collections khutbah Kesan Kebaikan Kemaafan
Kesan Kebaikan Kemaafan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

6 Disember 2019 / 9 Rabiul Akhir 1441H

Kesan Kebaikan Kemaafan

 

Sidang jemaah yang dihormati sekalian,

Pada saat yang penuh dengan kemustajaban ini, marilah sama-sama kita merendahkan hati kita, memohon agar Allah s.w.t. memperkukuhkan ketakwaan kita. Tingkatkan perasaan pengabdian kita pada Allah s.w.t. dengan kita kembali bertaubat memohon pengampunanNya. Mudahan-mudahan permohonan taubat kita ini diterima Allah s.w.t. serta mengundang keredhaanNya buat kita dan keluarga. Amin ya Rabbal ‘alamin.

 

Saudara sekalian,

Pada minggu yang lalu kita telah diperingatkan akan akhlak Rasulullah s.a.w serta cara Baginda ketika beliau marah. Kita maklum bahawa marah itu merupakan naluri manusia dan jika dipandu ia boleh menjadi pendorong kearah positif. Namun, pada masa yang sama kita juga akur bahawa kita tidak boleh terus menyimpan kemarahan tersebut. Api kemarahan tidak boleh dibiarkan terus menyala kerana ia berpotensi untuk membakar pemiliknya sendiri. Bahkan, ia boleh menjejas hubungan beliau dengan insan disekelilingnya. Untuk itu, amat penting untuk  kemarahan kita disusuli dan diredakan dengan siraman kemaafan. Kemaafan membawa bersamanya keberkatan, ketenangan dan pelbagai manfaat duniawi dan ukhrawi.

 

Saudaraku sekalian,

Ketahuilah bahawa kemaafan yang kita hulurkan kepada mereka yang telah melakukan kesilapan pada kita amat disukai Allah s.w.t. Orang yang merindukan kemaafan daripada Allah s.w.t. tidak akan melepaskan peluang untuk menghulurkan kemaafan. Firman Allah s.w.t.:

 

Yang bermaksud: “Dan janganlah mereka yang mewah di kalangan kamu bersumpah untuk tidak mahu lagi menolong kaum kerabat dan orang miskin serta mereka yang berhijrah pada jalan Allah; hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nur, ayat 22)

 

Ayat yang baru saya bacakan ini saudara mempunyai sebab diturunkan yang amat bermakna. Suatu ketika, Sayyidina Abu Bakar r.a. pernah membantu menanggung keperluan salah seorang saudaranya yang bernama Misthah. Namun setelah mendapat tahu bahawa Misthah terlibat dalam menyebarkan kisah palsu yang menjatuhkan maruah Saidatina Aisyah r.a. serta menyakiti Rasulullah s.a.w., beliau menghentikan bantuannya dan tidak mahu memaafkan saudaranya tadi. Bayangkan kemarahan kita sendiri jika diketahui seseorang yang kita tanggung keperluan mereka menjatuhkan maruah anak menantu kita. Semestinya amat sukar untuk kita memaafkan orang tersebut. Saat Saidina Abu Bakar r.a. mengambil keputusan demikian ayat yang saya bacakan tadi diturunkan Allah s.w.t. Ia mengingatkan kita bahawa seandainya kita mendambakan dan mengharapkan pengampunan daripada Allah s.w.t. maka ampunilah kesilapan orang lain terhadap kita. Begitu besar ganjaran untuk kemaafan yang kita sudi berikan. Ini kerana Allah s.w.t Maha Mengetahui bahawa untuk orang yang sedang marah untuk memberikan kemaafan, ia memerlukan kepada kekuatan emosi dan keimanan yang jitu. Dengan itu, Allah akan balas perbuatan hambaNya itu dengan keampunan dariNya.  

Begitulah Islam saudara. Ia amat menitikberatkan nilai kemaafan. Walaupun kemaafan tampak begitu asas, namun ia mampu merubah nasib bukan hanya individu, tetapi juga arah tuju seluruh masyarakat.

