collections khutbah Kesucian Melahirkan Kemuliaan
Kesucian Melahirkan Kemuliaan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Aidiladha

20 Julai 2021 / 10 Zulhijjah 2021

Kesucian Melahirkan Kemuliaan

اللهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالحَمْدُ لِلّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيلاً.

الحَمْدُ لِلّه الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجاً. أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيرٌ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعدُ، فَيَا أَيُّهَا الـمُسلِمُونَ، أُوصِيكُم وَنَفسِي بِتَقوَى اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، فَقَد فَازَ الـمُتَّقُونَ.

 

Saudara saudari yang dirahmati Allah,

Marilah kita penuhkan hari yang penuh suci lagi mulia ini dengan kesyukuran dan ketakwaan. Mulakan ia dengan tekad dan azam untuk menjadi manusia dan umat yang bertakwa, berhati suci dan berakhlak terpuji. Umat yang mencari kebaikan di setiap saat dan ketika. Umat yang menjauhi kekejian, sama ada di dalam amal perbuatan, tutur perbicaraan mahupun sangkaan. Umat yang bangkit memperbaiki diri dan orang lain dengan berhemah tinggi, bersatu hati dan berbudi pekerti.

 

Muslimin muslimat yang dimuliakan,

Bulan Zulhijjah termasuk di antara bulan-bulan yang dihormati dalam Islam. Di dalamnya terkandung beberapa hari yang paling suci. Allah (s.w.t.) telah bersumpah dengan hari-hari tersebut di dalam firman-Nya:

Maksudnya: “Demi waktu Fajar, dan demi sepuluh malam.” (Surah al-Fajr, ayat 1 – 2).

Yang dimaksudkan sepuluh malam mengikut ahli tafsir adalah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah dan kemuncaknya adalah Aidiladha yang pada pagi hari ini, kita sama-sama meraikannya.

Begitulah saudara sekalian, Allah (s.w.t.) telah memilih di antara ciptaan-Nya, beberapa hari, masa, tempat, dan juga manusia yang suci lagi mulia. Kesucian dan kemuliaan hari-hari tertentu di sisi Allah dikaitkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) dengan kesucian dan kemuliaan manusia itu sendiri. Di dalam khutbah terakhir Baginda (s.a.w.) di dalam haji wada’, Baginda telah berpesan:

أَيُّهَا النَّاسُ، إنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ عَلَيْكُمْ حَرَامٌ إلَى أَنْ تَلْقَوْا رَبَّكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا، وَكَحُرْمَةِ شَهْرِكُمْ هَذَا، وَإِنَّكُمْ سَتَلْقَوْنَ رَبَّكُمْ، فَيَسْأَلُكُمْ عَنْ أَعْمَالِكُمْ، فَمَنْ كَانَتْ عِنْدَهُ أَمَانَةٌ فَلِيُؤَدِّهَا إلَى مَنْ ائْتَمَنَهُ عَلَيْهَا، لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Wahai manusia! Sesungguhnya, darah, harta dan kehormatan kamu adalah suci buat kamu, sepertimana (sucinya) hari ini, bulan ini, sehingga sampai masanya kamu menghadapi Tuhan kamu dan pastinya kamu akan dipertanggungjawabkan di atas segala perbuatan kamu. Sesiapa yang diserahkan kepadanya amanah, maka tunaikanlah/serahkan hak amanah tersebut kepada pemiliknya. Jangan kamu menzalimi orang lain, agar mereka tidak menzalimimu pula.”

Perhatikan dengan teliti, saudara saudari sekalian. Baginda (s.a.w.) berwasiat di penghujung dakwahnya tentang kesucian dan kemuliaan nyawa, maruah dan hak manusia. Mengapa? Sebab, jika kita meremehkan hak orang lain, menganggap ringan perasaannya, mudah menyakitinya dan menjatuhkan maruahnya, kita telah memusnahkan asas-asas kehidupan yang sejahtera di dalam masyarakat. Manusia hanya ikutkan hawa nafsu, keinginan dan kepentingan diri masing-masing. Lisannya bebas berbicara, tanpa mengendah langsung akan keburukan akibatnya. Dunia sedemikian tidak akan tenang lagi aman. Ia penuh dengan porak-peranda, kebingungan dan perpecahan.

Sedangkan Rasulullah (s.a.w.) datang membawa risalah keamanan dan kesejahteraan. Baginda (s.a.w.) memartabatkan nilai kemanusian – setiap nyawa yang dicipta Allah (s.w.t.) adalah mulia. Perjuangan Baginda (s.a.w.) yang tidak pernah mengenal akan erti siang dan malam, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memastikan agar umatnya terus bersaudara, tidak berpecah-belah, dan tidak menodai kesucian dan kemuliaan manusiawi.

Saudara-saudari sekalian,

Tekanan yang kita hadapi di dalam krisis hari ini membebankan pelbagai ujian yang perlu ditanggung oleh kita dan masyarakat. Ia menguji kesabaran, ketabahan, kasih sayang dan kesatuan sesama kita. Ramai yang khuatirkan keadaan kehidupannya dan ahli keluarganya. Kerisauan ini dengan mudah sekali boleh menjejas ikatan hubungan sesama kita.

