collections khutbah Keseimbangan Dalam Urusan Ibadah
Keseimbangan Dalam Urusan Ibadah

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 Ogos 2023 / 1 Safar 1445H


Keseimbangan Dalam Urusan Ibadah

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah (s.w.t) dengan sebenar-benar ketakwaan. Iaitu dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Semoga Allah (s.w.t) menerima segala amal ibadah yang kita lakukan. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah,

Khutbah pada minggu lalu telah menjelaskan hakikat ibadah yang luas dalam Islam. Pada minggu ini, saya ingin mengupaskan lebih lanjut salah satu aspek ibadah yang perlu kita perhatikan. Iaitu aspek keseimbangan dalam melaksanakan ibadah sesuai dengan tabi'at serta naluri insan.

Perhatikan firman Allah (s.w.t) dalam Surah al-Furqan, ayat 20.

 Yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar, dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) bahawa Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-makhlukNya).”

Saudara dan Saudari,

Jika kita renungkan ayat yang dibacakan sebentar tadi, terdapat beberapa panduan buat diri kita, Ia memberi panduan bagaimana antara ujian Allah (s.w.t) bagi seorang mukmin adalah berkaitan interaksi mereka sesama hamba-hamba-Nya. Kerana walaupun kebanyakan insan itu berurusan antara satu dengan yang lain secara baik dan saksama, terdapat sebahagian individu yang memang agak mencabar untuk berurusan dengannya. Mungkin kerana kasar penuturannya, kurang elok akhlak serta pekertinya.

Maka bagi individu mukmin, persoalannya adalah bagaimana kita bertindak terhadap mereka yang melakukan keburukan terhadap kita. Adakah kita bersabar serta berusaha untuk mencari huraian? Ataupun kita turut sama membalas kejahatan dengan kejahatan? Di situlah kita akan lihat ketakwaan serta kesucian hati seseorang Mukmin.

Tambahan dari ini, ayat tersebut juga memberi panduan akan maksud keseimbangan dalam melaksanakan ibadah. Hatta para Anbiya’ yang merupakan golongan yang paling dekat dengan Allah (s.w.t), turut sama berurusan dengan insan yang lain, pada waktu yang sama amat menjaga hubungan mereka dengan Tuhan, melalui amal ibadah. 

Justeru, antara pengajaran utama yang kita boleh raih daripada ayat ini adalah keperluan untuk mengendalikan masa yang diberikan dengan bijak. Kita seharusnya memperuntukkan sebahagian masa untuk beribadah. Dan sebahagian pula untuk bersama keluarga. Meluangkan masa yang berkualiti bersama serta melaksanakan tanggungjawab kita terhadap mereka.

Perhatikan kisah seorang sahabat Nabi (s.a.w) yang bernama Hanzalah (r.a). Beliau mengadu kepada Sayyiduna Abu Bakar (r.a.) tentang keadaannya ketika bersama Rasulullah. Baginda (s.a.w) selalu mengingatkan beliau tentang syurga dan neraka seolah-olah beliau dapat melihatnya. 

Namun, ketika Hanzalah keluar dari majlis Rasulullah (s.a.w), beliau disibukkan dengan urusan keluarga dan mencari nafkah. Sehingga beliau lupa akan peringatan Rasulullah. Apabila Rasulullah (s.a.w) mengetahui hal ini, Baginda bersabda yang bermaksud: “Demi dzat yang jiwaku di tangan-Nya, andai kamu tetap dengan keadaanmu seperti di sisiku dan terus berzikir. Maka, para malaikat akan menjabat tangan kalian, sedang kamu berada di atas tempat tidur dan di jalan raya. Akan tetapi wahai Hanzalah, ada waktumu (untuk beribadah) dan ada waktumu (untuk duniamu). [Hadis Riwayat Imam Muslim]

Saudaraku,

Lihat bagaimana Rasulullah (s.a.w) menyeru kepada keseimbangan dalam beribadah. Baginda (s.a.w) mengajar kita untuk menunaikan segala hak, serta memenuhi keperluan hidup kita sesuai dengan ajaran Islam. 

Islam tidak pernah mengajar kita untuk meninggalkan sepenuhnya segala keperluan kita sebagai insan serta mengabaikan hak individu di sekeliling kita. Kita harus bijak dalam menguruskan masa kita seperti yang diajar oleh Baginda (s.a.w) dalam hadis tersebut. 

Bahkan, mengambil kira pengajaran khutbah pada minggu lalu, maksud ibadah itu begitu luas sekali di sisi Islam. Sehinggakan khidmat dan usaha kita bagi keperluan keluarga, ia juga menjadi ibadah dengan niat yang baik. Kerana segala yang dilaksanakan kerana Allah, demi keredaan-Nya, menjadi ibadah inshaAllah. Maka laksanakanlah tanggungjawab serta amanah yang diberikan. Kerana setiap tanggungjawab itu pasti akan dipersoalkan esok di akhirat. 

Semoga Allah (s.w.t) memberi kita kebijaksanaan untuk mengimbangkan setiap urusan kita. Dan semoga Allah (s.w.t) memberi kita kekuatan untuk menjadi hamba-hamba yang bertanggungjawab, supaya dapat menjalankan amanah sesuai kemampuan kita yang terbaik. Amin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَ أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَ لَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَ بَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ.

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَارَبَّ العَالَمِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. 

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُركُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضلِهِ يُعطِكُم، وَلَذِكرُ اللهِ أَكبَرُ، وَاللهُ  يَعلَمُ مَا تَصنَعُونَ.