 

Sebagai contoh, kajian-kajian perubatan dan psikologi telah membuktikan bahawa melalui sikap suka memberi kemaafan, pelbagai kesan positif, termasuk di dalam bab kesihatan, akan dapat dirasakan oleh seseorang. Dengan memberi kemaafan, kita tidak memendam perasaan marah. Ini pula membolehkan kita menikmati perasaan aman damai dalam diri sendiri, dan seterusnya bersama orang lain. Kita akan merasa lebih tenang selalu. Ia juga mengakibatkan penurunan tahap tekanan (atau “stress”) dan juga tekanan darah. Sistem imun badan pula boleh bertambah baik.

 

Umumnya, nilai kemaafan membawa kecemerlangan kepada kehidupan secara menyeluruh. Benar apa yang telah disabdakan oleh junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Tidaklah seseorang itu menambah kemaafannya bagi orang lain melainkan dia juga bertambah mulia.” Kemuliaan ini bukan hanya di sisi manusia tetapi juga di sisi Allah s.w.t.

 

Saudaraku,

Kemaafan juga adalah pendekatan yang dianjurkan Islam dalam menangani isu-isu masyarakat. Firman Allah s.w.t. di dalam Al-Quran Surah Al-Syura ayat 40:

 

Yang bermaksud: “Dan balasan kejahatan adalah kejahatan yang setimpal dengannya, namun sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik (kepada si pesalah), maka pahalanya dijamin oleh Allah. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada mereka yang berlaku zalim.”

 

Ayat ini mengingatkan kita bahawa seandainya sebarang balasan terhadap salah laku perlu dilakukan, maka ia haruslah setimpal dan tidak boleh melebihi batas. Dan untuk itulah, kita mempunyai pelbagai proses undang-undang dan pusat perantara untuk meleraikan konflik kemasyarakatan. Meskipun demikian, Allah s.w.t menyebutkan bahawa untuk kita memaafkan itu adalah lebih utama dan ganjarannya akan dijamin Allah s.w.t.

 

Ingatlah saudara kekasaran budi pekerti dan tindakan adalah cerminan kekerasan dalaman hati kita. Ia menunjukkan betapa kerasnya hati yang lebih mengutamakan dendam dan pembalasan. Ia menunjukkan hati yang kosong dari sifat kelembutan dan kemaafan. Ia jauh terhanyut dari akhlak dan nilai-nilai mulia yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

 

Hati yang dipenuhi kemarahan, kebencian dan hasad perlu disucikan. Dalam keadaan tertentu kita mungkin juga perlu mendapatkan nasihat pakar bagaimana dapat mengurus kemarahan atau perasaan dendam kesumat yang mendalam. Jangan kita biarkan perasaan seperti ini digunakan syaitan sebagai senjata, untuk melagakan sesama kita tidak kira bangsa mahupun agama. Sebab itulah ketika kita merasakan kemarahan yang meluap kita dianjurkan mengingati Allah, berselawat atau berwudhuk. Ini tidak lain adalah agar kita dapat mengawal emosi dan membawanya kembali kepada sumber ketenangan iaitu Allah s.w.t.

 

Saudara yang dirahmati Allah,

Seandainya di saat ini masih lagi ada di dalam hati kita dendam mahupun kemarahan terhadap orang yang pernah menyakiti mahupun menzalimi kita, bebaskanlah diri kita daripada belenggu syaitan ini. Usahakanlah agar hati kita dapat memaafkan mereka kerana ia akan melapangkan dada dan jiwa kita. Tambahan itu, kita juga akan perolehi pengampunan Allah s.w.t. dan akhirnya keredhaanNya.

 

Hayatilah nilai-nilai murni ini dengan sebaik-baiknya. Semoga Allah s.w.t. sentiasa memberi bimbingan dan kekuatan agar kita dapat kekal di atas landasan yang dipilihNya, Amin Ya Rabbal ‘Alamin.