collections khutbah Kepimpinan yang Menegakkan Rahmah dan Keadilan
Kepimpinan yang Menegakkan Rahmah dan Keadilan

 


Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

18 Oktober 2024 / 15 Rabiul Akhir 1446H

Kepimpinan yang Menegakkan Rahmah dan Keadilan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar takwa. Tunaikan segala perintahnya, dan jauhi segala larangannya. Hanya dengan ketakwaan, kita mampu menggalas amanah dan tanggungjawab yang Allah berikan kepada kita. Moga Allah s.w.t. terus membimbing kita dalam setiap urusan hidup ini. Amin.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Khutbah hari ini berkisar mengenai kepimpinan menerusi lensa rahmah dan keadilan. Lebih 1400 tahun lalu, Rasulullah s.a.w. telah mengingatkan kita bahawa kehidupan itu sendiri adalah satu amanah. Baginda s.a.w. menekankan bahawa setiap daripada kita adalah penjaga dan bertanggungjawab atas jagaannya. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Saudaraku, kita merupakan pemimpin dalam arena tersendiri. Cara kita memimpin dan mengurus kehidupan di atas muka bumi Allah ini, akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. Ada hak kita yang perlu dipenuhi. Ada pula hak orang lain yang sama penting untuk kita berikan perhatian. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Anfal, ayat 27:

Yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul, dan juga amanah yang diserahkan kepada kamu, sedang kamu mengetahui."

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam menggariskan bahawa kepimpinan yang sebenar bukanlah mengenai kuasa, darjat atau kemewahan. Pemimpin yang baik ialah mereka yang memimpin secara objektif, yang antara lain ialah dengan meletakkan kebajikan orang lain melebihi kepentingan dirinya sendiri. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Pemimpin yang memberi minum kaumnya adalah yang terakhir membasahkan tekaknya sendiri.” (Hadis sahih riwayat At-Tirmizi)

Kepimpinan merupakan tanggungjawab yang berat. Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. adalah satu anjakan besar dalam cara masyarakat memahami dan mempraktikkan erti kepimpinan. Bagi melaksanakan tanggungjawab kepimpinan dengan baik dan berintegriti, kita perlu rujuk kepada nilai-nilai yang diperjuangkan di dalam Islam.

Hari ini, khutbah akan menekankan dua nilai utama berkaitan kepimpinan sebagai renungan bersama.

Yang Pertama: Bersikap Rahmah 

Rahmah merupakan satu sifat yang Allah mewajibkan ke atas dirinya sendiri. Firman-Nya dalam Surah Al-An’am, ayat 12: 

Yang bermaksud: “Allah telah menetapkan ke atas diri-Nya sifat rahmah.” Dalam ayat yang lain, Allah juga menggelarkan hamba-hambanya sebagai ‘Ibadur Rahman – hamba kepada yang Maha Penyayang. Sebagai hamba Allah, kita perlu cuba untuk terapkan sikap rahmah dan penyayang di dalam diri, terutama apabila melaksanakan tanggungjawab dan berinteraksi dengan orang lain.

Cuba kita fikirkan: Bagaimanakah kita bersikap rahmah apabila pulang ke rumah dan berjumpa ahli keluarga? Bagaimana kita bersikap rahmah apabila melaksanakan tugas di tempat kerja?  Bagaimanakah kita bersikap rahmah apabila melihat kekurangan dan kesalahan orang? Bagaimanakah kita bersikap rahmah apabila melihat saudara-saudara kita ditimpa kesusahan dan kemelaratan?

Nabi Muhammad s.a.w. di gelarkan oleh Allah s.w.t. sebagai rahmatan lil alamin rahmat buat sekalian alam. Sebagai pemimpin, baginda s.a.w. telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam menghidupkan sifat rahmah. Rasulullah s.a.w. sentiasa menawarkan senyuman. Baginda tidak berlaku bias/berat sebelah dalam memberikan bantuan, dan tidak membantu hanya setelah diminta.  Baginda s.a.w. juga merupakan rahmah kerana menjadi penyalur kebaikan kepada sesiapa sahaja, termasuk kepada golongan yang susah dan tertindas, tanpa melihat warna kulit atau kedudukan. Inilah contoh rahmah dalam kepimpinan yang harus kita cuba untuk terapkan.

Yang Kedua: Menegakkan Keadilan dan Menolak Kezaliman 

Keadilan merupakan nilai yang utama di dalam Islam. Islam mengajar kita untuk bersikap adil dalam setiap perkara. Adil dalam hubungan antara kita terhadap Allah, dalam menuruti perintah dan ajaran-Nya. Adil terhadap diri sendiri, dengan menjaga diri daripada kegelapan maksiat dan anasir yang tidak baik. Begitu juga, adil terhadap makhluk yang lain dengan memberikan hak mereka dengan secukupnya, dan tidak mengambil atau menghalang hak mereka.

