collections khutbah Kerendahan Hati Seorang Muslim
Kerendahan Hati Seorang Muslim

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

31 Oktober 2025 / 9 Jamadilawal 1447H

Kerendahan Hati Seorang Muslim

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah s.w.t., Tuhan yang menciptakan kita. Laksanakan segala perintah-Nya dan jauhi segala larangan-Nya. Hiasilah diri kita dengan sifat-sifat mulia. Jauhi sifat angkuh dan sombong sesama manusia. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan keberkatan dalam kehidupan kita. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

Sidang jemaah sekalian,

Apakah nilai yang membezakan seorang hamba Allah daripada orang yang terlupa bahawa dirinya adalah seorang hamba? Jawapannya bukan terletak pada iman dan amalan semata-mata. Ia juga tidak bergantung pada kedudukan atau kesenangan hidup kita. Sebaliknya, nilai yang seharusnya menghiasi diri seorang mukmin dalam setiap situasi adalah nilai kerendahan hati, yakni tawaduk yang lahir dari iman dan terpancar melalui budi.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Furqan ayat 63:

Yang bermaksud: “Dan hamba-hamba Allah yang Maha Pengasih itu adalah mereka yang berjalan di muka bumi dengan rendah hati, dan apabila orang yang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan ‘Salam’ (yakni kata-kata yang baik).”

Ayat ini menggambarkan keindahan akhlak seorang mukmin yang bersifat tawaduk atau rendah hati. Dia tidak bermegah, bersifat angkuh mahupun menyombong diri.

Pada masa yang sama, tawaduk yang sebenar tidak bermakna kita menzahirkan kelemahan dan merendahkan maruah dengan sengaja. Bukan pula dengan menundukkan diri untuk mendapatkan manfaat daripada manusia. Lalu, bagaimanakah gambaran tawaduk yang sebenar?

Menurut Imam al-Ghazali, jawapannya terdapat dalam sikap kita ketika berinteraksi dengan mereka yang berkongsi kedudukan dengan kita, atau yang lebih rendah di mata manusia.

Contoh tawaduk: seseorang yang mempunyai kedudukan, berpengaruh, berharta, atau lebih dewasa. Dia tidak merasakan dirinya lebih baik atau lebih utama daripada insan lain. Dia terbuka untuk berinteraksi, bertukar pandangan, menerima nasihat, serta meraikan kebaikan dan kelebihan orang lain.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh terbaik dalam menghidupkan sifat tawaduk. Baginda s.a.w. merupakan penghulu bani Adam, rahmat buat sekalian alam. Namun, bagaimanakah reaksi Nabi s.a.w. apabila menerima pujian? Perhatikan sepotong hadith riwayat Imam al-Bukhari yang berikut:

Seorang lelaki pernah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan memanggilnya dengan berkata: "Wahai sebaik-baik manusia!" Lalu Baginda s.a.w. menyahut dengan mengatakan:

Ertinya: "Itulah Nabi Ibrahim a.s."

Subhanallah, begitu tinggi keperibadian Rasulullah s.a.w. Walaupun Baginda layak digelar sebaik-baik manusia, Baginda s.a.w. tidak membiarkan pujian itu menimbulkan rasa bangga dalam diri. Sebaliknya, Rasulullah s.a.w. mengembalikan pujian dan kemuliaan itu kepada nabi yang terdahulu, yakni Nabi Ibrahim a.s. Begitulah sifat seorang mukmin, tanpa mengira gelaran yang diberikan, namun tetap mengenal kedudukannya sebagai hamba kepada Ar-Rahman.

Oleh itu, kita juga perlu bertanya kepada diri sendiri: bagaimana reaksi kita apabila menerima pujian? Bagaimana kita dapat menerapkan sifat tawaduk apabila memperoleh sesuatu kebaikan atau kejayaan?

Di sini, mimbar ingin menyampaikan dua perkara berkenaan tawaduk sebagai panduan:

Yang pertama: Sifat tawaduk lahir daripada kesedaran bahawa setiap kelebihan datang daripada Allah

Seorang pelajar yang cemerlang, seorang pekerja yang berjaya, seorang pemimpin yang berwibawa, malah sesiapa sahaja. Sifat tawaduk akan membimbing hati supaya tidak mendabik dada.

Sebaliknya, kita mengiktiraf bahawa sumber segala kebaikan dan kejayaan adalah daripada Allah. Juga, melalui bantuan yang datang menerusi wasilah ibu bapa, rakan sepejabat, kakitangan, malah insan di sekeliling kita.

Sifat tawaduk ini menggantikan rasa “akulah yang berjaya” kepada kesedaran bahawa “Allah-lah yang memberiku kejayaan.” Oleh itu, apabila kita menerima kelebihan, akuilah bahawa ia merupakan satu pemberian Tuhan dan berdoalah memohon keberkatan.

Yang kedua: Sifat tawaduk membentuk akhlak dan adab dalam masyarakat

Tawaduk bukan sekadar sifat dalaman, tetapi turut membentuk akhlak dan kelakuan sesama insan. Dalam hadith riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku supaya kalian bersikap tawaduk (atau rendah hati), sehingga tidak ada seorang pun yang menzalimi yang lain, dan tidak ada seorang pun yang bermegah ke atas yang lain.”

Masyarakat yang berjaya memupuk sifat tawaduk adalah masyarakat yang beradab dan saling menghormati. Ia menuntut kita menghindari perbuatan memperkecilkan orang lain atau membangga diri. Sifat ini menjadikan kita lebih berhati terbuka, tidak mudah iri hati, tidak cepat menghukum, mudah memaafkan dan tidak sombong apabila diberi kelebihan.

Saudara yang dikasihi Allah,

Dalam dunia yang sering mementingkan pengaruh, pandangan manusia dan mengagungkan pencapaian, tawaduk adalah sifat yang dapat membenteng hati. Ia mengingatkan kita bahawa di sebalik sesuatu kejayaan, mungkin tersirat bantuan manusia dan pastinya juga limpah kurniaan Tuhan.

Marilah kita berusaha menjadikan sifat tawaduk ini sebagai cerminan diri serta panduan. Kerendahan hati bukanlah suatu kelemahan, tetapi tanda kekuatan iman.

Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kita hati yang suci dari keangkuhan, jiwa yang sentiasa tunduk kepada-Nya dan tenang dalam ketaatan, serta melimpahkan keberkatan dalam kehidupan. Amin, ya Rabbal ‘Alamin.

 

Khutbah Kedua

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Siapapun kita di mata manusia, kita tetap bergantung kepada bantuan Allah s.w.t. Oleh itu, di samping usaha yang kita kerahkan, gandingkanlah ia dengan doa dan pengharapan tulus kepada-Nya.

Pada musim peperiksaan ini, marilah kita berdoa agar para pelajar dan anak-anak diberikan kelapangan hati dan ketenangan fikiran supaya dapat menghadapi ujian dengan penuh keyakinan. Agar para ibu bapa, ahli keluarga dan guru-guru dikurniakan hikmah dan kesabaran dalam memberi bimbingan.

Semoga Allah memberikan kita ilmu yang bermanfaat serta memanfaatkan kita dengan ilmu yang telah dipelajari. Ya Allah Ya Samī’ Ya ‘Alīm, tetapkanlah dalam hati kami ilmu dan keimanan, agar kami memperoleh kejayaan yang berpanjangan.