Namun, dengan segala kesyukuran kepada Allah (s.w.t.), masyarakat kita sanggup berkorban demi kebaikan bersama, bersatu hati dan prihatin menjaga keselamatan diri dan orang lain. Hakikatnya, kita mempunyai kemahuan yang serupa – agar kita dapat bangkit daripada krisis ini dalam keadaan bersatu dan dalam semangat bantu-membantu sesama kita. Kita inginkan bagi saudara kita apa yang kita sayangkan buat diri sendiri. Sikap ini yang digambarkan oleh Rasulullah (s.a.w.):

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: “Perumpaan bagi orang beriman dalam berkasih sayang, belas kasihan dan kesantunannya adalah seperti satu jasad, jika salah satu anggotanya sakit, terasa sakitnya juga di anggota yang lain sehingga demam dan tidak (dapat) tidur malam.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Jemaah yang dimuliakan,

Ini tidak bermakna keadaan dan situasi kita telah sempurna. Jauh sekali. Kita masih mempunyai kekurangan dan kelemahan di peringkat individu dan masyarakat. Namun, kita harus menerima bahawa hidup ini adalah satu perjuangan dan perjalanan yang berterusan. Setiap langkah yang kita ambil di dalam kehidupan ini bagi menuju ke arah pembaikan dan kegemilangan bak mendaki gunung hingga ke puncaknya, kita perlu sama-sama berganding bahu dan saling lengkap-melengkapi.

Kekuatan dan kemuliaan kita terhasil daripada semangat bantu-membantu di dalam kebaikan, dalam istilah Al-Quran (at-ta’awun ‘ala al-birr wa at-taqwa). Setiap kita melengkapi kekurangan atau kelemahan yang ada pada saudaranya. Yang kaya membantu yang memerlukan, yang kuat dan sihat menolong yang sakit dan lemah, yang berilmu mengingatkan dan mendidik yang kurang berpengetahuan. Begitu juga agama kita sangat menganjurkan sikap tegur-menegur dengan adab dan sopan, yang dinamakan nasihat.

Nabi (s.a.w.) bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ  قُلْنَا لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu nasihat, para sahabat bertanya untuk siapa wahai Rasulullah? Jawab Baginda, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin kaum muslimin dan seluruh masyarakat amnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Keterbukaan untuk menerima nasihat akan membantu kita menjadi manusia dan masyarakat yang lebih baik, di mana kita akur dengan kekurangan dan kita ingin memperbaiki diri dan sumbangan. Ini adalah satu budaya sihat yang perlu terus disemai dan digalakkan. Kepimpinan tidak dapat berfungsi dengan baik jika ia angkuh dan sombong, serta tidak mahu menerima teguran atau nasihat. Hanya dengan sikap ingat-mengingatkan inilah kita dapat terus membina dan membangunkan institusi-institusi agama kita serta mengukuhkannya lagi. Apatah lagi di dalam menghadapi cabaran-cabaran yang akan bertambah sukar di masa hadapan.

Jemaah yang dimuliakan,

Nasihat dan teguran yang lahir daripada hati yang suci lagi jujur ada tanda-tandanya. Ia menghormati kemuliaan orang yang dinasihati, menjaga maruahnya, dan tidak menimbulkan kebencian dan kemarahan di dalam diri saudaranya. Kerana nasihat tersebut bukan bertujuan memalukan ataupun melemahkan. Bahkan sebaliknya, ianya untuk memperbaiki kekurangan, membina wawasan, menghargai kepelbagaian dan mengukuhkan kesatuan.

Sayang sekali, mudah sangat hari ini untuk sesiapa sahaja melontarkan kata-kata yang mencela, menghina, menuduh dan sebagainya. Ini kemudiannya ditularkan sehingga timbul kebingungan dan kekacauan. Lihat sahaja bagaimana ramai orang yang telah menjadi mangsa sehingga musnah kehidupan mereka. Nasihat yang jujur lagi insaf tidak begini rupanya dan bukan begini caranya.

Memang tidak dinafikan, ramai yang risau dan takut kerana terlalu banyak perubahan dan norma baru hari ini. Namun, walaupun terdapat keterbatasan, masjid-masjid kita masih terus dimakmurkan dengan cara yang selamat. Kita memelihara nyawa tanpa merosakkan sendi-sendi tiang agama. Kerana kedua-duanya adalah tuntutan agama.

Yang suka melihat kepada kekurangan dan keterbatasan memilih untuk melihatnya sebagai satu kelemahan. Ada yang meyakini bahawa ini fitnah si Dajjal, atau perancangan pihak-pihak tertentu untuk merosakkan agama, atau tanda-tanda kiamat di akhir zaman!

Sebagai orang yang beriman, kita yakin dan beriman dengan adanya kiamat dan hari pembalasan. Al-Quran sering mengingatkan kita tentangnya. Firman Allah (s.w.t.):

Yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar.” (Surah al-Hajj, ayat 1).

