collections khutbah Keperibadian Rasulullah s.a.w. dalam Menjaga Lisan
Keperibadian Rasulullah s.a.w. dalam Menjaga Lisan

Majlis Ugama Islam Singapura

Khutbah Jumaat

15 November 2019 / 18 Rabiul Awal 1441H

Keperibadian Rasulullah s.a.w. dalam Menjaga Lisan

 

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan kita menjauhi segala laranganNya serta mentaati setiap suruhanNya. Semoga dengan demikian, kita menjadi insan yang berakhlak mulia, berjiwa besar, yang sentiasa berusaha untuk membawa kebaikan dan memberi kemanfaatan kepada masyarakat.

 

Saudaraku,

Di antara nikmat yang dianugerahkan Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya adalah nikmat lisan. Lisan menghasilkan kemampuan untuk berkomunikasi dengan mudah dan jelas. Allah s.w.t. mengurniakan kemampuan untuk berkomunikasi kepada setiap manusia tanpa mengira latarbelakang adat, budaya, bahasa dan kemampuan. Bahkan golongan yang kurang daya pendengaran turut dikurniakan ilmu bahasa isyarat, agar mereka dapat berkomunikasi. Maka adalah penting bagi setiap dari kita untuk memelihara nikmat kurniaan Allah ini. Pastikan kata-kata yang keluar dari mulut kita itu adalah sesuatu yang baik. Sama-samalah kita merenung akan firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Ahzab, ayat 70-71:

 

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara), supaya ia memberi Taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.”

 

Jemaah yang dirahmati Allah,

Betapa besarnya nikmat yang dianugerahkan Allah kepada kita, sehingga dengan mudahnya kita dapat berkomunikasi sesama manusia. Melalui nikmat yang satu ini, banyak sekali keperluan dan hajat kita sebagai insan dapat dipenuhi. Sebagai contoh, seorang ibu dan ayah dapat meluahkan rasa kasih kepada anak-anaknya. Anak-anak dapat meminta pendapat dan pandangan daripada kedua orang tuanya. Suami isteri dapat berbincang bersama di dalam pengurusan keluarganya. Manakala guru pula dapat mengajar sesuatu ilmu kepada anak muridnya.

 

Namun, nikmat yang indah ini juga, boleh disalahgunakan untuk hal-hal yang tidak sihat dan tidak membawa sebarang manfaat. Bahkan ia boleh disalahgunakan untuk menyuntik api kebencian, kemarahan dan permusuhan di dalam hati manusia. Ataupun menggalakkan kemaksiatan dan keburukan, menghina, mencela dan mencemuh sesama manusia, berdusta dan berkata nista dengan lisan dia miliki. Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Seorang mukmin bukanlah orang yang suka mencela, melaknat, berperangai buruk, dan mengucapkan ucapan yang kotor.” [Hadis Riwayat At-Tirmizi].

 

Hal-hal ini sangat dilarang di dalam agama. Ia dapat meruntuhkan akhlak dan keperibadian sesuatu masyarakat, serta menganggu keamanan dan kesejahteraan hidup sesuatu kaum itu.

 

Kita sedia maklum bahawa berdusta atau berbohong itu merupakan sesuatu yang ditegah dalam agama. Sekiranya perbuatan dusta ini menjadi sebahagian dari norma kehidupan kita, maka akan tersebarlah berita-berita atau maklumat yang tidak benar. Hasilnya, ia dapat menimbulkan kerisauan dalam masyarakat disebabkan tersebarnya fakta yang tidak benar. Maka amat penting bagi setiap dari kita untuk menjaga lisan kita dari berbohong walaupun hanya untuk bergurau. Ia penting, agar sikap berdusta ini dapat dibendung daripada menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita. Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

Yang bermaksud: “Sesungguhnya kejujuran akan membimbing menuju kebaikan, dan kebaikan akan membimbing menuju ke syurga. Sesungguhnya seseorang akan bersungguh-sungguh berusaha untuk jujur, sampai akhirnya ia menjadi orang yang benar-benar jujur. Dan sesungguhnya kedustaan akan membimbing menuju kejahatan, dan kejahatan akan membimbing menuju ke neraka. Dan tidaklah seseorang itu berterusan dalam keadaan berbohong sehinggalah ia benar-benar ditetapkan di sisi Allah sebagai pendusta.” [Hadis riwayat Al-Bukhari]

 

Hadis ini mengingatkan kita akan pentingnya mengguna lisan kita dengan sebaiknya. Ia sebenarnya dapat menghasilkan banyak kebaikan dan berpotensi membawa kita ke arah keredaan dan kasih sayang Allah s.w.t. Inilah sikap seorang yang beriman, dia akan sentiasa berusaha untuk berkata baik, ataupun mendiamkan diri. Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaknya dia berkata yang baik atau diam.” [Hadis riwayat Muslim].

 

Imam Nawawi berpendapat bahawa, hadis ini merupakan pengajaran bagi kita. Bahawa apabila seseorang itu ingin berbicara, maka hendaklah beliau berfikir terlebih dahulu; adakah kata-kata yang ingin disampaikan merupakan sesuatu yang baik, benar dan dengannya boleh mendapat ganjaran dari Allah s.w.t. Sekiranya beliau mendapati bahawa tidak ada kebaikan dari apa yang akan dicakapkan olehnya, maka beliau perlu diam daripada beliau bercakap tentangnya.

 

Sikap berhati-hati dalam berkomunikasi mengingatkan kita untuk memastikan apa yang ingin diucapkan itu adalah tepat, benar dan sentiasa membawa kebaikan kepada semua.

 

Saudaraku,

Ketahuilah bahawa setiap dari kita bertanggungjawab untuk memastikan bahawa apa yang lahir dari lisan mahupun penulisan kita adalah hal-hal yang membawa kebaikan. Sebagai orang yang beriman, kita perlu menjadi insan yang mendorong kepada kebaikan, kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Bahkan ini merupakan sebahagian daripada cara kita menzahirkan kesyukuran di atas anugerah Allah s.w.t. kepada kita. Firman Allah s.w.t. yang berbunyi:

 

Yang bermaksud: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.” (Surah Dhuha, ayat 11)

 

Kita bermohon kepada Allah s.w.t., agar diberikan panduan dan bimbingan untuk sentiasa memelihara dan menjaga setiap nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.