collections khutbah Keperibadian Rasulullah s.a.w. - Merendah diri
Keperibadian Rasulullah s.a.w. - Merendah diri

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

22 November 2019 / 25 Rabiul Awal 1441H

Keperibadian Rasulullah s.a.w. - Merendah diri

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya berpesan pada diri saya dan para jemaah sekalian agar terus berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Laksanakan segala perintahNya dengan penuh tawaduk dan jauhi segala laranganNya.

 

Saudaraku sekalian,

Sepanjang bulan ini, khutbah telah mengingatkan kita akan keindahan keperibadian Rasulullah s.a.w. Akhlak dan budi pekerti Baginda s.a.w. sememangnya tiada tandingannya. Ia merupakan sebahagian daripada cita-cita setiap individu Mukmin untuk menjadikan Nabi s.a.w. sebagai teladan. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”.

 

Dari ayat yang baru saya bacakan sebentar tadi, ia jelas menunjukkan kepada kita akan perihal orang yang mengharapkan rahmat Allah s.w.t. Kita akan berusaha menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai contoh tauladan. Kita mencontohi Baginda s.a.w. bukan hanya dengan mentaati hukum-hakam sahaja. Akan tetapi kita berusaha untuk menerapkan nilai-nilai akhlak Baginda s.a.w. dalam kehidupan kita juga.

 

Nah saudaraku, sekiranya itu hasrat di hati ini, ketahuilah bahawa di antara akhlak dan budi pekerti Nabi s.a.w. yang perlu kita perhatikan adalah keikhlasan yang ada pada dirinya. Keikhlasan pada setiap amalan dan perbuatan. Keikhlasan pada setiap penuturan dan pergerakan.

 

Saudaraku,

Sifat ikhlas ini penting kerana daripadanya akan terlahir ciri-ciri yang baik, seperti bertawaduk dan merendahkan diri. Seorang hamba yang ikhlas kerana Allah, akan mudah untuk merendahkan dirinya dan bertawaduk. Kerana beliau mengenali Tuhan Pencipta. Segala yang dimiliknya merupakan kurniaan Tuhan. Maka dari itu, beliau melatih diri untuk sentiasa bertawaduk.

 

Sedarilah bahawa sekiranya kita benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t., suburkanlah dalam diri kita sifat-sifat Mahmudah (terpuji) seperti tawaduk, kerendahan hati dan kehalusan budi pekerti.

 

Kerana sifat merendah diri merupakan kunci kepada pembersihan jiwa dan pemurnian akhlak. Ia menjadi landasan kepada pemeliharaan hubungan yang baik dengan Allah s.w.t. dan sesama manusia. Ia mengingatkan manusia akan kehambaannya, akan kesaudaraannya, dan kebergantungannya kepada Tuhannya serta makhluk lain. Apabila kita merendahkan diri dan jiwa kita kepada Allah s.w.t., maka seluruh anggota kita akan ikut tunduk merendah diri. Dengan harapan kita bakal menjadi insan yang lebih bertakwa kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w. bersabda yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Bersedekah tidak akan mengurangkan sedikitpun daripada harta, dan Allah s.w.t. tidak menambahkan bagi seorang hamba yang memaafkan (insan lain) melainkan kemuliaan, dan tidak seorang pun yang merendahkan diri kepada Allah s.w.t. kecuali ditinggikan darjatnya oleh Allah s.w.t.” [Hadith riwayat Imam Muslim dan At-Tirmizi].

 

Apabila kita merendah diri, kita juga membuka banyak peluang kebaikan yang dapat disumbangkan oleh kita. Sebagai seorang individu Mukmin, apabila jiwa ini dihiasi dengan keikhlasan dan menjauhi kesombongan, semakin mudah untuk diri kita terbuka untuk menerima ilmu pengetahuan. Sebagai seorang pekerja, ia akan membantu kita menjadi seorang pekerja yang mudah menerima kritikan yang membina, dan memperbaiki kelemahan kita. Bahkan dalam kehidupan berkeluarga juga, kita perlu mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan rumahtangganya, bagaimana Baginda s.a.w. menerima saranan isterinya, saling mendengar dan berbincang bersama mereka.

 

Saudaraku,

Seseorang yang ikhlas juga tidak akan wujud sifat-sifat keji seperti riya’, sombong dan sebagainya dalam dirinya. Orang-orang yang mempunyai sifat kesombongan hanya akan mengundang keburukan buat dirinya sendiri.

 

Allah s.w.t. turut mengingatkan kita agar menghindari dari kesombongan, sepertimana firmanNya dalam surah Luqman, ayat 18:

 

Yang bermaksud: “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takabur, lagi membanggakan diri.

 

Sifat membangga diri itu terhasil apabila seseorang itu merasakan dirinya lebih baik daripada orang di sekelilingnya, dalam apa jua bentuk sekalipun. Sikap ini bertentangan dengan sifat tawaduk, iaitu merendah diri, yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sifat sombong itu saudaraku, tidak membawa apa-apa kemanfaatan. Orang lain tidak akan rasa tenteram ketika berurusan dengan orang yang sombong. Bahkan, ketika melaksanakan amal soleh juga, sekiranya dipenuhi dengan kesombongan dan riya’, amalannya tidak menjana apa-apa kemanfaatan ataupun pahala. Tidakkah kita terasa rugi, tatkala melaksanakan perintah Allah, tetapi  tidak meninggalkan kesan? Ia berlaku, apabila tiada keikhlasan, hasil daripada kesombongan yang timbul dalam diri.

 

Kerana pentingnya seseorang Mukmin itu menjauhi sifat ini, terdapat pelbagai contoh dan gambaran dalam al-Qur’an dan Sunnah berkenaan kesombongan. Ia agar kita renungi dan mengambil ikhtibar darinya. Sebagai contoh kisah kesombongan Qarun dengan kekayaannya. Kerana disebabkan kesombongannya itu, beliau mengingkari perintah Tuhan, dan akhirnya terjerumus ke dalam kancah kebinasaan. Begitu juga kisah kesombongan Fir’aun yang mengganggap dirinya sahaja yang berkuasa seperti Tuhan. Dengan kesombongannya tersebut, pada akhirnya turut membinasakan dirinya juga.

 

Saudaraku,

Antara punca sesuatu konflik itu berlaku adalah disebabkan kezaliman dan sifat-sifat mazmumah seperti kesombongan. Konflik ini menyebabkan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa kepada kekejaman dan kezaliman yang berlaku. Menjadi tanggungjawab kita untuk selalu menyebarkan kebaikan dan kesejahteraan, serta sentiasa menyucikan hati kita dengan kemaafan dan membenci segala bentuk kezaliman dan kekejaman.

 

Oleh itu, kita perlu terus berdoa agar Allah s.w.t. mengembalikan keamanan dan kesejahteraan buat seluruh umat manusia, tidak kira di mana sahaja mereka berada, dan di bumi mana mereka pijak. Sama-sama kita mendoakan agar mereka yang berhadapan dengan konflik ini, meraka akan diselamatkan dari sebarang bentuk kezaliman dan kekejaman, serta dapat kembali hidup dengan tenang. Ingatlah semuanya bermula daripada hati yang baik serta ikhlas.

 

Semoga Allah s.w.t. memadam segala api konflik di rantau ini dan rantau timur tengah, serta mengembalikan kesejahteraan buat kita semua. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.