Secara logika, semakin berusia dunia ini, semakin hampir kita dengan kiamat. Benar juga kita beriman dengan tanda-tandanya, seperti keluarnya Dajjal dan tanda-tanda lain seperti yang dikhabarkan Rasulullah (s.a.w.) di dalam hadis-hadis yang sahih. Tetapi tidak ada seorang pun yang mengetahui masanya. Seperti yang Allah (s.w.t.) khabarkan di dalam Al-Quran. Pengetahuan ini hanya milik Allah (s.w.t.), bukan menjadi andaian dan permainan khayalan kita.

Kerana itu pengamalan agama yang betul memerlukan ilmu. Hanya membaca sebaris di sana dan seperenggan di sini, atau menonton klip YouTube, Facebook dan Tik Tok, tidak mempersiapkan kita untuk benar-benar memahami isu agama yang rumit dan dengan cara yang berkesan. Tiada salahnya mendengar nasihat yang baik dengan cara apa sekalipun. Tetapi jangan dikelirukan mesej sedemikian rupa dengan ilmu yang membantu kita memahami agama dan tradisinya. Ilmu yang menyeluruh akan menyinari pemahaman kita, bak lampu yang kuat dapat menerangi kegelapan suasana. Tidak sama seperti lilin yang terangnya terbatas, dan jika ditiup angin ribut, pudar cahayanya atau jatuh ia menyebabkan kebakaran rumah dan harta.

Sebagai contoh, bagaimana kita meletakkan situasi mencabar hari ini di dalam perspektif betul daripada kacamata sejarah agama? Benar beberapa peristiwa taun telah berlaku sewaktu awal sejarah Islam, masjid ketika itu tetap dibuka dan tidak ditutup. Tetapi yang datang menunaikan solat Jumaat hanya beberapa orang sahaja, kerana terlalu ramai orang telah meninggal dunia akibat penularan wabak. Kerana itu, ilmu menuntut kita untuk memahami sejarah dengan betul. Keadaan kita hari ini sepatutnya menimbulkan keinsafan dan kesyukuran. Ilmu yang betul juga akan menangkis andaian dan konspirasi yang tidak berasas. Sebab itu Allah (s.w.t.) mengingatkan kita:

إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ

Yang bermaksud “Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan adalah salah (berdosa).”  (Surah al-Hujurat, ayat 12).

Bahkan, Nabi Muhammad (s.a.w.) telah mengingatkan kita bahawa di antara golongan yang tidak disukainya dan akan duduk jauh daripada Baginda pada hari kiamat kelak adalah mereka yang banyak bicara yang tidak benar, orang yang banyak bicara secara melulu dan mereka yang sombong. (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Dalam suasana kekhuatiran sekarang ini, janganlah kita biarkan khabar-khabar palsu memburukkan lagi suasana dan menakutkan golongan tua. Seperti dakwaan vaksin memudaratkan. Setiap kita dambakan keadaan kembali pulih secepat mungkin. Kerana itu, kita perlu terus berusaha dan menerima pandangan pakar dan ahli. Yang belum mengambil vaksin bersegeralah mengambilnya. Yang sudah pula, maka galakkan saudara-mara kita, khususnya golongan berusia tua, untuk mengambilnya. Ini adalah di antara ikhtiyar kita untuk menangkis penularan wabak dan juga mengurangkan kesan ke atas diri jika kita terjangkit. Apatah lagi dengan situasi penularan sekarang ini dengan varian baru yang lebih mudah berjangkit. Perjuangan ini tidak akan dapat selesai, sehinggalah setiap kita memainkan peranan dan bertanggungjawab. Bukan hanya untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk kesejahteraan semua.

Ayuh, janganlah kita terkeliru di antara usaha dan tawakkal, di antara ilmu dan sangkaan, di antara nasihat dan tuduhan atau celaan.

Saudara-saudari sekalian,

Pengorbanan yang harus kita laksanakan di sebalik penghayatan Aidiladha dan ibadah korban adalah untuk meneruskan wasiat dan panduan Nabi (s.a.w.) untuk menanam wawasan positif lagi membina pada setiap masa.

Marilah kita pupuk semangat persaudaraan yang suci di dalam suasana muhibbah hari ini. Mari kita menggembeling tenaga untuk mengukuhkan institusi-institusi agama kita demi memajukan masyarakat dan membangunkannya.

Semoga dengan kesucian hati dan jiwa, kita bertambah mulia di sisi Allah (s.w.t.) dan dengannya, masyarakat kita dipandang mulia di sisi umat manusia. Amin. Ya Rabbal ’Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

* Jika masa tidak mengizinkan, beberapa teks hadis di dalam bahasa Arab boleh dibaca terjemahannya sahaja.

 

 

Khutbah Kedua

 

 كاليXاللهُ أَكبَر 7

الْحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ الْعَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ، الْأَحْيَاءِ مِنهُم وَالْأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ الْعَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ، وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذْكُرُوا اللهَ الْعَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ  يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.