Setiap daripada kita sebagai pemimpin, apabila kita gagal melakukan sedemikian, kita berkemungkinan telah berlaku zalim kepada mereka yang di bawah penjagaan kita. Dalam sebuah hadis qudsi riwayat Imam Muslim, Allah s.w.t. berkata: “Wahai hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku, dan Aku menjadikannya haram ke atas kamu, maka janganlah kamu berlaku zalim.”

Inilah keagungan dan kesempurnaan Allah. Atas sifat-Nya yang Maha Adil, Allah s.w.t. mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya sendiri, walau tiada sesiapa pun yang boleh melarang atau menghukum-Nya. Jika Allah yang Maha Berkuasa tidak berlaku zalim, adakah kita sebagai hamba-Nya berani menyalahguna kuasa untuk menzalimi orang lain? Atau, sekiranya kita mampu melakukan sesuatu untuk menghentikan kezaliman, wajarkah kita membiarkan sahaja kezaliman itu untuk terus berlaku?

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Kita sedar dan kita akur bahawa masih banyak kesengsaraan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Kita kecewa dan bersedih atas penderitaan yang seakan tiada penghujungnya. Namun, jangan sesekali kita menyangka bahawa Allah tidak melihat dan tidak akan membalas perbuatan mereka yang berlaku zalim. Allah s.w.t.  berfirman dalam Surah Ibrahim, ayat 42: 

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka.”

Marilah kita berusaha menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin dengan menegakkan rahmah dan keadilan, dan berusaha sedaya upaya untuk menghentikan kezaliman. Jangan biarkan hati menjadi lali sehingga terbiasa melihat saudara kita menderita dan sengsara tanpa merasa terkilan atau marah walau sedikit pun. Teruskan berdoa memohon bantuan dan bimbingan dari Yang Maha Berkuasa. Semoga Allah s.w.t. memberikan kita kekuatan untuk menjalankan amanah ini dengan penuh keikhlasan, keinsafan dan kesungguhan. Amin, ya Rabbal Alamin.

أَقُوْلُ قَوْلِي هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِي وَلَكُمْ، فَاسْتَغْفِرُوهُ إِنَّهُ هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْم

 

 

 

 

KHUTBAH KEDUA

 

الحَمْدُ للهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ، وَأَشْهَدُ أَن لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ. أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، اِتَّقُوا اللهَ تَعَالَى فِيمَا أَمَرَ، وَانتَهُوا عَمَّا نَهَاكُم عَنْهُ وَزَجَرَ.

أَلَا صَلُّوا وَسَلِّمُوا عَلَى النَّبِيِّ الْمُصْطَفَى، فَقَدْ أَمَرَنَا اللهُ بِذَلِكَ حَيْثُ قَال فِي كِتَابِهِ العَزِيزِ: إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَـا أَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ. 

وَارْضَ اللَّهُمَّ عَنِ الخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ المَهْدِيِّينَ سَادَاتِنَا أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ، وَعَن بَقِيَّةِ الصَّحَابَةِ وَالقَرَابَةِ وَالتَّابِعِينَ، وَتَابِعِي التَّابِعِينَ، وَعَنَّا مَعَهُم وَفِيهِم بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلمُؤْمِنِينَ وَالمُؤْمِنَاتِ، وَالمُسْلِمِينَ وَالمُسْلِمَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنهُم وَالأَمْوَاتِ. اللَّهُمَّ ادْفَعْ عَنَّا البَلَاءَ وَالوَبَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالمِحَنَ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَن بَلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ البُلْدَانِ عَامَّةً، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا اْلمُسْتَضْعَفِيْنَ فِي غَزَّة وَفِي فِلِسْطِينَ وَفِيْ كُلِّ مَكَانٍ عَامَّةً، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ. اَللَّهُمَّ بَدِّلْ خَوْفَهُمْ أَمْنًا، وَحُزْنَهُمْ فَرَحًا، وَهَمَّهُمْ فَرَجًا، يَا رَبَّ العَالَمِينَ. اَللَّهُمَّ اكْتُبِ السِّلْمَ وَالسَّلاَمَ وَالأَمْنَ وَالأَمَانَ لِلْعَالَمِ كُلِّهِ وَلِلنَّاسِ أَجْمَعِينَ. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنيَا حَسَنَةً، وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، إِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالعَدْلِ وَالإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي القُرْبَى، وَيَنْهَى عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنكَرِ وَالبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ، فَاذكُرُوا اللهَ العَظِيمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوهُ مِن فَضْلِهِ يُعْطِكُم، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ.