collections khutbah Kesucian Rohani dan Jasmani
Kesucian Rohani dan Jasmani

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

28 Februari 2020 / 4 Rejab 1441H

Kesucian Rohani dan Jasmani

 

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Marilah kita bertakwa kepada Allah s.w.t. - takwa yang mensucikan jiwa daripada segala kotoran dosa dan noda; takwa yang meningkatkan rohani di dalam menghadapi ujian dan cabaran; takwa yang mengajak kita berlaku baik dan menyebarkan keihsanan.

 

 

Saudaraku,

Ketahuilah, kehidupan kita tidak terlepas daripada 2 perkara – nikmat yang dengannya kita berbahagia dan wajib bersyukur kepada Allah; dan ujian yang dengannya kita bersabar dan mengharapkan balasan baik dari Allah.

 

Hari ini, dunia masih terus berdepan dengan ujian penularan wabak. Ini menyebabkan kerisauan dan kekhuatiran. Sebagai orang yang beriman, kita yakin bahawa apapun yang kita hadapi adalah ujian dari Allah s.w.t. – ujian yang mendorong kita untuk bermuhasabah, bertaubat dan beristighfar, serta bersabar dan terus melakukan kebaikan. Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran:

 

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. (Surah al-Baqarah, ayat 155-156).

 

Keimanan akan menghasilkan kesabaran. Kesabaran pula menjadikan kita insan yang tenang. Marilah kita terus mensucikan rohani, dan memulihkan hubungan dengan Allah s.w.t. di saat-saat ujian ini dengan memperbanyakkan istighfar, bertaubat dan bermunajat kepadaNya. Apatah lagi dengan tibanya bulan mulia Rejab yang penuh dengan keberkatan.

 

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan Tuhan tidak akan mengazab mereka, sedangkan engkau (Ya Muhammad) ada di sisi mereka. Dan Tuhan tidak akan mengazab mereka, sedangkan mereka beristighfar. (Surah al-Anfal, ayat 33).

 

Saudaraku,

Di samping penyucian rohani, agama mendidik kita untuk membersihkan jasmani dan bersikap bertanggungjawab pada setiap ketika. Ia adalah teras agama dan asas keimanan. Hadapilah ujian dan cabaran dengan penuh hikmah dan bijaksana. Seperti apapun masalah dan ujian, kita di ajar untuk mengambil langkah-langkah yang perlu demi mengatasi ujian tersebut.

 

Begitu juga di dalam menghadapi isu penularan wabak. Membendung penularan adalah tanggungjawab kita bersama. Beberapa panduan telah dikeluarkan, untuk memastikan keselamatan para jemaah masjid-masjid kita, berkaitan dengan menjaga kesihatan dan kebersihan peribadi dan orang lain. Ini adalah sumbangan kita untuk memelihara kemaslahatan awam, agar institusi agama dan masjid-masjid kita dapat terus berfungsi dengan baik.

 

Marilah saudara, kita berusaha dengan segala daya dan upaya, mensucikan rohani dan membersihkan jasmani. Inilah senjata kita untuk memerangi wabak yang melanda. Semoga dengan usaha, amalan dan keikhlasan kita, serta semangat bantu-membantu di dalam mengatasi cabaran, kita dapat mengharungi ujian ini dengan izin Allah s.w.t. Semoga Allah s.w.t. memelihara kita dan segenap umat manusia dari fitnah dan musibah dan menunjukkan kita jalan yang diredhaiNya.