan demi seungguhnya, jika kamu mengingkari sesungguhnya azabKu amatlah pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Semoga kesyukuran kita di atas segala nikmat, yang kecil mahupun besar, yang zahir mahupun batin, yang individu mahupun bagi seluruh masyarakat, membawa ketenangan dalam jiwa tatkala ramai yang lain pula dilanda kerisauan tentang kesihatan, pekerjaan dan kewangan.

Saudaraku,

Begitu juga banyak langkah-langkah pencegahan dan keselamatan yang perlu diambil oleh anda yang hadir. Ini adalah di antara penyesuaian yang penting kerana kita masih lagi perlu menjaga keselamatan. Kita juga akur ramai lagi yang berhalangan buat masa ini untuk menunaikan solat Jumaat. Marilah kita terus tabah dan bersabar menghadapi ujian dan kepayahan. Ingatlah, agama ini adalah mudah dan Allah s.w.t. bersifat Maha Pemurah dan sentiasa menabur rahmahNya. Agama tidak membebankan kita dengan sesuatu yang tidak termampu kita laksanakan.

Teruskanlah usaha baik anda, dan berikan kerjasama padu. Ini adalah sumbangan kita untuk memelihara maslahat umum dan kesejahteraan buat semua. Semoga Allah s.w.t. mengampunkan kita  dan mengangkat ujian ini dari umat manusia, Amin ya Rabbal ‘Alamin.