collections khutbah Kesederhanaan Dalam Berbelanja
Kesederhanaan Dalam Berbelanja

 

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

13 Disember 2024 / 11 Jamadil Akhir 1446H

Kesederhanaan Dalam Berbelanja

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita terus meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t., dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Terapkanlah kesederhanaan dalam kehidupan kita. Kerana kita adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. disifatkan Allah sebagai “ummatan wasata”, iaitu mereka yang bersederhana dalam segala sesuatu. Marilah kita mensyukuri kemuliaan ini agar keberkatan sentiasa mendampingi kita. Amin.

Ma’asyiral Muslimin Wa Zumratal Mukminin Rahimakumullah,

Hari ini, mimbar ingin mengajak sekalian yang hadir melihat nikmat harta dan perbelanjaan sebagai satu nikmat yang wajib disyukuri, dengan menghayati sikap bersederhana.

Saudaraku, adalah menjadi kelaziman hujung tahun, sebagai pengguna dan pembeli, kita dihidangkan dengan pelbagai tawaran istimewa, bagi segala macam perkhidmatan dan barangan. Nikmat ini tidak dirasakan oleh sebahagian manusia di tempat lain, terutama di kawasan yang dilanda krisis keamanan, dan negara-negara yang masih mengharapkan suasana ketenteraman. Maka adalah wajar untuk kita beringat dan bersyukur.

Di masa yang sama, kelaziman hujung tahun ini juga boleh mempengaruhi kuasa membeli (buying power) yang kurang terkawal. Ketika inilah, nafsu kita perlu dipandu oleh agama. Sila tadabbur firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang berbunyi:

Yang bermaksud: "Dan orang-orang (Mukmin) yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kedekut, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah yang demikian."

Saudaraku, Allah menyuruh kita bersederhana dalam semua perkara, termasuklah dalam menikmati kurniaan Allah ketika kita berbelanja. Perlu segera difahami, kesederhanaan tidak bermakna kita perlu hidup dalam serba kekurangan, atau menolak kehidupan mewah yang sebenarnya adalah kurniaan Allah s.w.t. Sebaliknya, kesederhanaan adalah keseimbangan di antara sikap berlebih-lebihan dan sifat kikir dan kedekut.

Sidang jemaah yang dikasihi,

Mari bersama, secara insaf, kita menilai semula gaya hidup dan gaya perbelanjaan kita. Sekiranya ia mencerminkan kesederhanaan yang diajarkan Islam, maka kita ucapkan Alhamdulillah. Tetapi jika sebaliknya, kita ajukan juga soalan berikut: adakah pembelian itu sebenarnya memenuhi keperluan atau kemahuan? Umat Nabi Muhammad s.a.w. perlu bijak dalam membezakan “keperluan” dan “kemahuan”. Kerana ini sejajar dengan pesanan Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Makanlah, minumlah, bersedekahlah, dan berpakaianlah dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak berlaku sombong." (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, adalah bijak jika kita mengutamakan perbelanjaan untuk perkara-perkara yang penting, seperti keperluan jangka pendek dan panjang bagi keluarga, pendidikan diri sendiri atau anak-anak, dan seumpamanya. Bersederhana dalam berbelanja sebenarnya mempersiapkan kita untuk berdepan dengan cabaran ekonomi dan kewangan akan datang. Kesederhanaan dalam aspek ini juga bermanfaat sekiranya dilihat dari dua sudut yang berbeza:

Pertama, ia membantu kita menjauhi sifat tamak dan berlebih-lebihan. Bersederhana dalam menikmati anugerah Allah akan meningkatkan rasa kesyukuran kita kepada-Nya, dan seterusnya membawa kepada ketenangan hati dan jiwa.

Kedua, kesederhanaan juga membantu penjagaan kesihatan fizikal dan mental kita. Sebagai contoh, berlebihan dalam makan dan minum boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan. Manakala berlebihan dalam berbelanja boleh menyebabkan tekanan kewangan dan tekanan emosi seperti kebimbangan dan kemurungan.

Dalam konteks perbelanjaan, Islam menekankan pentingnya kemahiran dalam menguruskan kewangan. Ini termasuk menghindari pembaziran dan desakan berhutang, sesuai dengan doa Rasulullah s.a.w. dalam sepotong hadis riwayat Imam Abu Daud yang bermaksud: “Aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Kita juga digalakkan untuk menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita dan bersedekah kepada mereka yang memerlukan. Ini bukan sahaja membantu kita dalam pengurusan kewangan yang lebih baik, tetapi juga memenuhi tanggungjawab sosial kita sebagai seorang Mukmin.

Saudara yang dihormati,

Saya mengundang anda sekalian mempertimbangkan dua perspektif berikut yang boleh memberikan suntikan motivasi untuk kita bersederhana dalam kehidupan:

Pertama, keseimbangan membawa keberkatan. Abu Nu’aim Al-Asfahani di dalam kitabnya Hilyatul Auliya’ menukilkan dari Imam Hasan Al-Basri, seorang ulama terkenal dari generasi tabi'in, sebagai berkata, "Jika engkau melihat seseorang yang diberi kekayaan oleh Allah tetapi dia tetap bersederhana dalam kehidupannya, maka bergaullah dengannya, kerana dia telah diberi hikmah."

Kesederhanaan dalam berbelanja dapat menjauhkan kita dari tabiat berhutang, walaupun hukum asal berhutang itu adalah harus. Kesederhanaan dalam berbelanja mencerminkan kebijaksanaan kita dalam mengenal keutamaan. Insya Allah, sikap positif ini akan membawa kita kepada kehidupan yang lebih tenang. Inilah antara dimensi keberkatan dalam kehidupan seorang Mukmin.

Perspektif kedua ialah memahami nilai sebenar seorang Mukmin. Dalam era moden ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran dalam mengamalkan kesederhanaan. Budaya kepenggunaan yang berlebihan (hyper consumerism) dengan perantaraan media sosial, sering mendorong gaya hidup mewah dan bermegah, sehingga boleh membawa kepada kesudahan yang negatif. Contohnya, seseorang mungkin merasa tertekan sekiranya dia tidak memiliki gajet terkini, atau belum pernah bercuti di tempat-tempat peranginan yang popular. Inilah yang dimaksudkan sebagai kesudahan yang negatif. Inilah juga muslihat dan tipu-daya iblis bagi merangsang sifat-sifat yang dicela Islam seperti hasad, dengki, tidak bersyukur, dan seumpamanya.

Ingatlah wahai saudaraku, nilai seseorang Mukmin tidak diukur dengan kekayaan atau kemewahan hidup, tetapi dengan ketakwaannya kepada Allah s.w.t. Seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan harta kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu." (Riwayat Muslim)

Sidang Jemaah yang budiman,

Sebagai penutup, marilah, dengan penuh keinsafan dan tawaduk kita memohon agar petunjuk Allah sentiasa mengiringi kita dalam menghidupkan kesederhanaan dalam kehidupan kita. Moga Allah s.w.t. menjadikan kita hamba-hambaNya yang bersyukur, yang rendah hati, dan jauh dari sifat rakus dan bermegah diri. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

KHUTBAH KEDUA

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.